Nak tahu nilai & harga duit lama

Soalan yang rasanya dah sebati dengan saya sejak saya memulakan blog lunaticg.blogspot.com "Nak tahu nilai & harga duit lama". Kebanyakan orang bertanyakan soalan yang sama walaupun syiling atau duit yang ditunjukkan kepada saya mungkin berbeza. Sebab itulah saya cuba untuk memulakan blog malaysiancoin.com ini, memberikan maklumat kepada bukan kolektor secara percuma. Dengan harapan, suatu hari nanti, mereka yang bukan kolektor ini akan turut menjadi kolektor tegar. Sejak berblog pada tahun 2008, ada ramai bukan kolektor yang turut serta mengumpul duit lama setelah menjadi pengikut setia blog saya. Jika pada tahun 2010 dulu, saya pernah mengatakan di blog saya, agak sukar untuk melihat anak-anak kecil menceburi hobi ini apabila saya keluar ke kedai-kedai duit lama atau pasar karat. Sekarang ini, setiap kali saya keluar, saya akan terlihat kelibat satu atau dua kanak-kanak yang baru mula menceburi hobi ini. Satu perkembangan yang saya rasa agak baik.

harga duit lama

Berbalik berkenaan dengan harga duit lama yang saya perkatakan tadi. Blog ini hanya akan memperkatakan mengenai Duit Syiling Malaysia seperti yang ada di dalam Senarai lengkap harga duit lama Malaysia. Jika syiling yang anda cari ada didalam senarai tersebut, saya akan berkongsikan tentang harganya. Apabila entri yang berkenaan telah siap, anda akan melihat tajuk syiling yang berkenaan berwarna biru. Klik link tersebut, ia akan membawa anda kepada entri mengenai syiling yang berkenaan. Jika entri yang berkenaan masih belum siap, sila tunggu, saya perlukan masa untuk menulisnya.

Jika syiling yang anda cari harganya itu tidak ada di dalam senarai, ini bermakna saya tidak akan berkongsi mengenainya di blog ini. Saya juga tidak akan menjawab sebarang pertanyaan atau soalan mengenai syiling-syiling yang tidak disenaraikan tersebut buat masa ini. Saya perlu menumpukan kepada entri-entri yang ada di dalam "Senarai lengkap harga duit lama Malaysia" terlebih dahulu dan juga entri-entri untuk blog-blog saya yang lain. Saya mohon maaf kerana bagi saya, jika anda hanya bertanyakan berkenaan harga, bermakna koleksi duit syiling anda hanya bernilaikan wang ringgit. Bagi seorang kolektor sejati, ada keseronokan lain selain melihat harga yang tinggi untuk duit syilingnya. Anda perlu menjadi kolektor untuk merasanya. Tiap orang nilai keseronokan itu adalah berbeza tapi jika anda hanya berhasrat menjualnya, ianya sudah lari dari matlamat saya untuk mempromosikan hobi ini kepada anda.

Selain itu, adalah sukar untuk saya memantau terlalu banyak duit lama. Untuk mendapatkan maklumat untuk sesetengah syiling Malaysia pun sudah agak sukar kerana kebanyakannya tidak ada di pasaran. Saya terpaksa bertanya dengan kawan-kawan dan juga membuat kesimpulan harga yang sesuai untuk pasaran syiling tersebut. Di Malaysia ini, harga duit syiling adakalanya dimanupulasi oleh sesetengah kumpulan, saya perlu untuk memastikan harga yang saya dapat adalah betul ketika entri diterbitkan. Rasanya perkara ini agak sukar difahami bagi bukan kolektor.

Jika anda perlu sangat untuk mengetahui harga duit lama yang anda miliki, anda boleh cuba mendapatkan buku daripada Steven Tan atau KN Boon. Anda boleh mendapat kesemua harga duit syiling lama di dalam buku-buku tersebut. Anda boleh mendapatkan buku-buku tersebut di hampir kesemua kedai duit lama yang ada didalam senarai ini; Kedai duit syiling lama Malaysia. Buku Steven Tan berharga RM88 dan buku KN Boon berharga RM54. Terpulang kepada anda untuk memilih buku yang mana satu. Pada saya kedua-dua buku itu ada kelebihan masing-masing.

Diharap semua pembaca faham apa yang saya perkatakan disini. Jika saya tidak dapat membantu anda, saya mohon maaf tetapi bagi saya, jangan terlalu harapkan benda free saja 100%. Terutama kepada mereka yang berniat untuk membuat pelaburan didalam duit-duit lama.


4 comments:

  1. duit lama2 ni berharga sekali, sebab jarang di jumpai

  1. tehr said...:

    rasanya aku belum masuk dalam kumpulan pengumpul lagi ni
    hanya minat baca je

  1. zool said...:

    saya tumpang baca info je.. nak jadi kolektor belum terbuka hati ni

  1. Suspek Utama said...:

    Terjumpa blog ni masa tengah search duit-duit lama. Saya pengumpul duit lama dan duit yang mempunyai no.siri yang cantik..just sebagai hobi..rasa excited nak masukkan dalam album khas untuk duit-duit yang saya kumpul bila dapat koleksi baru..syiling pun ada tapi tak banyak la. Biasanya saya akan simpan serba satu bagi setiap jenis duit syiling dan kertas untuk kenangan masa depan bila duit-duit tu dah ditukarkan dengan design yang baru. Old skull tapi tinggi nilai sentimental value bg diri saya. tak pernah ada niat simpan untuk dijual semula sbb sayang.

 
Malaysian Coin © 2011 | Designed by Chica Blogger.