Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Rabu, 11 Mei 2022

5 duit syiling termahal di dunia

Kita dah tau apakah duit syiling termahal di Malaysia, bagaimana pula dengan rekod dunia. Duit Syiling yang manakah mempunyai harga paling mahal pernah direkodkan didalam acara lelongan awam diseluruh dunia? Adakah syiling Malaysia juga termasuk didalam rekod tersebut?

Syiling mahal

Kali ini kami kongsikan kepada anda 5 duit syiling termahal di dunia, dimana setiap satu daripada duit syiling tersebut mempunyai sejarah dan keunikannya yang tersendiri. 


5. 1804 Bust Dollar - RM31,948,800 (USD7,680,000)

1804 Dollar

Syiling 1804 Bust Dollar ini berjaya dilelong oleh Stacks Bowers pada 18 Ogos 2021 pada harga RM31,948,800. Syiling yang juga dikenali sebagai "The King of American Coins" ini pernah dimiliki oleh Said bin Sultan Al-Said, Sultan Muscat dan Oman.

Bahagian hadapan dolar perak dihiasi dengan patung Liberty dan ditulis dengan tarikh "1804" dan perkataan "kebebasan." Bahagian belakang pula menampilkan seekor helang dan 13 bintang yang mewakili koloni asal Amerika Syarikat.

Sejarah syiling ini amat menarik kerana rekod kilang wang Amerika Syarikat menunjukkan tempaan dolar perak untuk tahun 1804 adalah sebanyak 19,570 keping, Namun sebenarnya semua itu adalah bertarikh 1803.

Menurut laporan pengkaji syiling Amerika Syarikat, syiling ini telah dibuat pada tahun 1834 atas permintaan Presiden Amerika Syarikat, Andrew Jackson untuk diberikan sebagai hadiah diplomatik kepada rakan pemimpin dunia terutamanya Raja dan Sultan.

Syiling ini telah diberikan kepada Said bin Sultan Al-Said, Sultan Muscat dan Oman, setahun kemudian pada tahun 1835. 

Set syiling 1834


Selain Sultan Muscat, Raja Siam juga ada menerima set syiling yang serupa. Didalam set syiling tersebut terdapat syiling half cent, cent, half dime, dime, quarter, half dollar, silver dollar, quarter eagle, half eagle, and eagle Amerika Syarikat yang kesemuanya dibuat dalam kualiti peruf.


4. 1822 Half Eagle - RM34,776,000 (USD8,400,000)

1822 Half Eagle


Syiling emas pertama yang dikeluarkan oleh Kilang Wang Amerika Syarikat, 5 Dolar 1822 Capped Head Left Half Eagle ini telah berjaya dilelong pada harga RM34,776,000 oleh Stacks Bowers pada 25 mac 2021.

Reka bentuk hadapannya memaparkan potret Liberty yang memakai round-capped menghadap ke kiri di bahagian depan dan helang yang diubah suai di bahagian belakang.

Walaupun hasil tempaan yang dilaporkan sebanyak 17,796 keping, hanya terdapat 3 keping saja 1822 Half Eagle yang masih wujud didalam koleksi pengumpul numismatik, menjadikannya salah satu daripada semua syiling AS keluaran biasa yang paling rare

Syiling yang dijual Stack Bowers ini adalah syiling yang mempunyai gred terbaik berbanding dengan dua lagi syiling yang serupa. Kedua-dua syiling yang lain pula dimiliki oleh Smithsonian Institution, Muzium yang menyimpan koleksi-koleksi berharga di Amerika Syarikat. 


3. 1787 Brasher Doubloon - EB on Wing - RM37,908,000 (USD9,360,000)

1787 Brasher Doubloon


Syiling emas persendirian yang pertama dikeluarkan di Amerika Syarikat ini telah berjaya dilelong oleh Heritage Auctions pada harga RM37,908,000 pada 21 Januari 2021. 

Bahagian hadapan syiling ini memaparkan jata negeri New York dengan Matahari terbit di atas puncak gunung dengan badan air di latar depan. Dengan Perkataan NOVA EBORACA COLUMBIA EXCELSIOR dibahagian atas. Bahagian belakang memaparkan seekor Helang sedang mengembangkan sayapnya, perisai menutupi dadanya, sebelah kakinya memegang sekumpulan anak panah dan sebelah lagi memegang dahan pokok zaitun. Terdapat perkataan UNUM E PLURIBUS.

Syiling ini dikeluarkan sekitar tahun 1787 oleh Ephraim Brasher, seorang tukang emas dan tukang perak terkenal yang juga seorang contract-assayer di Kilang Wang Amerika Syarikat. 

Ephraim Brasher cukup dihormati kerana kemahirannya didalam pertukangan emas dan perak selain dikenali kerana menggunakan piawaian standard untuk syiling kerana pada waktu itu, kebanyakkan nilai syiling boleh dipertikaikan kerana tidak mempunyai piawaian berat yang standard.


2. 1794 Flowing Hair dollar - RM30,451,300 (USD10,016,875)

1794 dollar


Syiling Flowing Hair Dolar, syiling dolar pertama yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat ini telah berjaya dilelong pada harga RM30,451,300 (pada waktu itu harga Ringgit pada kadar RM3.04 berbanding Dolar Amerika) oleh Stack's Bowers Galleries pada 24 Januari 2013. Pada waktu itu, harga USD10,016,875 adalah harga jualan tertinggi di dunia numismatik untuk syiling.

Muka hadapan syiling memaparkan Potret Liberty menghadap ke kanan dikelilingi oleh 15 bintang (8×7) yang mewakili bilangan negeri dalam Kesatuan Amerika Syarikat pada masa itu. Atas: LIBERTY. Di bawah: 1794. Muka belakang memaparkan Helang menghadap ke kanan berdiri dengan sayap dikembangkan, dikelilingi oleh karangan bunga. Tulisan UNITED STATES OF AMERICA mengelilingi reka bentuk belakang.

Syiling Flowing Hair Dolar ditempa pada tahun 1794 dan 1795; saiz dan beratnya adalah berdasarkan dolar Sepanyol, yang popular dalam perdagangan di seluruh Amerika. Syiling ini adalah Syiling contoh Spesimen yang mendapat gred Specimen-66  oleh Professional Coin Grading Service (PCGS).


1.  1933 double eagle - RM77,868,000 (USD18,900,000)

1933 double eagle


Syiling 1933 double eagle adalah syiling emas 20 dolar Amerika Syarikat yang dilelong pada harga RM77,868,000 oleh Sotheby's pada 8 Jun 2021. Syiling ini adalah satu-satunya syiling 1933 double eagle yang dibenarkan untuk dimiliki oleh orang persendirian.

Walaupun 445,500 syiling ini telah ditempa pada tahun 1933, tiada satu pun pernah diedarkan secara rasmi, dan kesemuanya kecuali dua diarah untuk dileburkan. Bagaimanapun, 20 keping syiling ini telah dicuri dan tidak dilebur. Kesemua syiling tersebut telah ditemui dengan 9 darinya diarahkan untuk dilebur.

Hanya ada 13 keping syiling ini yang masih wujud. Selain syiling ini, dua keping syiling disimpan di dalam Koleksi Numismatik Kebangsaan A.S., sepuluh lagi disimpan di Depositori Bullion Amerika Syarikat di Fort Knox.

Syiling ini pernah dimiliki oleh Raja Farouk, Raja Mesir yang terkenal dengan koleksi antik berharga miliknya. 

Kerajaan Amerika Syarikat telah menyatakan ini adalah satu-satunya Syiling 1933 Double Eagle yang dibenarkan untuk pemilikan persendirian. Mana-mana Syiling 1933 Double Eagle yang mungkin wujud adalah harta Kerajaan Amerika Syarikat, tidak sah untuk dimiliki, dan tertakluk kepada penyitaan.


Read More

Selasa, 7 April 2020

Wang Kertas Cadangan di Pameran 60 tahun BNM

Wang Kertas Cadangan (Pattern Banknotes) Malaysia ada yang pernah di pamerkan oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG). Kami melihat ianya sebagai suatu trend yang baik kerana peminat numismatik berpeluang melihat rekebentuk wang kertas yang pernah dicadangkan untuk kegunaan umum dengan harapan, suatu hari nanti mereka akan mempamerkan pula Syiling Cadangan (Pattern Coins).

Pattern Banknotes

Rekabentuk wang kertas dan duit syiling memerlukan kerjasama, penelitian dan persetujuan di antara pelanggan, pereka wang kertas, pencetak dan juga pihak berkuasa yang mengeluarkan wang tersebut.

Tema rekabentuk, ciri-ciri keselamatan dan proses percetakan adalah antara perkara yang perlu di ambil kira didalam membuat rekabentuk wang kertas dan duit syiling.

Negara kita sebenarnya mempunyai banyak wang kertas dan duit syiling cadangan yang tidak pernah dikongsi kepada umum.

Masih ingat lagi cerita Syiling Edaran 2003 yang pernah kami kongsi sebelum ini?

Bagaimana pula dengan cerita set syiling termahal Malaysia yang dijual pada harga RM743,731 di Singapura; Syiling pattern Malaysia 1966.

Masih banyak lagi cerita-cerita numismatik mengenai rekabentuk wang kertas dan duit syiling cadangan yang belum dapat kami rungkaikan.

Berbanding dengan syiling yang mempunyai pereka daripada dalam negara, wang kertas pula lebih mudah untuk dirungkai kerana ia biasanya di cadangkan oleh pencetak wang kertas.

Baru-baru ini, BNM MAG telah mengadakan Pameran “Demi Tanah Air: 60 Tahun Sebagai Bank Pusat”, terdapat dua wang kertas cadangan yang dikongsi semasa pameran tersebut.

Wang kertas tersebut dicadangkan oleh Bradbury Wilkinson & Co. Ltd untuk Bank Negara Tanah Melayu.

Terdapat tiga denominasi wang kertas cadangan yang dipamerkan, 5 Ringgit, 10 Ringgit dan 100 Ringgit.

5 Ringgit

Tidak dapat dipastikan siapakah lelaki pada wang 5 Ringgit yang dipamerkan. Ianya mungkin lakaran Hang Tuah berdasarkan wang kertas cadangan yang ada dipamerkan di BNM MAG sebelum ini.

Apa yang menariknya, bangunan parlimen di buat daripada sebelah atas, ada pengunjung yang tidak tahu ianya adalah bangunan Parlimen. Mungkin kerana sudah biasa dengan Imej bangunan parlimen daripada sisi pada syiling 50 sen parlimen.

duit bank tanah melayu

Wang Kertas Cadangan 10 Ringgit ini memaparkan harimau belang sebagai motif utama di muka hadapan dan gambar perarakan kemerdekaan dimuka belakang.

Bank Tanah Melayu

Rekabentuk wang kertas 100 Ringgit pula memaparkan sang kancil pada muka depan dan burung helang merah pada muka belakang. Jika dilihat rekabentuk wang kertas 100 Ringgit ini sekali imbas, ianya umpama melihat wang kertas Indonesia.

Semoga Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) akan terus berkongsi rekabentuk wang kertas dan duit syiling cadangan Malaysia di masa hadapan.
Read More

Khamis, 11 Disember 2014

Syiling 1 sen 1982 nickel

Tahniah kepada saudari Sinyee Leong daripada Broga, Selangor yang memiliki syiling 1 sen 1982 copper nickel dan terima kasih kerana memberi peluang melihat serta memegang sendiri syiling yang amat sukar didapati ini. Walaupun, pertemuan dengan beliau tidak dirancang, ianya satu pengalaman serta perasaan yang tidak dapat dilupakan.

1 sen 1982 Nickel

Saya bertemu dengan saudari Sinyee Leong, sehari selepas jualan Syiling Peringatan 75 tahun Taman Negara. Pada hari itu, saya baru selesai membeli syiling peringatan di Sasana Kijang dan pergi ke Kedai Sifu Dickson Niew kerana telah membuat temujanji dengan beliau sehari sebelum itu.

Saudari Sinyee Leong ada bertanya dengan saya melalui email mengenai syiling beliau tetapi saya tidak berani untuk memberi sebarang komen kerana saya tahu syiling tersebut amat sukar didapati dan jika saya memberi nasihat yang tidak betul akan memberi kesan kepada nilai syiling tersebut. Saya meminta beliau untuk berjumpa dengan Sifu Dickson Niew untuk membuat pengesahan.

Mengikut Sifu Dickson, Sebulan sebelum itu, beliau ada berjumpa dengan Sifu Dickson di Kedai Cenderamata Dickson Niew di Subang Jaya. Beliau dinasihatkan untuk membuat ujian makmal bagi mengetahui kandungan logam sebenar syiling tersebut. Seminggu selepas itu, beliau memberitahu Sifu Dickson bahawa syiling tersebut telah dipotong dibahagian tepi untuk memeriksa kandungan logam sebenar dan Sifu Dickson meminta beliau datang ke kedainya di Subang Jaya untuk beliau melihat sendiri syiling tersebut.

Syiling tersebut berat sedikit (0.01gm) berbanding dengan syiling yang asal tetapi mempunyai saiz yang sama.

nickel cent 1982

Warnanya adalah sama seperti syiling copper nickel, berwarna seperti perak, jauh berbeza dengan warna syiling 1 sen 1982 yang diperbuat daripada Copper Clad Steel.

Sebelum ini, saya berpeluang untuk melihat syiling plated di kedai Steven Tan, anda boleh membacanya didalam artikel; Syiling 1 sen nickel palsu.

Saudari Sinyee Leong memberitahu, beliau sudah memiliki syiling tersebut selama 10 tahun. Beliau temui syiling tersebut dibawah karpet rumah ayahnya yang hendak dibersihkan dan hanya menyimpannya. Baru-baru ini, beliau tergerak untuk membuat carian di Google berkenaan dengan syiling 1 sen nickel Malaysia dan bertemu dengan blog malaysiancoin.com serta blog Sifu Dickson dniewcollectors.blogspot.com.

plated coin test

Beliau juga memberitahu saya, dia meminta kawannya untuk memotong tepi syiling itu untuk memastikan ianya bukanlah plated coin. Ketika memotong sedikit syiling itu, beliau masih dapat melihat sedikit warna coklat, beliau tidak berpuashati dan meminta rakannya itu membuat potongan lagi. Walaupun telah dipotong begini, warna tersebut masih dapat dilihat jika menggunakan kanta pembesar.

Beliau meminta Sifu Dickson menghantar syiling tersebut untuk digred oleh NGC dan beliau juga menyatakan yang syiling itu adalah peninggalan ayahnya yang amat beliau hargainya. Beliau berhasrat untuk menyimpan syiling tersebut sebaik sahaja ianya pulang daripada digred.

Anda juga boleh membaca lebih lanjut mengenai syiling ini didalam blog Sifu Dickson Off Metal Strike Error on 1982 cent.



Read More

Isnin, 21 Julai 2014

Syiling Bunga Raya 1 Sen 2007 Bronze

Di Facebook, Sifu Dickson Niew ada berkongsi mengenai gambar Syiling Bunga Raya 1 sen 2007 bronze. Walau bagaimanapun, carian saya di blog beliau tidak ada artikel mengenai syiling tersebut. Sebentar tadi saya menelefon beliau dan bertanya mengenai syiling tersebut. Bagi saya, setiap gambar ada ceritanya.

1 Sen 2007

Sifu Dickson Niew memberitahu, syiling itu adalah milik seseorang yang datang menunjukkannya ke kedainya di Subang jaya (Kedai Cenderamata Dickson Niew). Syiling tersebut mendapat grade MG67RD daripada Professional Coin Grading Service (PCGS). Sebagaimana kebanyakkan collector tahu, syiling 1 sen bunga raya diperbuat daripada Copper Clad Steel yang melekat pada magnet tetapi syiling ini adalah diperbuat dari Bronze yang tidak melekat magnet.

Sifu Dickson Niew tidak membenarkan saya berkongsi harga duit syiling sepertimana yang ada didalam gambar tersebut kerana ia mempunyai gred yang tinggi, justeru itu harganya sudah semestinya tinggi. Namun, beliau memberitahu syiling 1 sen 2007 bunga raya Bronze yang mempunyai kondisi Very Fine mempunyai harga didalam lingkungan RM300-RM400 mengikut kondisi syiling tersebut. Semakin tinggi kondisi syiling maka semakin tinggi harganya.

Berat syiling ini juga adalah jauh lebih berat berbanding dengan syiling 1 sen bunga raya yang menggunakan metal copper clad steel.
Copper Clad Steel=1.74g
Bronze=2.1g
Perbezaan ini menyebabkan mesin mengira wang syiling ada kemungkinan besar tidak akan menerima syiling ini kerana perbezaan berat yang amat ketara.

Sejak akhir tahun lalu, semakin ramai yang mencarinya dan tidak ramai yang dapat menemuinya. Tidak diketahui berapa jumlah syiling ini yang berada di edaran pada ketika ini. Setakat ini hanya ada lebih kurang 10 keping yang diketahui telah ditemui oleh collector.

Janganlah pula ada yang berkata cuba bertanya dengan Bank Negara Malaysia, mungkin mereka boleh memberi jawapan. Saya telah menjawab mengenainya didalam artikel ini; Bertanya hal numismatik kepada BNM.

Selamat memburu 1 sen 2007 Bronze kepada rakan-rakan semua.



Read More

Sabtu, 23 November 2013

Duit Syiling Specimen & Pattern Malaysia

Tahukah anda, ada banyak Duit Syiling Specimen & Pattern untuk syiling Malaysia yang kita tidak pernah lihat? Saya berharap, suatu hari nanti, Bank Negara Malaysia (BNM) sudi untuk membuat pameran Malaysia Specimen & Pattern Coins. Saya tahu kebanyakan duit syiling ini masih ada ditangan BNM lagi dan berharap ianya tidak akan terlepas keluar ke tangan collector dengan sewenang-wenangnya.

Malaysia coin

Kepada anda yang tertanya-tanya apa itu duit Syiling Specimen & Pattern. Duit syiling Specimen atau duit contoh adalah duit syiling yang dibuat didalam rekabentuk yang sebenar untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak yang bertanggungjawab untuk meluluskan rekabentuk duit syiling tersebut. Ianya bukanlah duit syiling yang akan diedarkan dan biasanya hanya dibuat didalam 5-6 keping sahaja.

Duit Syiling Pattern pula adalah duit syiling yang dibuat didalam pelbagai rekabentuk yang akan ditunjukkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan rekabentuk. Pelbagai rekabentuk mungkin akan dipersembahkan sekaligus untuk menunjukkan pilihan rekabentuk yang ada.

Terdapat juga Duit syiling trial yang dibuat untuk menguji logam mana yang sesuai digunakan untuk duit syiling terbabit.

Saya pernah terlihat gambar-gambar duit syiling ini yang ada didalam koleksi BNM dan sememangnya ia membuatkan saya terliur melihatnya. Gambar-gambar tersebut bukan milik saya dan saya tidak mempunyai salinan gambar tersebut.

1 ringgit 1988

Di Muzium Bank Negara, ruangan Galeri Numismatik di Sasana Kijang, kita boleh melihat Syiling Bunga raya tahun 1988 untuk denominasi 1 ringgit, 50 sen, 20 sen dan 5 sen. Untuk makluman anda, Syiling Bunga raya hanya mula dikeluarkan pada tahun 1989. Rasanya ini adalah satu-satunya duit syiling specimen yang dipamerkan oleh BNM. Tidaklah pula diketahui sama ada orang yang membuat pameran ini sedar tentang perkara ini. Namun, diruangan pameran itu tidak ada dinyatakan ianya sebagai specimen.

Jika anda perasan, pada tahun 2003 ada berita mengenai Royal Mint Malaysia bercadang untuk mengeluarkan reka bentuk baru duit syiling Malaysia. Didalam berita yang dikongsi oleh Pengarah Urusan syarikat itu, Datuk Megat Mohamed Abdul Wahab, diceritakan bahawa mereka bercadang untuk mengeluarkan reka bentuk baru yang tidak menggalakkan peniru-peniru duit palsu. Duit syiling yang dicadangkan itu juga akan menggunakan bahan baru untuk menjadikannya lebih ringan dan lebih selesa untuk dibawa di dalam saku seseorang. Tahun pengeluaran di dalam duit syiling yang dicadangkan itu juga akan diukir dalam nombor Arab menurut kalendar Islam di samping huruf-huruf biasa yang menandakan tahun Gregorian.

Pada tahun 1966, Malaysia yang akan mengeluarkan syiling barunya ada mengadakan Pertandingan Mereka Syiling Kebangsaan 1966 yang di anjurkan oleh Arts Council of Malaysia bagi Pihak Bank Negara Malaysia. Syiling itu dijadualkan akan dilelong oleh Collectibles Auction Asia pada 3 Oktober 2015 di Singapura. Anda boleh membaca sejarah mengenai syiling pattern 1966 Malaysia itu di dalam artikel; Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan.


syiling 1966

Koleksi Syiling 1966 Unifaced Trial Pattern itu mengandungi:
1 Sen.Obverse.Probocis Monkey.
1 Sen.Obverse.Cattle Egret Bird.
5 Sen.Obverse.Elephant Ant-eater.
10 Sen.Obverse.Armadillo.
10 Sen.Reverse.1967 Double-hibiscus Rosettes.
10 Sen.Reverse.1967 Single-hibiscus Rosettes.
20 Sen.Obverse.Mouse deer with tall lallang background.
20 Sen.Obverse.Mouse deer with hill and lallang background (improve version).
20 Sen.Obverse.Mouse deer on the hill.
50 Sen.Obverse.Peacock.

Selain itu, terdapat juga duit syiling emas RM200 Specimen Sukan SEA ke-9 yang dikeluarkan oleh Franklin Mint, Amerika Syarikat: 9th South East Asia Games RM200 Commemorative Gold coin specimen.

specimen coin

Terdapat banyak lagi duit syiling Specimen & Pattern Malaysia yang sudah ada ditangan collector. Namun, amat jarang kita membaca duit syiling specimen Malaysia dilelong dimana-mana acara lelongan duit syiling.

Saya cuma berharap pada suatu hari nanti, BNM akan mengadakan pameran duit syiling Specimen & Pattern yang ada di Bank Negara Malaysia. Ramai daripada kita yang tidak pernah melihatnya. Rasanya kita masih boleh melihat wang kertas Specimen Malaysia di Sasana Kijang tetapi duit syiling sebegini tidak pernah dipamerkan oleh BNM lagi. Bertuahnya kakitangan BNM kerana dapat memegang duit syiling yang rasanya amat berharga kepada sejarah duit syiling negara kerana tanpa duit syiling specimen dan pattern ini, tidak ada duit syiling edaran.
Read More

Selasa, 3 September 2013

Set duit syiling peruf Malaysia 1967

Saya merasa bertuah kerana berpeluang untuk melihat, memegang dan mengambil gambar sebagai kenangan Set duit syiling peruf Malaysia 1967 yang dimiliki oleh Sifu Dickson Niew yang pernah beliau paparkan didalam artikel blog beliau; MALAYSIA PROOF COINS SET OF 5 (1967).

1967 pruf

Inilah pertama kalinya saya melihat set peruf 1967 dengan keadaan (condition) yang amat cantik dari segi kotaknya dan juga syiling yang ada. Set syiling tersebut juga datang bersama pembungkusan original yang digunakan pada tahun 1967. Plastik pelindung syilingnya yang masih lagi membungkus rapi duit syiling tersebut, memeliharanya daripada sebarang gangguan yang merosakkan duit syiling peruf. Set ini tidak didatangkan dengan sijil pengesahan daripada kilang wangnya, Royal Mint London, UK. Hanya 500 set sahaja yang dikeluarkan oleh Royal Mint untuk jualan kepada collector.

Kepada Newbies yang tidak tahu mengenai duit peruf boleh baca mengenainya didalam artikel; apa itu duit syiling peruf. Set ini bukannya datang daripada duit syiling yang anda semua dapat didalam edaran. Ianya ditempa khas untuk pengumpul duit lama.

Kotak syiling

original packing

plastik duit syiling

Saya pernah melihat set peruf syiling Malaysia 1967 sebanyak 3 kali tetapi keadaannya tidak sebaik set ini, yang ada hanya kotak original serta duit syiling peruf tanpa plastik pelindung. Keadaan duit syilingnya juga sedikit usang dan warnanya serta kilatan syilingnya tidak secantik duit syiling yang dimilki oleh Sifu Dickson Niew ini.

Untuk makluman anda, Siri pertama duit syiling Malaysia hanya mula diperkenalkan pada 12 Jun 1967 dengan nilai 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen serta 50 sen.

Spesifikasi Teknikal:
Tahun: 1967
Gred: peruf
Tempaan (Mintage): 500 pcs
Mint: Royal Mint London
Harga jualan asal: ?
Harga pasaran semasa (Okt 2015): RM7,500.

Diharap informasi ini boleh membantu rakan-rakan serba sedikit mengenai set duit syiling yang pada ketika ini adalah sukar untuk dilihat dipasaran. Sebagai rekod, ada set duit syiling Malaysia peruf tahun 1967 yang telah dilelong oleh Numismatic Society (Asia) pada 20 April 2013 di Singapura pada harga SGD2,200 termasuk premium pembeli 15%. untuk makluman juga setiap syiling tersebut mendapat gred yang berbeza dari Numismatic Guaranty Corporation (NGC)-1 sen (PF64RB);5 sen (PF64 Ultra Cameo);10 sen(PF64 Ultra Cameo);20 sen (PF64 Ultra Cameo);50 sen (PF63 Ultra Cameo).

Read More