Rabu, 11 Mei 2022

5 duit syiling termahal di dunia

Kita dah tau apakah duit syiling termahal di Malaysia, bagaimana pula dengan rekod dunia. Duit Syiling yang manakah mempunyai harga paling mahal pernah direkodkan didalam acara lelongan awam diseluruh dunia? Adakah syiling Malaysia juga termasuk didalam rekod tersebut?

Syiling mahal

Kali ini kami kongsikan kepada anda 5 duit syiling termahal di dunia, dimana setiap satu daripada duit syiling tersebut mempunyai sejarah dan keunikannya yang tersendiri. 


5. 1804 Bust Dollar - RM31,948,800 (USD7,680,000)

1804 Dollar

Syiling 1804 Bust Dollar ini berjaya dilelong oleh Stacks Bowers pada 18 Ogos 2021 pada harga RM31,948,800. Syiling yang juga dikenali sebagai "The King of American Coins" ini pernah dimiliki oleh Said bin Sultan Al-Said, Sultan Muscat dan Oman.

Bahagian hadapan dolar perak dihiasi dengan patung Liberty dan ditulis dengan tarikh "1804" dan perkataan "kebebasan." Bahagian belakang pula menampilkan seekor helang dan 13 bintang yang mewakili koloni asal Amerika Syarikat.

Sejarah syiling ini amat menarik kerana rekod kilang wang Amerika Syarikat menunjukkan tempaan dolar perak untuk tahun 1804 adalah sebanyak 19,570 keping, Namun sebenarnya semua itu adalah bertarikh 1803.

Menurut laporan pengkaji syiling Amerika Syarikat, syiling ini telah dibuat pada tahun 1834 atas permintaan Presiden Amerika Syarikat, Andrew Jackson untuk diberikan sebagai hadiah diplomatik kepada rakan pemimpin dunia terutamanya Raja dan Sultan.

Syiling ini telah diberikan kepada Said bin Sultan Al-Said, Sultan Muscat dan Oman, setahun kemudian pada tahun 1835. 

Set syiling 1834


Selain Sultan Muscat, Raja Siam juga ada menerima set syiling yang serupa. Didalam set syiling tersebut terdapat syiling half cent, cent, half dime, dime, quarter, half dollar, silver dollar, quarter eagle, half eagle, and eagle Amerika Syarikat yang kesemuanya dibuat dalam kualiti peruf.


4. 1822 Half Eagle - RM34,776,000 (USD8,400,000)

1822 Half Eagle


Syiling emas pertama yang dikeluarkan oleh Kilang Wang Amerika Syarikat, 5 Dolar 1822 Capped Head Left Half Eagle ini telah berjaya dilelong pada harga RM34,776,000 oleh Stacks Bowers pada 25 mac 2021.

Reka bentuk hadapannya memaparkan potret Liberty yang memakai round-capped menghadap ke kiri di bahagian depan dan helang yang diubah suai di bahagian belakang.

Walaupun hasil tempaan yang dilaporkan sebanyak 17,796 keping, hanya terdapat 3 keping saja 1822 Half Eagle yang masih wujud didalam koleksi pengumpul numismatik, menjadikannya salah satu daripada semua syiling AS keluaran biasa yang paling rare

Syiling yang dijual Stack Bowers ini adalah syiling yang mempunyai gred terbaik berbanding dengan dua lagi syiling yang serupa. Kedua-dua syiling yang lain pula dimiliki oleh Smithsonian Institution, Muzium yang menyimpan koleksi-koleksi berharga di Amerika Syarikat. 


3. 1787 Brasher Doubloon - EB on Wing - RM37,908,000 (USD9,360,000)

1787 Brasher Doubloon


Syiling emas persendirian yang pertama dikeluarkan di Amerika Syarikat ini telah berjaya dilelong oleh Heritage Auctions pada harga RM37,908,000 pada 21 Januari 2021. 

Bahagian hadapan syiling ini memaparkan jata negeri New York dengan Matahari terbit di atas puncak gunung dengan badan air di latar depan. Dengan Perkataan NOVA EBORACA COLUMBIA EXCELSIOR dibahagian atas. Bahagian belakang memaparkan seekor Helang sedang mengembangkan sayapnya, perisai menutupi dadanya, sebelah kakinya memegang sekumpulan anak panah dan sebelah lagi memegang dahan pokok zaitun. Terdapat perkataan UNUM E PLURIBUS.

Syiling ini dikeluarkan sekitar tahun 1787 oleh Ephraim Brasher, seorang tukang emas dan tukang perak terkenal yang juga seorang contract-assayer di Kilang Wang Amerika Syarikat. 

Ephraim Brasher cukup dihormati kerana kemahirannya didalam pertukangan emas dan perak selain dikenali kerana menggunakan piawaian standard untuk syiling kerana pada waktu itu, kebanyakkan nilai syiling boleh dipertikaikan kerana tidak mempunyai piawaian berat yang standard.


2. 1794 Flowing Hair dollar - RM30,451,300 (USD10,016,875)

1794 dollar


Syiling Flowing Hair Dolar, syiling dolar pertama yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat ini telah berjaya dilelong pada harga RM30,451,300 (pada waktu itu harga Ringgit pada kadar RM3.04 berbanding Dolar Amerika) oleh Stack's Bowers Galleries pada 24 Januari 2013. Pada waktu itu, harga USD10,016,875 adalah harga jualan tertinggi di dunia numismatik untuk syiling.

Muka hadapan syiling memaparkan Potret Liberty menghadap ke kanan dikelilingi oleh 15 bintang (8×7) yang mewakili bilangan negeri dalam Kesatuan Amerika Syarikat pada masa itu. Atas: LIBERTY. Di bawah: 1794. Muka belakang memaparkan Helang menghadap ke kanan berdiri dengan sayap dikembangkan, dikelilingi oleh karangan bunga. Tulisan UNITED STATES OF AMERICA mengelilingi reka bentuk belakang.

Syiling Flowing Hair Dolar ditempa pada tahun 1794 dan 1795; saiz dan beratnya adalah berdasarkan dolar Sepanyol, yang popular dalam perdagangan di seluruh Amerika. Syiling ini adalah Syiling contoh Spesimen yang mendapat gred Specimen-66  oleh Professional Coin Grading Service (PCGS).


1.  1933 double eagle - RM77,868,000 (USD18,900,000)

1933 double eagle


Syiling 1933 double eagle adalah syiling emas 20 dolar Amerika Syarikat yang dilelong pada harga RM77,868,000 oleh Sotheby's pada 8 Jun 2021. Syiling ini adalah satu-satunya syiling 1933 double eagle yang dibenarkan untuk dimiliki oleh orang persendirian.

Walaupun 445,500 syiling ini telah ditempa pada tahun 1933, tiada satu pun pernah diedarkan secara rasmi, dan kesemuanya kecuali dua diarah untuk dileburkan. Bagaimanapun, 20 keping syiling ini telah dicuri dan tidak dilebur. Kesemua syiling tersebut telah ditemui dengan 9 darinya diarahkan untuk dilebur.

Hanya ada 13 keping syiling ini yang masih wujud. Selain syiling ini, dua keping syiling disimpan di dalam Koleksi Numismatik Kebangsaan A.S., sepuluh lagi disimpan di Depositori Bullion Amerika Syarikat di Fort Knox.

Syiling ini pernah dimiliki oleh Raja Farouk, Raja Mesir yang terkenal dengan koleksi antik berharga miliknya. 

Kerajaan Amerika Syarikat telah menyatakan ini adalah satu-satunya Syiling 1933 Double Eagle yang dibenarkan untuk pemilikan persendirian. Mana-mana Syiling 1933 Double Eagle yang mungkin wujud adalah harta Kerajaan Amerika Syarikat, tidak sah untuk dimiliki, dan tertakluk kepada penyitaan.