Isnin, 11 Mei 2015

Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan

Tahukah anda rekabentuk set syiling pattern Malaysia akan dilelong dalam auction CAA 6/2015 di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2015 ini dihasilkan oleh anak tempatan yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah? Rekabentuk Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan itu dihasilkan untuk Pertandingan Mereka Syiling Kebangsaan 1966 yang di anjurkan oleh Arts Council of Malaysia bagi Pihak Bank Negara Malaysia.

syiling 1966

Berikut disertakan petikan daripada akhbar tahun 1966 mengenai Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan:

Pengumuman Pemenang Pertandingan Merekabentuk Syiling Kebangsaan 1966

En. Chong Yum Fatt yang berasal dari Jesselton (Kota Kinabalu) mengalahkan 44 orang artis tempatan seluruh Malaysia didalam Pertandingan Merekabentuk Syiling Kebangsaan oleh Bank Negara dan memenangi $3,000. Tempat kedua yang membawa pulang $2,000 dimenangi oleh seorang guru agama berumur 19 tahun dari Kota Bharu, Kelantan, En. Mohamed Abu Bakar. Tempat ketiga berjumlah $1,000 dimenangi oleh En. Tushar K. Paul daripada Melaka.

En. Chong memenangi pertandingan tersebut dengan rekabentuk Tengiling (Anteater), Monyet Brunei (Brunei Monkey), Tapir, Ayam Hutan (Jungle Fowl) dan Kijang (Barking Deer).

En. Hashim Al-Bakri, salah seorang hakim didalam pertandingan tersebut berkata, "Walaupun rekabentuk yang dihasilkan bertaraf tinggi, kebanyakkan daripada artis yang turut serta lupa ianya dihasilkan untuk duit syiling. Para Hakim memberi markah berdasarkan kepada rekabentuk, kesesuaian teknikal rekabentuk, burung atau binatang yang sesuai untuk Malaysia dan konsistensi 5 rekabentuk yang diterima".

Hakim-hakim lain didalam pertandingan tersebut adalah Gabenor Bank Negara Tun Ismail Mohamed Ali, Kurator kehormat Muzium Negara J.A Bullock, Profesor Ungku Aziz dan En. A.J Dowling dari Royal Mint London.

(Sumber: The Straits Times, 27 February 1966)

Video oleh History Channel terdapat klip video Pemenang Pertandingan mengambil hadiah.

Pameran Rekabentuk Syiling Baru Malaysia

Rekabentuk syiling yang memenangi pertandingan merekabentuk syiling baru Malaysia itu dipamerkan kepada umum buat pertama kalinya bermula 29 Mac 1966 di Muzium Negara.

Perasmian Pameran Rekabentuk Syiling Baru Malaysia itu dibuat oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Tan Siew Sin. Tun Tan Siew Sin juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut. Tempat pertama dimenangi oleh En. Chong Yum Fatt, tempat kedua dimenangi oleh En. Mohamed Abu Bakar dan tempat ketiga dimenangi oleh En. Tushar K. Paul.

Tun Tan berkata, "Pemenang adalah berasal dari segenap penjuru Malaysia dan mewakili kesemua kaum utama di Malaysia. Ini adalah secara kebetulan, walau bagaimana pun, bakat artistik jelas menunjukkan ianya tidak berpihak kepada sesetengah golongan etnik sahaja."

Tun Tan Siew Sin didalam ucapannya juga memberitahu pameran tersebut adalah sesuatu yang penting kerana pertama kali didalam sejarah, syiling Malaysia akan direkabentuk oleh Orang Malaysia sendiri. Pertandingan tersebut mendapat sambutan yang hangat daripada artis tempatan dan hakim agak susah untuk membuat keputusan. Pakar dari Royal Mint London telah memuji tentang taraf rekabentuk tinggi dikalangan peserta pertandingan.

Tun Tan berucap ketika perasmian pameran tersebut:
"Saya berasa amat gembira apabila Gabenor Bank Negara Malaysia mencadangkan untuk mengadakan pertandingan ini untuk melihat kebolehan bakat orang tempatan terlebih dahulu sebelum memberikan tugasan rekabentuk ini kepada artis luar negara."

Beliau memberitahu, tidak ada keputusan telah dibuat mengenai rekabentuk syiling yang manakah yang akan digunakan untuk syiling baru Malaysia.

"Beratus juta syiling akan dikilangkan untuk digunakan sebagai syiling Malaysia dan kita akan hidup bersamanya untuk tempoh yang lama. Kerajaan dan Bank Negara prihatin bahawa rekabentuk syiling tersebut perlulah menarik dan boleh diterima oleh rakyat."

Pameran Rekabentuk Syiling Baru Malaysia itu bermula pada 29 Mac sehingga 10 April 1966 dari jam 10 pagi sehingga 6.30 petang setiap hari di Muzium Negara. Rekabentuk syiling yang dipamerkan itu akan digunakan didalam syiling baru Malaysia oleh Bank Negara yang akan mengantikan Lembaga Matawang. Rekabentuk syiling itu adalah bercirikan Malaysia berdasarkan burung dan binatang didalam rekabentuk tersebut.

(Sumber: The Straits Times, 30 March 1966)


Kenapa rekabentuk syiling ini tidak digunakan?

Di dalam satu artikel yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Mohd Kassim Haji Ali di majalah "Coin Digest" isu ke-4, 1989 yang diterbitkan oleh Taisei Stamps and Coins, Singapura. Allahyarham Datuk Kassim ada menceritakan mengenai nasib Syiling Malaysia 1966 ini apabila wakil daripada Bank Negara bertemu Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk menunjukkan syiling pattern tersebut.

"Tidak, ini tidak boleh", kata Perdana Menteri setelah melihat rekabentuk syiling tersebut.

"Orang akan ingat kita makan semua binatang ini. Kerana kita adalah negara demokrasi berparlimen, kenapa kita tidak ambil sahaja gambar bangunan parlimen untuk digunakan sebagai rekabentuk semua syiling baru. Lihat, ada gambar Parlimen yang baik pada peket rokok 'Parliament' ini."

Dengan itu, rekabentuk syiling baru ini tidak digunakan, Malaysia kemudiannya menggunakan Syiling Parlimen secara rasminya pada 12 Jun 1967.