Rabu, 7 September 2016

Rekabentuk syiling baru tahun 2003, apa yang terjadi?

Pada tahun 2003, Royal Mint of Malaysia ada berkongsi berita mengenai rekabentuk syiling baru daripada pecahan satu sen hingga satu ringgit untuk mengantikan Syiling edaran yang telah dikeluarkan sejak tahun 1989. Ada sesiapa yang tahu apa terjadi kepada cadangan rekabentuk tersebut?

Kami berpeluang untuk mendapat jawapannya daripada pereka Royal Mint ketika itu, Tuan Ismail Ibrahim. Anda boleh membaca mengenai jawapan beliau didalam artikel ini: jawapan designer Royal Mint mengenai syiling edaran tahun 2003.

syiling baru 2003

Ada yang kata ianya ada disimpan di Muzium Bank Negara tetapi tidak dipamerkan kepada umum. Khabar angin juga rekabentuk yang dihasilkan terlalu futuristik serta tidak sesuai untuk dijadikan syiling edaran Malaysia pada ketika itu. Rekabentuk syiling tersebut dikatakan tidak diterima oleh pengurusan Bank Negara Malaysia pada ketika itu.

Semoga suatu hari nanti pengurusan Sasana Kijang, Muzium Bank Negara akan sudi untuk membuat pameran mengenai syiling ini dan juga syiling-syiling pattern Malaysia yang lain. Muzium Bank Negara banyak mempamerkan wang kertas pattern tetapi kenapa tidak syiling-syiling pattern serta trial Malaysia?

Berikut merupakan siaran akhbar mengenai rekabentuk syiling edaran tersebut yang di siarkan pada 14 Mei 2003 di Utusan Malaysia:


"Royal Mint cadang reka bentuk baru duit syiling Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Mei - The Royal Mint of Malaysia, kilang duit syiling tunggal negara ini, telah mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk memperkenalkan rangkaian duit syiling baru sama sekali bagi menggantikan siri sekarang di dalam edaran.

"Kami telah membuat cadangan kami dan telah mengemukakannya (kepada pihak berkuasa),'' Pengarah Urusan syarikat itu, Datuk Megat Mohamed Abdul Wahab, berkata hari ini.

Megat Mohamed memberitahu Bernama di dalam satu wawancara bahawa Royal Mint telah mengambil inisiatifnya sendiri untuk mengeluarkan reka bentuk baru yang tidak menggalakkan peniru-peniru duit palsu.


Reka bentuk baru itu, terdiri daripada pecahan satu sen hingga satu ringgit, datang dengan ciri-ciri keselamatan bermutu tinggi termasuk ukiran tinggi dan dalam.

Megat Mohamed berkata, duit syiling yang dicadangkan itu juga akan menggunakan bahan baru untuk menjadikannya lebih ringan dan lebih selesa untuk dibawa di dalam saku seseorang.

Dalam usaha untuk meninggikan Islam sebagai agama rasmi Malaysia, katanya tahun pengeluaran di dalam duit syiling yang dicadangkan itu akan diukir dalam nombor Arab menurut kalendar Islam di samping huruf-huruf biasa yang menandakan tahun Gregorian.

Megat Mohamed, yang memiliki Royal Mint (dahulunya Kilang Wang) pada 2000, berkata syarikat itu telah diubah menjadi pengilang duit syiling sepenuhnya dengan unit penyelidikan dan pembangunannya sendiri dan juga kelengkapan moden.

"Kami sekarang adalah setanding dengan pengilang wang terbaik di dunia,'' katanya dengan bangga. Ini telah diperlambangkan dalam pengiktirafan ISO 9001 yang diperolehi Royal Mint daripada Moody's International pada akhir tahun lalu kerana reka bentuk dan pengeluaran duit syiling dan pingat-pingat, dan kerja pengurusan berkualiti.

"Ia adalah satu proses yang memenatkan. Saya malahan `dipanggang' selama tiga jam oleh Moody's International, yang mengeluarkan sijil ISO itu.

"Kini kami adalah di kalangan segelintir (syarikat pengilang duit syiling) di dunia dengan ISO (sijil),'' kata Megat Mohamed.

Bank Negara Malaysia adalah pelanggan utama Royal Mint, mengambil kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan perniagaannya.


Kilang duit itu mengeluarkan 1.2 bilion keping duit syiling yang di kilang setiap tahun. - Bernama"

Sumber: Utusan Malaysia

Jika anda mempunyai sebarang maklumat, gambar syiling-syiling tersebut dan juga pendapat mengenai syiling ini, sila komen atau email kepada kami.