Ahad, 30 September 2012

50 sen terbelah tepi

Walaupun sudah banyak kali saya bercakap mengenainya, masih ada lagi yang bertanya kepada saya berkenaan duit syiling 50 sen terbelah tepi atau 50 sen berparit; berapakah harganya dan adakah ianya bernilai tinggi kepada pengumpul duit lama. Ada juga yang berani menawarkan kepada saya duit syiling tersebut pada harga seribu ringgit. Murah sangat tu, alang-alang jual saja pada harga RM100,000. Dah jual nanti boleh berhenti kerja dan jual duit 50 sen belah tepi sepenuh masa. Hahahaha.... Susah betul nak bagi pelajaran percuma kepada mereka yang hanya kejar wang ringgit. Apabila kita terangkan yang duit itu nilainya tidaklah setinggi yang mereka sangkakan, kita pula yang menjadi mangsa sasaran rasa marah mereka.

50 sen parit

Seperti yang saya terangkan sebelum ini di post; Duit syiling 50 sen Parlimen, ramai daripada bukan kolektor tidak tahu bahawa duit syiling 50 sen terbelah tepi itu dipanggil oleh kolektor sebagai sisi sekuriti (security edge). Hanya ada 3 tahun di mana Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling 50 sen sisi sekuriti; tahun 1967, 1968 & 1969. Jika ada tahun yang lain daripada yang disebutkan di atas, ianya adalah duit syiling palsu atau yang diubah oleh penjual yang mencari keuntungan mudah dengan menipu orang lain.

Tempaan keluaran Duit 50 sen belah tepi:
1967 -15,000,000 pcs
1968 -12,000,000 pcs
1969 -2,000,000 pcs

Jika dilihat daripada senarai tempaan duit syiling yang dikeluarkan BNM, jumlah duit syiling terbelah tepi bagi tahun 1967 dan 1968 adalah agak banyak dan agak mudah untuk ditemui. Mana mungkin harganya mencecah sehingga beribu ringgit sekeping. Hanya untuk duit syiling 50 sen 1969 berparit pada kondisi yang tinggi uncirculated mempunyai harga yang agak tinggi sehingga mencecah RM300 sekeping kerana agak sukar mencari syiling pada tahun tersebut dengan kondisi sebegini.

Sebenarnya, duit syiling 50 sen tidak berparit (Milled Edge) yang mempunyai harga tinggi daripada syiling-syiling yang lain untuk 50 sen tahun 1967, 1968 dan 1969. Ramai bukan kolektor yang silap faham, mereka ingatkan duit syiling 50 sen berparit atau belah tepi yang mempunyai harga tinggi dipasaran, sebenarnya pengumpul duit lama mencari duit 50 sen milled edge ini. Harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit sekeping kerana agak sukar untuk menemuinya. Hanya ada lebih kurang 0.01% jumlah duit syiling milled edge daripada jumlah tempaan setiap duit syiling tersebut. untuk mengetahui lebih lanjut mengenai harganya, anda boleh membaca; Harga duit syiling 50 sen mengikut tahun.

Diharap, penulisan ini akan memberi pemahaman yang mendalam kepada bukan kolektor yang salah faham berkenaan duit syiling 50 sen terbelah tepi.


Read More

Sabtu, 29 September 2012

Syiling Malaysia diperbuat daripada apa?

Ada yang bertanya kepada saya "Duit syiling Malaysia diperbuat daripada apa?" Setakat ini ada 3 siri duit syiling Malaysia dan yang terbaru adalah yang dikeluarkan pada tahun 2012. Kebanyakan duit syiling Malaysia menggunakan logam copper-nickel, hanya pada tahun 2012, kita mula menggunakan logam yang berbeza. Ini kerana harga pasaran Copper-nickel sudah agak tidak sesuai untuk dijadikan sebagai duit syiling edaran. Dengan harga logam yang semakin meningkat, mungkin suatu hari nanti Malaysia akan terpaksa menghentikan penggunaan sesetengah denominasi (seperti syiling 1 sen) atau berubah kepada logam yang lebih murah. Mana tahu suatu hari nanti syiling Malaysia berubah kepada logam aluminium kan?

Duit baru

Ramai yang memperkatakan tentang duit syiling baru 5 sen dan 10 sen yang dikatakan boleh melekat magnet. Ini kononnya akan menyebabkan telefon bimbit kita rosak kerana duit syiling terbabit. Seolah-olah mereka ini semua membawa magnet ke mana-mana sahaja bersama mereka. 5 sen dan 10 sen baru tersebut walaupun diperbuat daripada magnet, ianya tidak mempunyai komposisi besi yang cukup untuk menjadikannya sebuah magnet. Oleh yang demikian, tidak ada masalah untuk anda membawanya bersama dengan telefon anda kecuali anda terlalu pintar dengan membawa magnet bersama dengan duit syiling anda. Ada juga yang mempersoalkan tentang duit syiling 20 sen dan 50 sen yang mudah kotor. Ini kerana logam Nickel Brass walaupun cantik ketika ianya baru dikeluarkan, ianya tidak sesuai dengan cuaca di Malaysia yang mempunyai kadar kelembapan yang agak tinggi sepanjang tahun.


Duit syiling siri pertama-Parlimen:

1 sen.
Logam: Copper (1967-1973) Copper Clad Steel (1973-1988).

5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan $1.
Logam: Copper -Nickel.
Komposisi: Cu: 75, Ni: 25.
untuk membaca lebih lanjut berkenaan siri duit syiling ini, anda boleh membaca: Duit syiling Malaysia siri pertama.


Duit Malaysia siri kedua-Bunga Raya:

1 sen.
Logam: Copper Clad Steel.

5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
Logam: Copper -Nickel.
Komposisi: Cu: 75, Ni: 25.

1 ringgit.
Logam: Copper-Zinc
Komposisi: Cu: 84, Zn: 12, Sn: 4.
untuk membaca lebih lanjut berkenaan siri duit syiling ini, anda boleh membaca: Duit Malaysia siri kedua.


Duit Malaysia siri ketiga-Siri Baru:

5 sen & 10 sen.
Logam: Stainless Steel

20 sen.
Logam: Nickel Brass

50 sen.
Logam: Nickel Brass Clad Copper


Read More

Jumaat, 28 September 2012

50 sen 1988 extra dot

Saya hampir terlupa untuk menerbitkan artikel ini. Mungkin kerana 50 sen 1988 extra dot adalah yang paling mudah untuk ditemui di dalam siri extra dot duit syiling Malaysia. namun, untuk menemuinya pada kondisi Brilliant Uncirculated adalah agak sukar sedikit dan harganya boleh mencecah sehingga RM120 sekeping. Untuk senarai penuh harga duit 50 sen Malaysia anda boleh membaca post ini; Harga duit syiling 50 sen mengikut tahun. Dot yang ada pada syiling ini juga agak besar dan tidak sukar untuk melihatnya. Pada kebiasaannya ada dua dot, satu berdekatan dengan bangunan parlimen dan satu lagi adalah dot besar di atas bangunan Parlimen.

50 sen

Ini adalah siri extra dot duit syiling Malaysia yang terakhir. Walau bagaimanapun, siri ini adalah menurut buku Steven Tan. Ada banyak lagi syiling extra dot diluar sana yang tidak di muatkan di dalam buku beliau. Mungkin kerana extra dot yang ditemui tidak mempunyai kuantiti yang banyak atau kualiti cetakan yang semakin kurang pada siri bunga raya dan seterusnya. Jadi jangan lupa untuk memeriksa duit syiling 50 sen 1988 anda, mana tahu ada extra dot. Boleh cuba menjualnya menurut kaedah yang saya telah kongsikan disini; Cara mudah nak jual duit lama.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini.


Read More

Khamis, 27 September 2012

Persatuan pengumpul wang lama

Ada beberapa orang yang bertanyakan kepada saya berkenaan Persatuan pengumpul wang lama yang ada di Malaysia ini dan bagaimanakah mereka boleh turut serta di dalam persatuan tersebut. Persatuan, Kelab atau Society yang ada berkaitan dengan mengumpul duit lama ini tak banyak dan agak kurang aktif berbanding dengan persatuan-persatuan lain. Agak sukar untuk mereka yang baru menceburi hobi ini mencari persatuan-persatuan ini kerana tidak tahu nama persatuan dan dimana nak mendaftar sebagai ahli. Selain mewujudkan website untuk persatuan tersebut, bagi saya lebih bagus jika persatuan-persatuan ini dapat juga mendaftar di laman-laman sosial seperti Facebook dan juga Twitter. Lebih mudah untuk pengumpul-pengumpul baru bertanyakan soalan kepada mereka.

MNS


Malaysia Numismatik Society
Di Malaysia ini, hanya ada satu Persatuan pengumpul wang lama yang aktif menjalankan lelongan kepada ahli-ahlinya, 4 kali setahun dan akan menjalankan lagi lelongan awam pada 30 September 2012 ini. Malaysia Numismatic Society (MNS) adalah persatuan numismatik pertama di Malaysia dan telah ditubuhkan sejak tahun 2hb Oktober 1968. Anda boleh membaca segala informasi mengenai persatuan ini di website mereka www.money.org.my yang telah diwujudkan sejak 7hb Ogos 2005. Lelongan biasanya mereka jalankan pada hujung bulan Mac, Jun, September dan Disember setiap tahun di jabatan Muzium, Muzium Negara, Kuala Lumpur. Jika anda berminat menjadi ahli,anda boleh mendapatkan borang melalui website mereka. Bayaran RM20 dikenakan sebagai yuran kemasukan ahli dan juga RM40 untuk yuran tahunan.


Kelab Warisan Numismatik
Selain itu, ada juga Kelab Warisan Numismatik (KWN) yang ditubuhkan sejak 1 April 2012. Presidennya, Dato' Sharuddin Yusof juga adalah seorang blogger di sharuddin58.blogspot.com. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai objektif dan tujuan kelab ini di blog Dato' Sharuddin. Yuran keahliannya adalah sebanyak RM60 yang merangkumi yuran keahlian, yuran tahunan dan juga sijil serta kad keahlian. Mereka bercadang untuk membuat satu pameran mengenai numismatik pada tahun ini. Pada mulanya mereka bercadang untuk membuat lawatan ke Kilang Wang dan juga Kilang Duit Kertas tetapi bagi saya ianya tidak akan terjadi selagi Bank Negara tidak menukar polisi mereka. Jika anda berminat menjadi ahli, anda boleh menghubungi mereka di:

Kelab Warisan Numismatik:
No. 3A Kedai 20 Unit Nadikota,
26400 Bandar Jengka,
Pahang Darul Makmur.
Tel : 609-4664270
Fax : 609-4664270

Sarawak Philatelic and Numismatic Society
Satu lagi Persatuan yang agak aktif ialah Sarawak Philatelic and Numismatic Society (SPNS). Persatuan ini, melalui presidennya, John Goh Cheong Huat selalu keluar di dada akhbar di Borneo Post dan juga di The Star mempromosikan Numismatik dan juga Philately. Cuma saya tidak ada informasi berkenaan dengan persatuan ini. Jika ada rakan-rakan yang mempunyai sebarang informasi, boleh emailkan kepada saya atau komen di Facebook.


Read More

Selasa, 25 September 2012

Koleksi duit lama

Adakah anda pernah mengira berapa banyak koleksi duit syiling lama yang anda ada? Berapa keping semuanya? Berapakah kos anda untuk membeli koleksi duit lama anda yang ada sekarang ini? Berapa banyak duit yang telah anda habiskan untuk koleksi dan juga aksesori seperti album duit lama, coin holder dan juga aksesori-aksesori lain? Jika anda pengumpul duit lama tegar, anda tidak akan terpikir pasal kos anda untuk membeli duit syiling. Apa yang penting anda tidak terlebih menggunakan duit belanja bulanan anda. Jika anda adalah kolektor tegar, kalau dah dapat duit idaman, kalau boleh nak tengok tiap-tiap malam sebelum nak tidur kan? Isteri saya kata, macam tengok perempuan cantik jer bang, hahahaha....

british north borneo

Adakah anda berkongsi dengan rakan-rakan koleksi duit lama anda? Ada orang berkongsi duit syiling mereka melalui blog yang dikhususkan untuk koleksi yang mereka ada. Ada pengumpul duit lama yang berkongsi melalui perjumpaan dengan rakan-rakan yang diadakan secara berkala; sekali seminggu atau sekali sebulan. Keseronokan berkongsi koleksi yang ada adalah suatu kepuasan yang mungkin tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ada yang mendapat motivasi mudah apabila ramai rakan-rakan yang memuji koleksi duit lama yang ada padanya. Namun, saya nasihatkan berhati-hati untuk melakukan perkongsian dengan rakan-rakan. Saya banyak kali mendengar koleksi yang dikongsi hilang dicuri. Sebaiknya hanya berkongsi dengan rakan-rakan yang kita sudah kenal lama. Memang seronok berkongsi tetapi apabila ianya hilang sekelip mata, sesal kemudian pun tak guna. Bukan mudah nak cari balik koleksi yang telah hilang.

Jika anda belum menjadi kolektor tegar, rasanya anda hanya akan menyimpan apa sahaja duit lama yang anda rasakan mempunyai harga dan bernilai; tidak kiralah dari segi materialnya ataupun sentimentalnya. Cara menyimpan duit syiling pun rasanya tidak betul atau memang tidak tahu. Apatah lagi jika ada duit syiling yang berwarna hitam, anda akan berusaha untuk mencari cara mencuci duit lama supaya ianya nampak berkilat dan cantik dipandang mata. Saya nasihatkan, jangan cuci koleksi anda walaupun ianya kelihatan buruk dimata anda. Ada syiling yang mempunyai patina dan toning yang mengambil masa berpuluh tahun untuk terjadi. Mencucinya akan turut membuang toning dan patina tersebut, sesuatu yang bernilai untuk pengumpul duit lama tegar. Biarkan sahaja duit syiling tersebut pada keadaan asal.

Apabila anda telah menjadi pengumpul duit lama tegar, anda akan mula mengumpul duit lama mengikut jenisnya dan cuba melengkapkan koleksi duit syiling anda. Sebagai contoh, cuba mendapatkan koleksi lengkap Malaysia coin card atau menyimpan duit bunga raya mengikut tahun. Kolektor tegar biasanya akan menjual sedikit daripada koleksinya yang berlebihan untuk mencari duit syiling idamannya. Untuk mereka yang masih tidak tahu bagaimana untuk menjual duit lama, boleh membaca disini; panduan mudah menjual duit lama.

Kalau dulu anda mungkin memanggil koleksi duit syiling 50 sen anda sebagai duit syiling terbelah, 1 ringgit 1972 atau mungkin duit syiling 5 ringgit Tunku Abdul Rahman, apabila anda telah menjadi kolektor tegar, anda mula tahu yang duit syiling terbelah itu hanya ada untuk tahun 1967, 1968 dan 1969. 1 ringgit 1972 itu sebenarnya duit syiling peringatan dan sebagainya. Untuk senarai penuh duit syiling Malaysia, anda boleh membacanya disini; Senarai Lengkap Harga Duit Syiling Malaysia. Tak perlu risau jika banyak lagi perkara yang anda tidak tahu, banyakkan membaca untuk menambah ilmu sambil menambah koleksi. Namun, ilmu untuk mengred duit syiling adalah perkara utama yang anda perlu belajar terlebih dahulu jika anda ingin serius di dalam hobi ini.

Koleksi duit lama bagaimanakah yang anda ada?


Read More

Isnin, 24 September 2012

Tukar duit syiling lama di Bank

Ada orang kata tukar duit syiling lama di Bank dapat nilai tinggi? Mereka kata lagi Bank Negara berminat untuk mendapat duit syiling tertentu seperti duit syiling 10 sen 1972, 20 sen 1972, 50 sen 1975 & 1976 dan juga 20 sen 2002. Dengar kata juga Bank Negara akan membayar sekali ganda untuk wang kertas RM50 dengan logo 50 tahun merdeka. Betulkah apa yang saya dengar ini dan di manakah boleh saya menukar wang lama untuk mendapat harga yang tinggi?

syiling lama

Adakah khabar angin ini betul?
Rasanya ramai bukan kolektor berfikiran sebegini, duit syiling lama boleh ditukarkan di Bank Negara untuk mendapatkan nilai yang lebih tinggi daripada nilai muka wang tersebut. Sebenarnya, jika anda pergi ke Bank Negara, mereka hanya akan mengantikan anda dengan nilai muka duit tersebut dan mereka hanya menerima duit syiling yang rosak/cacat. Bermakna, jika anda mempunyai syiling 10 sen, anda akan mendapat nilai 10 sen juga. Cerita mengenai duit syiling 10 sen 1972, 20 sen 1972, 50 sen 1975 & 1976 dan juga 20 sen 2002 adalah cerita yang direka-reka oleh rakyat Malaysia. Ingat tak pada angan-angan Mat Jenin? Kebanyakan rakyat Malaysia begitu, penuh dengan angan-angan dan suka bercerita walaupun mereka tidak mempunyai ilmu tentang sesuatu perkara tersebut. Maka timbulah cerita seperti ini.

Jadi dimana saya boleh menukar duit syiling lama dengan nilai yang tinggi?
Anda akan mendapat nilai yang lebih tinggi daripada nilai muka syiling anda jika anda menjualnya kepada kolektor. Namun, bukan semua syiling mendapat harga yang tinggi di kalangan pengumpul duit lama. Jika anda mempunyai duit syiling daripada negara asing, duit syiling yang berkeadaan daif dan kotor, ada kemungkinan pengumpul duit lama di Malaysia tidak akan berminat dengan syiling anda. Anda boleh menjualnya sendiri kepada pengumpul duit lama bukannya susah pun untuk anda berbuat demikian. Saya ada menulis bagaimana untuk menjual duit lama di sini; panduan mudah untuk menjual duit lama.

Saya tak tahu nilai duit saya
Sekarang ini, hampir semua boleh dicari melalui Google. Anda hanya perlu melakukan carian dengan di Google untuk mendapatkan nilai harga duit anda. Jika anda teringin untuk bertanyakan nilai duit syiling anda kepada saya, sila baca dahulu post ini; Nak tahu nilai & harga duit lama. Jika anda mempunyai duit syiling Malaysia, saya ada berkongsikan senarai harga duit syiling di dalam blog ini; Senarai lengkap harga duit lama Malaysia. Namun, anda perlu tunggu untuk saya melengkapkan kesemua entri di dalam post tersebut. Jika entri tidak siap, sila tunggu, saya akan berkongsi mengenainya kemudian. Anda juga boleh membeli buku mengenai harga duit lama, cuba cari buku daripada Steven Tan atau KN Boon. Salah satu daripada buku tersebut sudah cukup untuk anda mendapatkan harga duit lama Malaysia.

Kesimpulannya, cerita mengenai bank mengambil duit syiling lama hanyalah mitos yang direka oleh mereka yang bukannya pengumpul duit lama. Jika anda inginkan harga tinggi untuk duit lama anda, boleh cuba menjualnya kepada pengumpul duit lama. Cuma janganlah berharap menjadi cepat kaya dan menjual duit syiling anda pada harga hilang akal. Harga berjuta-juta dan beribu-ribu itu anda boleh buat tetapi kami (para pengumpul duit lama) hanya akan gelakkan anda kerana andalah Mat Jenin moden.


Read More

Khamis, 20 September 2012

50 sen 1979 extra dot

Selepas duit syiling 5 sen 1982 extra dot, syiling 50 sen 1979 extra dot adalah yang kedua sukar untuk ditemui didalam koleksi extra dot duit syiling Malaysia. Bagaimana untuk memeriksa extra dot pada duit syiling 50 sen 1979? Agak mudah kerana hanya ada satu dot yang agak besar di bawah bumbung kecil bangunan parlimen. Dot tersebut agak besar dan anda tidak perlukan kanta pembesar untuk melihatnya. Mencari duit syiling ini tidaklah sesukar duit syiling 5 sen 1982 extra dot, Harganya agak mahal untuk syiling yang mempunyai kondisi yang cantik; uncirculated condition. Boleh mencecah sehingga RM150 untuk  kondisi Uncirculated. 

extra dot

Oleh itu. jika anda mempunyai duit syiling 50 sen 1979, sila periksa bangunan parlimennya dan lihat jika ada extra dot. Duit syiling itu berharga untuk para kolektor duit syiling Malaysia.

Untuk senarai harga lengkap buat duit syiling 50 sen, anda boleh membaca; Nilai duit syiling 50 sen mengikut tahun.




Read More

Coincard Siri Burung Spesis Terancam

Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan Coincard Siri Burung Spesis Terancam pada 30 January 2005. Ini adalah duit syiling Siri Spesis Terancam yang kedua di bawah program Pendidikan Melalui Duit Syiling. Duit syiling Siri Burung menampilkan 12 spesis burung terancam yang terpilih yang dikeluarkan setiap bulan mulai bulan Januari 2005. Duit syiling ini diperbuat daripada aloi emas nordic dengan nilai muka 25 sen dan harga jualan RM5 setiap satu. Duit syiling ini akan didatangkan di dalam kad duit syiling yang menarik dan berwarna-warni, lengkap dengan maklumat berkenaan spesis burung yang dikeluarkan.

bird coins

Rekabentuk di sebelah hadapan duit syiling memaparkan satu daripada 12 haiwan terancam tersebut mengikut keluaran. Pada bahagian hadapannya tertera perkataan 'ENDANGERED SPECIES SERIES' di bahagian atas duit syiling. Manakala di bahagian bawah tertera nama haiwan dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan nama saintifik bagi haiwan berkenaan. Di sebelah belakang duit syiling pula tertera nilai muka duit syiling dan logo untuk Siri Burung yang diwakili oleh Burung Kenyalang.

Koleksi lengkap Coincard Siri Burung Spesis Terancam:
  • Barau-Barau / Straw-head Bulbul Bird
  • Kuang Raya / Green Argus Bird
  • Lang Siput / White-bellied Seaeagle
  • Pekaka Sungai / Collared Kingfisher
  • Dendang Gajah / Asian Fairy Bluebird
  • Engang Badak / Rhinoceros Hornbill
  • Merpati Emas / Nicobar Pigeon
  • Siul Berjambul / Crested Wood Partridge
  • Takau Rakit / Black and Red Broadbill
  • Bangau Besar / Great Egret
  • Pergam Besar / Green Imperial Pigeon
  • Tirjup Tanah / Brown Strike


Spesifikasi teknikal:
Jenis Aloi: Emas Nordic (Kilatan Istimewa) Cu89 Zn5 Al5 Sn1
Nilai Muka: 25 sen
Kuantiti Tempaan Dibenarkan: 40,000 pcs utk satu jenis syiling.
Diameter (mm): 30.0
Berat (gram): 9.16
Harga Jualan (RM): RM5 sekeping
Untuk harga semasa: (Rujuk; Harga lengkap Malaysia coincard)

Read More

Rabu, 19 September 2012

5 sen 1982 extra dot

Di antara 3 jenis duit syiling extra dot yang ada dibukukan oleh Steven Tan, 5 sen 1982 extra dot adalah yang paling sukar ditemui di dalam kondisi yang baik. Ada juga duit syiling ini yang palsu, dotnya dibuat bukan tulen. Oleh yang demikian, kepada anda yang ingin membeli duit syiling ini disyorkan supaya berhati-hati dan baca dengan teliti panduan yang saya tuliskan di sini. Dot yang ada pada duit syiling yang mempunyai kualiti yang rendah daripada Extremely Fine juga mungkin mempunyai kurang dot daripada asal. Oleh yang demikian, harganya juga adalah lebih rendah daripada harga 5 sen 1982 extra dot yang tulen. Harga duit syiling ini di dalam kondisi UNC boleh mencecah sehingga RM150.

1982 dot

Bagaimanakah untuk mempastikan anda mempunyai syiling 5 sen 1982 extra dot yang tulen:
  • Dot besar pada bangunan Parlimen.
  • Di sebelah dot besar yang terletak di bangunan Parlimen akan kelihatan tompokan dot-dot kecil di sebelah kiri.
  • Di bahagian bulan dan bintang, akan kelihatan tompokan dot berdekatan bahagian bintang, disebelah bawahnya.
  • Berdekatan dengan ukiran GC di atas bumbung parlimen, ada kelihatan tompokan dot.


Duit yang palsu biasanya dot tersebut kelihatan seperti diketuk sahaja dan ada satu sahaja "dot besar". Jika anda tidak dapat melihat ciri-ciri seperti yang saya tulis di atas, ada kemungkinan juga syiling itu adalah dot palsu. Untuk harga duit syiling ini, anda boleh membaca entri; Nilai duit syiling 5 sen mengikut tahun.

Anda juga boleh membaca info mengenai syiling ini di blog Sifu Dickson Niew;Forgery Dot On Malaysia 1982 5 Cents.


Read More

Isnin, 17 September 2012

Duit syiling 50 sen 1976

Pelik tetapi benar, walaupun telah berkali-kali  di ingatkan kepada semua, masih ramai lagi yang mencari duit syiling 50 sen tahun 1976. Ada yang mempersoalkan kepada saya kenapa mereka dapat melihat gambar 50 sen 1976 di dalam blog-blog mistik? Saya juga tahu, ada beberapa orang Datuk, Tan Sri atau orang yang kaya dan berada membeli duit syiling ini untuk melengkapkan koleksi mereka dengan harga yang agak mahal. Tanpa mereka sedari yang mereka telah ditipu dengan duit palsu. Bila tidak ada permintaan masakan wujud barang ini untuk dijual. Kebanyakan duit syiling yang tidak dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia seperti ini di ubah daripada duit syiling yang sedia ada atau dibuat baru. Jika dibuat baru, akan kelihatan bintik-bintik seperti lubang-lubang kecil jika dilihat secara dekat kepada syiling tersebut. Jika diubah daripada syiling yang sedia ada, akan kelihatan jelas di nombor yang terbabit seperti tidak sepatutnya berada di sana.

50 sen 1976

Bukan duit syiling 50 sen tahun 1976 sahaja yang tidak dikeluarkan oleh BNM. Ada lagi beberapa duit syiling 50 sen lain yang turut tidak dikeluarkan oleh BNM menjadi sasaran penipuan penjual barang-barang mistik ini (Anda boleh membacanya disini: Duit Malaysia tiada keluaran mengikut tahun). Mereka biasanya mengatakan yang duit itu datangnya dari kerajaan langit. Pelik tetapi benar, kebanyakan daripada mereka yang menjual barang-barang mistik dan khurafat sebegini adalah Melayu Islam dan yang tertipu juga adalah Melayu Islam. Mungkin inilah yang dikatakan orang, melayu tipu melayu.

Ini di antara duit syiling 50 sen yang tidak dikeluarkan oleh BNM:
  • 50 sen 1970 parlimen
  • 50 sen 1972 parlimen
  • 50 sen 1974 parlimen
  • 50 sen 1975 parlimen
  • 50 sen 1976 parlimen
  • 50 sen 2006 bunga raya (mengikut rekod, tiada sesiapa menemuinya lagi)

Ada juga yang mengatakan duit syiling 50 sen 1988 bunga raya tidak wujud. Betulkah begitu? Pelik tetapi benar, jika anda melawat sasana kijang di Kuala Lumpur, anda akan dapat melihat duit ini. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa lagi yang menemui duit ini didalam edaran biasa. Duit syiling tersebut kemungkinan adalah satu-satunya duit syiling 50 sen 1988 bunga raya yang ada di negara ini. Anda boleh membacanya di blog saya; 50 sen bunga raya tahun 1988. Namun, untuk pemburu duit syiling 50 sen 1976, duit yang dijual di kebanyakan blog tersebut adalah palsu. Ada juga yang membuat gambar photoshop semata-mata untuk menipu orang. Gambar ada tapi barangnya tidak akan sampai kepada anda. Memang seronok bunyinya membeli duit syiling rare tetapi berhati-hati, jangan tertipu dengan duit palsu.


Read More

Sabtu, 15 September 2012

Selamat Hari Malaysia

Selamat Hari Malaysia kepada semua rakan-rakan yang membaca blog ini. Esok, 16 September 2012, Malaysia akan menyambut Hari Penubuhan Malaysia yang ke-49. Mungkin bagi mereka yang memperjuangkannya, ini adalah Hari Merdeka Malaysia yang sebenar, bagi saya, kita ketepikan itu dulu. Saya sendiri telah menyuarakan perkara ini suatu waktu dulu, sebelum wujudnya Facebook dan twitter. Ada kebaikan dan keburukannya Merdeka itu disambut pada 31 Ogos setiap tahun tetapi biarlah itu difikirkan oleh mereka yang memimpin negara ini. 49 tahun suatu perjalanan yang agak panjang untuk negara yang suatu waktu dulu adalah berasaskan pertanian, berubah menjadi sebuah negara yang agak maju dari segi ekonominya.

Malaysia day

Tahun ini, sambutan Hari Malaysia ke-49 peringkat kebangsaan disambut di Bandar Bintulu yang pertama kali diberi mandat untuk menganjurkan antara acara terbesar di Malaysia ini. Majlis tersebut akan berlangsung di lapangan terbang lama Bintulu pada hari Ahad jam 8.30 malam dengan pertunjukan bunga api, persembahan khas janji ditepati dan lain-lain acara sampingan. Majlis akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Multimedia telah memutuskan untuk menggunakan tema "Janji Ditepati Rakyat Sejahtera" sempena sambutan Hari Malaysia untuk tahun ini.

Pelik tetapi benar, sepertimana tahun-tahun sebelumnya.., agak sukar untuk mencari maklumat berkenaan dengan Sambutan hari Malaysia jika hendak dibandingkan dengan Sambutan Merdeka. Kebanyakkan portal dan website kerajaan tidak memberikan maklumat yang jelas berkenaan dengan sambutan Hari Malaysia, termasuklah dengan website jabatan penerangan. Kelihatan seolah-olah sambutan Hari Malaysia ini dipinggirkan, sedangkan ia sepatutnya menjadi sambutan terbesar untuk Malaysia. 16 September hari lahirnya Malaysia, negara kita.

Selamat Hari Malaysia 2012 untuk anda semua. Semoga rakyat negara ini yang berbilang kaum akan lebih bersatu-padu. Sesuatu yang saya rasakan sudah mula goyah. Tiada guna merdeka kita jika kita semua berpecah-belah hanya disebabkan politik.

Jika anda rasakan Malaysia merdeka pada 16 September 1963, retweet dan Like post ini. Supaya rakan-rakan semua lebih bersemangat untuk menyambut Hari Malaysia.


Read More

Khamis, 13 September 2012

Jual Duit Syiling Lama Boleh Jadi Kaya

Ada orang kata jual duit syiling lama boleh jadi kaya, boleh jadi jutawan. Harga duit syiling 10 sen 1972 boleh mencecah sehingga RM50,000 sekeping. Itu belum lagi termasuk dengan duit penjajah yang pernah digunakan di Malaysia yang boleh mencecah sehingga sejuta ringgit sekeping, lebih-lebih lagi yang berusia lebih dari 100 tahun. Duit syiling 50 sen berparit (belah tepi) sebiji boleh dijual sehingga RM12,000 sekeping. Itu antara ayat-ayat yang saya jumpa di dalam beberapa blog yang menceritakan mengenai duit lama. Kebanyakan daripada blog-blog tersebut bukan memberi tumpuan kepada cerita mengenai duit syiling sahaja. Apa sahaja cerita yang boleh membawa orang masuk ke dalam blog mereka, mereka akan buat, walaupun cerita itu hanya dibuat-buat oleh mereka.

10 sen 1972

Sebagaimana yang saya katakan seperti sebelum ini, antara tujuan utama saya membuat blog ini adalah untuk mendidik mereka yang bukan pengumpul duit lama berkenaan harga yang betul untuk syiling lama Malaysia. Harga-harga mengarut seperti yang dipaparkan di dalam blog tersebut atau dimana-mana sahaja, sepatutnya tidak akan terjadi jika mereka faham tentang hobi ini. Harga tidak masuk akal yang digembar-gemburkan itu pada kebiasaannya hanya diperkatakan oleh mereka yang tidak tahu tentang nilai duit lama Malaysia, mereka yang bukan kolektor tetapi mempunyai "duit lama". Ini diburukkan lagi dengan media tempatan (suratkhabar) yang malas untuk membuat kajian terlebih dahulu sebelum menerbitkan berita mengenai duit lama. Selain cuba mensensasikan sesuatu cerita itu dengan harga berjuta, seolah-olah mengumpul duit lama di Malaysia ini boleh jadi jutawan.

Betulkah jual duit syiling lama boleh jadi jutawan?
Memang boleh, jika anda boleh serius menjadi penjual duit lama. Bukan senang untuk menjadi penjual duit lama jika anda tidak ada ilmu tetapi menjadi jutawan tidak mustahil jika anda ada disiplin. Namun, jika anda ingin menjualnya pada harga hilang akal seperti yang saya sebut di atas, rasanya anda tidak akan pergi kemana.

Ada tahun duit syiling Malaysia tidak dikeluarkan BNM
Ada sesetengah tahun yang mana duit syiling Malaysia tidak dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Ramai yang bukan kolektor beranggapan, BNM mengeluarkan duit syiling setiap tahun. Namun, tidak ramai yang tahu, BNM hanya mengeluarkan duit syiling apabila stok duit syiling di dalam pasaran (circulation) sudah berkurangan. Duit syiling 10 sen, 20 sen atau 50 sen 1972 tidak pernah wujud. Jika anda ada melihatnya di dalam blog-blog atau iklan di mana-mana, ianya adalah duit syiling palsu atau yang telah di ubah mengunakan perisian komputer. Tujuan mereka adalah untuk menipu dan mencari keuntungan. Pelik tetapi benar, ada ramai orang kaya di Malaysia ini yang sudi menjadi mangsa mereka sebab duit syiling tahun 1972 itu kononnya "rare" dan sukar dicari. Anda boleh memeriksa duit syiling yang tidak dikeluarkan BNM disini; Duit tiada keluaran mengikut tahun.

Duit berumur lebih 100 tahun mesti berharga mahal
Umur sesuatu syiling tersebut bukanlah penentu kepada harganya. Jika syiling tersebut banyak terdapat dipasaran, siapa yang ingin membelinya jika harganya hingga berjuta ringgit? Ramai bukan kolektor yang salah faham berkenaan perkara ini. Ada juga yang hanya memandang kepada tahun duit syiling tersebut dibuat, tanpa memikirkan terlebih dahulu jika duit syiling tersebut tulen atau tidak. Saya akan menerangkan perkara-perkara yang menentukan harga duit syiling menjadi mahal kemudian.

Kesimpulannya, jika anda mempunyai ilmu, rasanya tiada masalah untuk anda menjadi kaya dengan menjual duit syiling. Jika tidak, kenapa ada ramai orang yang membuka kedai menjual duit lama? Namun, untuk menjadi jutawan didalam sekelip mata menjual duit lama di Malaysia ini adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku. Harga duit syiling di Malaysia tidak seperti di Amerika Syarikat yang mempunyai lebih ramai pengumpul duit lama. Di Malaysia, jumlah pengumpul duit lama mungkin tidak sampai 10,000 orang. Kita perlukan lebih banyak pengumpul duit lama untuk turut serta didalam hobi ini untuk menjadikan ianya sehebat Amerika.


Read More

Selasa, 11 September 2012

Nak tahu nilai & harga duit lama

Soalan yang rasanya dah sebati dengan saya sejak saya memulakan blog lunaticg.blogspot.com "Nak tahu nilai & harga duit lama". Kebanyakan orang bertanyakan soalan yang sama walaupun syiling atau duit yang ditunjukkan kepada saya mungkin berbeza. Sebab itulah saya cuba untuk memulakan blog malaysiancoin.com ini, memberikan maklumat kepada bukan kolektor secara percuma. Dengan harapan, suatu hari nanti, mereka yang bukan kolektor ini akan turut menjadi kolektor tegar. Sejak berblog pada tahun 2008, ada ramai bukan kolektor yang turut serta mengumpul duit lama setelah menjadi pengikut setia blog saya. Jika pada tahun 2010 dulu, saya pernah mengatakan di blog saya, agak sukar untuk melihat anak-anak kecil menceburi hobi ini apabila saya keluar ke kedai-kedai duit lama atau pasar karat. Sekarang ini, setiap kali saya keluar, saya akan terlihat kelibat satu atau dua kanak-kanak yang baru mula menceburi hobi ini. Satu perkembangan yang saya rasa agak baik.

harga duit lama

Berbalik berkenaan dengan harga duit lama yang saya perkatakan tadi. Blog ini hanya akan memperkatakan mengenai Duit Syiling Malaysia seperti yang ada di dalam Senarai lengkap harga duit lama Malaysia. Jika syiling yang anda cari ada didalam senarai tersebut, saya akan berkongsikan tentang harganya. Apabila entri yang berkenaan telah siap, anda akan melihat tajuk syiling yang berkenaan berwarna biru. Klik link tersebut, ia akan membawa anda kepada entri mengenai syiling yang berkenaan. Jika entri yang berkenaan masih belum siap, sila tunggu, saya perlukan masa untuk menulisnya.

Jika syiling yang anda cari harganya itu tidak ada di dalam senarai, ini bermakna saya tidak akan berkongsi mengenainya di blog ini. Saya juga tidak akan menjawab sebarang pertanyaan atau soalan mengenai syiling-syiling yang tidak disenaraikan tersebut buat masa ini. Saya perlu menumpukan kepada entri-entri yang ada di dalam "Senarai lengkap harga duit lama Malaysia" terlebih dahulu dan juga entri-entri untuk blog-blog saya yang lain. Saya mohon maaf kerana bagi saya, jika anda hanya bertanyakan berkenaan harga, bermakna koleksi duit syiling anda hanya bernilaikan wang ringgit. Bagi seorang kolektor sejati, ada keseronokan lain selain melihat harga yang tinggi untuk duit syilingnya. Anda perlu menjadi kolektor untuk merasanya. Tiap orang nilai keseronokan itu adalah berbeza tapi jika anda hanya berhasrat menjualnya, ianya sudah lari dari matlamat saya untuk mempromosikan hobi ini kepada anda.

Selain itu, adalah sukar untuk saya memantau terlalu banyak duit lama. Untuk mendapatkan maklumat untuk sesetengah syiling Malaysia pun sudah agak sukar kerana kebanyakannya tidak ada di pasaran. Saya terpaksa bertanya dengan kawan-kawan dan juga membuat kesimpulan harga yang sesuai untuk pasaran syiling tersebut. Di Malaysia ini, harga duit syiling adakalanya dimanupulasi oleh sesetengah kumpulan, saya perlu untuk memastikan harga yang saya dapat adalah betul ketika entri diterbitkan. Rasanya perkara ini agak sukar difahami bagi bukan kolektor.

Jika anda perlu sangat untuk mengetahui harga duit lama yang anda miliki, anda boleh cuba mendapatkan buku daripada Steven Tan atau KN Boon. Anda boleh mendapat kesemua harga duit syiling lama di dalam buku-buku tersebut. Anda boleh mendapatkan buku-buku tersebut di hampir kesemua kedai duit lama yang ada didalam senarai ini; Kedai duit syiling lama Malaysia. Buku Steven Tan berharga RM88 dan buku KN Boon berharga RM54. Terpulang kepada anda untuk memilih buku yang mana satu. Pada saya kedua-dua buku itu ada kelebihan masing-masing.

Diharap semua pembaca faham apa yang saya perkatakan disini. Jika saya tidak dapat membantu anda, saya mohon maaf tetapi bagi saya, jangan terlalu harapkan benda free saja 100%. Terutama kepada mereka yang berniat untuk membuat pelaburan didalam duit-duit lama.


Read More