Ahad, 13 Oktober 2013

Syiling 50 sen 1988 Bunga Raya

Anda pernah nampak tak Duit Syiling 50 sen 1988 Bunga Raya? 20 sen 1988 Bunga Raya? Atau Seringgit 1988 Bunga Raya? Tak Pernah? Bermakna anda tak pernah lagi melawat Galeri Numismatik milik Bank Negara Malaysia di Sasana Kijang. Bagi yang bukan collector mesti akan timbul tanda tanya, apa istimewanya syiling Bunga raya tahun 1988? Mesti ada yang cakap dalam hati, kat rumah saya ada simpan dulu tapi tak tahu dah simpan mana. Ayat standard Rakyat Malaysia yang tak nak kalah dengan orang lain.

50 sen 1988

Sebelum saya bercerita tentang syiling tersebut, lebih baik kita imbas kembali mengenai Duit syiling Bunga Raya atau secara rasminya dipanggil oleh Bank Negara Malaysia sebagai Duit Malaysia siri kedua atau Siri artifak Budaya. Ianya telah diperkenalkan ke dalam edaran pada 4 September 1989 dengan tradisi Malaysia sabagai ciri-ciri reka bentuk/tema. Denominasi dikeluarkan adalah 1, 5, 10, 20, 50 sen dan 1 ringgit. Bunga Raya, bunga kebangsaan Malaysia menghiasi bahagian hadapan syiling dan gambaran item budaya Malaysia di bahagian belakangnya.

Oleh yang demikian, syiling ini secara rasminya dimulakan pada tahun 1989 dan ramai daripada kita yang hanya pernah melihat syiling bunga raya bermula pada tahun 1989 bukan 1988.

Beberapa minggu yang lepas, ada pembaca yang bertanyakan kepada saya dia ada terlihat duit syiling 50 sen 1988 Bunga Raya tetapi tidak ada melihatnya ditulis didalam mana-mana buku katalog termasuklah buku katalog terbaru. Seperti biasa, soalan cepu emasnya adalah berapakah harga Duit Syiling 50 sen 1988 Bunga Raya tersebut?

Apabila saya bertanya dimanakah beliau melihat duit syiling tersebut, beliau tidak memberikan sebarang jawapan. oleh yang demikian, saya beranggapan beliau mungkin terbaca mengenainya di artikel blog saya; 1988 50 sen bunga raya atau juga beliau ada melihatnya sendiri di Sasana Kijang. Saya tidak pasti jika didalam pasaran sudah ada duit palsu untuk syiling ini atau tidak. Setakat yang saya dengar, syiling 50 sen 2006 sudah ada yang palsu dan sudah ada yang membelinya pada harga tinggi.

1 ringgit 1988

20 sen 1988

5 sen 1988

Syiling Bunga raya tahun 1988 untuk denominasi 1 ringgit, 50 sen dan 20 sen yang anda semua dapat lihat di Muzium Bank Negara tersebut adalah duit syiling Specimen (Duit Contoh) dan hanya ada beberapa keping sahaja dikeluarkan. Amat mustahil untuk anda mendapatkannya daripada edaran. Anda mungkin boleh mendapatkannya "jika ada" orang dalam BNM yang melepaskannya keluar kepada collector pada harga yang sudah pasti mahal.

Setahu saya, sekarang ini amat sukar untuk mendapatkan "Duit Contoh" kerana BNM melakukan kawalan ketat kepada kakitangannya yang mengendalikan duit contoh itu. BNM dikatakan meletakkan "SPY" di lapangan untuk mencari sesiapa yang ada memiliki dan menjual duit contoh tersebut.

Namun, tidak mustahil ada daripada syiling-syiling specimen Malaysia ini yang sudah "terkeluar" dari BNM dan menjadi milik collector. Saya cuma berharap ianya tidak akan menyeberangi seberang tambak dan hanya akan kembali ke Malaysia apabila harganya sudah meningkat berkali-kali ganda. Saya tahu Bank Negara Malaysia ada banyak lagi syiling Specimen yang tidak pernah kita lihat sebab bagi kakitangannya, syiling tersebut tidak bernilai. Semoga suatu hari nanti BNM sudah untuk mempamerkan atau berkongsi mengenainya kepada kita semua.

Saya juga baru perasan syiling 5 sen bunga raya yang dipamerkan di Muzium BNM itu juga adalah tahun 1988. Sila betulkan saya jika saya silap. Hanya syiling 10 sen dan 1 sen yang mempunyai tahun 1989 dipamerkan di Sasana Kijang.

Berapakah harga syiling Bunga raya tahun 1988 untuk denominasi 1 ringgit, 50 sen, 20 sen dan 1 sen? Biar anda sendiri yang memberikan jawapannya....