Ahad, 4 September 2016

10 fakta syiling Malaysia yang anda mungkin tak tahu

Duit syiling Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia hanya berusia 49 tahun (ketika artikel ini ditulis), sejak ianya pertama kali diedarkan kepada umum pada 12 Jun 1967. Terdapat pelbagai fakta mengenai duit syiling Malaysia yang anda mungkin tidak pernah tahu. Hari ini, kami kongsikan kepada anda 10 Perkara mengenai syiling Malaysia yang anda mungkin tak tahu:

syiling Malaysia

10 fakta syiling Malaysia

1. Pada tahun 1966, satu pertandingan mereka bentuk duit syiling Malaysia telah di adakan yang bertujuan untuk memilih rekabentuk baru untuk duit syiling Malaysia yang pertama kali dikeluarkan untuk mengantikan duit syiling Malaya. Namun, rekaan syiling itu tidak digunapakai kerana Perdana Menteri pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman berpendapat syiling dengan rekaan monyet belanda, tengiling, tapir, kijang dan ayam hutan tidak sesuai untuk sebuah negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia; Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan.


2. Tahukah anda, syiling Malaysia dikilangkan didalam negara? Sejak 10 Julai 1971, Kilang Wang Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan di Shah Alam. Kilang tersebut mengeluarkan sendiri duit syiling Malaysia sejak duit syiling Parlimen sehinggalah duit syiling yang ada sekarang ini. Sebelum ini, duit syiling Malaysia dikeluarkan oleh Kilang Wang di London, United Kongdom dan juga di Hamburg, Jerman. 


3. Walaupun Kilang Wang BNM telah dibuka secara rasmi pada tahun 1971, syiling peringatan pertama Malaysia yang dikeluarkan didalam negara hanya dibuat pada 26 Januari 1989. Syiling Ulangtahun ke-30 tahun Bank Negara Malaysia menjadi duit syiling peringatan pertama yang dikeluarkan didalam negara. Duit syiling peringatan yang diperbuat daripada perak pada kualiti pruf itu hanya ditempa sebanyak 10,000 keping. Kilang tersebut turut mencetak 47,000 duit syiling perak yang bukan pruf.


4. Satu-satunya syiling Malaysia yang tidak lagi sah diperlakukan adalah duit syiling emas 1 Ringgit yang dikeluarkan dari tahun 1989 sehingga 1996. Syiling yang diperbuat daripada Copper-zinc tersebut tidak lagi sah diperlakukan sehingga 6 Disember 2005, ianya ditarik balik oleh Bank Negara Malaysia didalam masa 3 bulan bermula daripada 7 September sehingga 6 Disember 2005.


5. Duit syiling 1 sen walaupun telah diberhentikan pengeluarannya sebenarnya masih lagi boleh digunakan didalam transaksi harian. Namun, kemungkinan besar kakitangan kedai, pasaraya atau mana-mana bank komersial tidak menerimanya didalam transaksi harian kerana beranggapan ianya tidak boleh digunakan lagi. Kerajaan telah memperkenalkan pelaksanaan mekanisme penggenapan dalam urus niaga yang berkuatkuasa pada 1 April 2008. Antara tujuannya adalah untuk menjimatkan wang kerajaan sehingga RM14 juta setahun untuk mengurangkan pengeluaran syiling satu sen. Pada masa itu, kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak 4.2 sen bagi mengeluarkan sekeping syiling satu sen. Rujuk: Maklumat & Sejarah Syiling 1 Sen Malaysia.


6. Syiling pertama yang tertera tulisan "MALAYSIA" bukanlah duit syiling Parlimen Malaysia yang mula dikeluarkan pada tahun 1967. Duit syiling "MALAYSIA" yang pertama adalah duit syiling yang dikeluarkan semasa penjajahan jepun, Pada muka depan syiling itu kelihatan tiga cabang daun dan tahun Jepun 2602 (tahun masihi 1942) serta perkataan "MALAYSIA". Di Bahagian belakang, kelihatan cahaya matahari diapit oleh bunga sakura dengan tulisan 20 sen di atas. Syiling tersebut ada dipamerkan di Sasana Kijang, Muzium Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Rujuk: Syiling Jepun bertulis Malaysia 2602.


7. Tahukah anda, Bank Negara Malaysia tidak mengeluarkan duit syiling setiap tahun? Ada tahun-tahun dimana sesuatu denominasi duit syiling tidak dikeluarkan oleh BNM kerana ianya mempunyai jumlah yang mencukupi didalam edaran. Anda boleh rujuk senarai duit syiling yang tidak dikeluarkan oleh BNM disini; Duit tiada keluaran mengikut tahun.


8. Walaupun syiling parlimen tahun 1967 adalah syiling yang pertama dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Namun, tidak semua daripadanya berharga mahal kerana jumlah keluarannya yang sangat tinggi. Syiling 1 sen (45juta keping dikeluarkan); Syiling 5 sen (75juta keping dikeluarkan); syiling 10 sen (106juta keping dikeluarkan); syiling 20 sen (49juta keping dikeluarkan) dan syiling 50 sen (15juta keping dikeluarkan).


9. Duit syiling sisi bergerigi (milled edge) 50 sen untuk tahun 1967, 1968 dan 1969 adalah di antara duit syiling Malaysia yang mempunyai harga yang tinggi didalam pasaran duit lama. Namun, ramai bukan collector yang beranggapan, duit syiling sisi sekuriti (security edge) atau lebih dikenali juga sebagai sisi longkang mereka berharga mahal. Untuk memahami dengan lebih lanjut, anda boleh membaca artikel sebelum ini; Harga duit syiling 50 sen Malaysia.


10. Sejak syiling parlimen dikeluarkan lagi, duit syiling 10 sen adalah duit syiling yang paling banyak jumlah keluarannya didalam edaran berbanding dengan syiling denominasi yang lain. Namun, syiling 10 sen yang dikeluarkan pada tahun 1971 mempunyai jumlah keluaran yang paling sedikit untuk mana-mana duit syiling Malaysia pada sesuatu tahun, hanya ada 32,236 keping dikeluarkan untuk tahun tersebut. Suatu rekod yang masih lagi kekal sehingga ke hari ini.