Isnin, 8 Oktober 2012

Kilang Wang Bank Negara

Ada yang bertanyakan kepada saya, "siapakah yang membuat duit syiling Malaysia yang baru?" Kebanyakan daripada bukan kolektor mungkin terfikir yang duit syiling kita dibuat di luar negara. Mesti ada mana-mana ahli politik yang mendapat keuntungan di atas angin daripada tender yang diberikan daripada kilang wang di luar negara itu kan? Berapalah agaknya nilai tender untuk mencetak duit syiling baru tersebut? Pelik tetapi benar, rakyat Malaysia sekarang amat berfikiran negatif dengan pencapaian negara mereka sendiri. Semuanya disebabkan politik yang membawa kepada sifat hilangnya semangat patriotik dan cintakan negara. Apa sahaja benda baru yang dibuat di Malaysia akan dikaitkan dengan politik dan dipandang secara negatif terlebih dahulu.

Megat Abdul Wahab

Malaysia sebenarnya sudah lama mempunyai Kilang Wangnya sendiri dan mula mencetak/menempa duit syiling Malaysia pada tahun 1971, iaitu sejak duit syiling Parlimen lagi. Pada ketika itu Kilang Wang yang berada di Shah tersebut hanya menempa duit syiling untuk edaran sahaja, duit syiling peringatan biasanya ditempa di luar negara. Hanya pada 26 Januari 1989, Kilang Wang Bank Negara buat pertama kalinya mengeluarkan duit syiling peringatan pruf pertamanya; Syiling Ulangtahun ke-30 Bank Negara. Duit syiling peringatan yang diperbuat daripada perak pada kualiti pruf itu hanya ditempa sebanyak 10,000 keping. Kilang tersebut turut mencetak 47,000 duit syiling perak yang bukan pruf.

Daripada tahun 1992 sehingga 1999, tidak ada syiling peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sama ada yang ditempa di luar negara atau di Kilang Wangnya di Shah Alam. Saya diberitahu, pada ketika itu, mesin-mesin untuk membuat duit syiling peringatan di kilang tersebut sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi (ini hanya khabar angin, sila betulkan saya jika silap). Pada tahun 1997, ketika kemelesetan ekonomi, pemilik Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd yang berpusat di Kuala Kangsar, Datuk Megat Abdul Wahab Megat Abu Bakar telah menawarkan untuk mengambil-alih Kilang Wang. Tawaran itu telah dikemukakan kepada Bank Negara tetapi tidak ada jawapan. Saya diberitahu, walaupun Bank Negara tidak memberi jawapan, mereka ada membaca dan membincangkan cadangan Datuk Megat Abdul Wahab.

Pada 23 November 1998, Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd dilawat oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Tun Mahathir memuji kebolehan anak tempatan untuk menghasilkan hasil kraftangan logam yang berkualiti tinggi. Pada ketika itu, Mariwasa kraftangan sudah terkenal dengan kualiti pingat yang dihasilkan oleh mereka. Ini sedikit sebanyak telah mempromosikan syarikat tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia lainnya. Pada awal tahun 2000, tawaran Datuk Megat Abdul Wahab Megat Abu Bakar untuk menswastakan Kilang Wang telah diterima oleh Bank Negara. Pada ketika itu, Kilang Wang hanya mempunyai 20 orang kakitangan. Walaupun Datuk Megat Abdul Wahab mempunyai sumber dan kakitangan yang terhad, beliau berjaya juga untuk menghasilkan Duit Syiling Peringatan; Syiling peringatan Piala Thomas-Uber 2000. Syiling tersebut dihasilkan oleh syarikatnya di Kuala Kangsar, Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd.

Sejak pengambilalihan Kilang Wang oleh Datuk Megat Abdul Wahab, ianya dikenali sebagai Royal Mint of Malaysia. Mereka tidak pernah gagal untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu syiling peringatan setiap tahun. Pada tahun 2009, Royal Mint bertukar semula kepada Kilang Wang Bank Negara. Jika ada yang masih tidak tahu, Kilang Wang tersebut terletak di Kompleks Kilang Wang, Lot 2 Persiaran Selangor, Seksyen 15, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Cerita ini disampaikan kepada saya oleh salah seorang kakitangan kanan Royal Mint Malaysia suatu masa dahulu, jika ada kesilapan, sila email atau komen untuk membetulkan sejarah penting di dalam numismatik Malaysia ini.

Untuk syiling baru, hanya coin blank yang di import daripada Korea Selatan melalui Poogsan Corporation. Duit Syiling baru Malaysia ditempa di Kilang Wang Bank Negara di Shah Alam.