Selasa, 7 April 2020

Wang Kertas Cadangan di Pameran 60 tahun BNM

Wang Kertas Cadangan (Pattern Banknotes) Malaysia ada yang pernah di pamerkan oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG). Kami melihat ianya sebagai suatu trend yang baik kerana peminat numismatik berpeluang melihat rekebentuk wang kertas yang pernah dicadangkan untuk kegunaan umum dengan harapan, suatu hari nanti mereka akan mempamerkan pula Syiling Cadangan (Pattern Coins).

Pattern Banknotes

Rekabentuk wang kertas dan duit syiling memerlukan kerjasama, penelitian dan persetujuan di antara pelanggan, pereka wang kertas, pencetak dan juga pihak berkuasa yang mengeluarkan wang tersebut.

Tema rekabentuk, ciri-ciri keselamatan dan proses percetakan adalah antara perkara yang perlu di ambil kira didalam membuat rekabentuk wang kertas dan duit syiling.

Negara kita sebenarnya mempunyai banyak wang kertas dan duit syiling cadangan yang tidak pernah dikongsi kepada umum.

Masih ingat lagi cerita Syiling Edaran 2003 yang pernah kami kongsi sebelum ini?

Bagaimana pula dengan cerita set syiling termahal Malaysia yang dijual pada harga RM743,731 di Singapura; Syiling pattern Malaysia 1966.

Masih banyak lagi cerita-cerita numismatik mengenai rekabentuk wang kertas dan duit syiling cadangan yang belum dapat kami rungkaikan.

Berbanding dengan syiling yang mempunyai pereka daripada dalam negara, wang kertas pula lebih mudah untuk dirungkai kerana ia biasanya di cadangkan oleh pencetak wang kertas.

Baru-baru ini, BNM MAG telah mengadakan Pameran “Demi Tanah Air: 60 Tahun Sebagai Bank Pusat”, terdapat dua wang kertas cadangan yang dikongsi semasa pameran tersebut.

Wang kertas tersebut dicadangkan oleh Bradbury Wilkinson & Co. Ltd untuk Bank Negara Tanah Melayu.

Terdapat tiga denominasi wang kertas cadangan yang dipamerkan, 5 Ringgit, 10 Ringgit dan 100 Ringgit.

5 Ringgit

Tidak dapat dipastikan siapakah lelaki pada wang 5 Ringgit yang dipamerkan. Ianya mungkin lakaran Hang Tuah berdasarkan wang kertas cadangan yang ada dipamerkan di BNM MAG sebelum ini.

Apa yang menariknya, bangunan parlimen di buat daripada sebelah atas, ada pengunjung yang tidak tahu ianya adalah bangunan Parlimen. Mungkin kerana sudah biasa dengan Imej bangunan parlimen daripada sisi pada syiling 50 sen parlimen.

duit bank tanah melayu

Wang Kertas Cadangan 10 Ringgit ini memaparkan harimau belang sebagai motif utama di muka hadapan dan gambar perarakan kemerdekaan dimuka belakang.

Bank Tanah Melayu

Rekabentuk wang kertas 100 Ringgit pula memaparkan sang kancil pada muka depan dan burung helang merah pada muka belakang. Jika dilihat rekabentuk wang kertas 100 Ringgit ini sekali imbas, ianya umpama melihat wang kertas Indonesia.

Semoga Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) akan terus berkongsi rekabentuk wang kertas dan duit syiling cadangan Malaysia di masa hadapan.