Sabtu, 19 Januari 2019

Sejarah The Royal Mint of Malaysia

Semasa pertemuan dengan Master Designer Royal Mint of Malaysia (Royal Mint), Tuan Ismail Ibrahim kami sempat berbincang mengenai Sejarah The Royal Mint of Malaysia. Ketika artikel ini ditulis, tidak ada lagi sesiapa merekodkan sejarah penswastaan kilang wang Malaysia ini. Suatu hari nanti, pasti ramai yang akan lupa, kilang wang Bank Negara pernah diswastakan.

Royal Mint

Walaupun begitu, ada di antara tarikh dan juga maklumat didalam artikel ini yang kemungkinan besar kurang tepat oleh kerana kurangnya maklumat yang boleh ditemui mengenai Royal Mint.

Didalam artikel ini, kami menulis ianya sebagai Royal Mint, merujuk kepada Royal Mint of Malaysia. Ianya adalah berbeza dan tiada kaitan dengan Royal Mint yang ada di United Kingdom.

Pihak kami juga tidak dapat berkongsi sepenuhnya artikel ini kerana sebab-sebab tertentu yang tidak perlu kami terangkan disini.

Artikel ini adalah sebahagian daripada artikel: Sejarah Penswastaan Kilang Wang Bank Negara.

Mariwasa

Bercerita mengenai sejarah Royal Mint Malaysia, kita tidak boleh lari daripada bercerita mengenai Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd.

Sejarah awal Mariwasa
Allahyarham Datuk Megat Wahab Megat Abu Bakar membeli Mariwasa yang dulunya dikenali sebagai Saunders Medallist (M) Sdn Bhd pada tahun 1975 yang beroperasi di Cheras. Pada tahun 1979, Saunders Medallist (M) Sdn. Bhd. telah bertukar namanya sebagai Mariwasa Kraftangan untuk melambangkan identiti Malaysia serta menunjukkan produk-produknya yang bukan sahaja tertumpu kepada medal.

Pada tahun 1989, Mariwasa Kraftangan telah berpindah ke Kuala Kangsar kerana perlukan lokasi yang lebih besar untuk menampung penawaran produk yang semakin bertambah daripada kraftangan, barang-barang perhiasan perak, pingat kebesaran, barang-barang pewter dan lain-lain lagi.

Royal Mint of Malaysia
Menurut Tuan Ismail, pada tahun 1999 lagi beliau sudah mendengar khabar angin Mariwasa Kraftangan akan mengambil alih Kilang Wang Bank Negara.

Mariwasa Kraftangan buat pertama kalinya mengeluarkan duit syiling peringatan Malaysia untuk kejohanan Piala Thomas-Uber tahun 2000 yang berlangsung dari 11 hingga 21 Mei 2000 di Kuala Lumpur. Pada waktu itu, semua rakyat Malaysia berharap Malaysia memenangi Piala Thomas. Syiling tersebut ditempa dengan jumlah yang banyak tetapi permintaan agak rendah disebabkan pada waktu itu Malaysia tewas diperingkat kumpulan.

Menurut Tuan Ismail Ibrahim, coincard 1 Ringgit Piala Thomas/Uber pada waktu itu dicetak dengan banyak sehingga memenuhi ruang pejabat dan ada antaranya yang diberikan secara percuma kepada kakitangan kerana pada waktu itu pembeli syiling itu sangat kurang.

Shah Alam

Nama Royal Mint of Malaysia buat pertama kalinya digunakan pada duit syiling peringatan untuk syiling peringatan sempena pengisytiharan bandaraya Shah Alam yang dijual mulai 8 November 2000. Syiling ini pada suatu waktu dahulu mendapat permintaan yang tinggi dari para collector kerana ianya agak sukar ditemui di pasaran. Set syiling 2 dalam 1 juga tidak dijual kepada collector semasa hari pelancaran.

Kilang Wang Bank Negara secara rasminya diswastakan menjadi Royal Mint of Malaysia pada 5 Disember 2000 dan ianya dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Pada ketika itu, Royal Mint adalah anak syarikat Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd, tidak ada rekod ditemui kenapa kontrak Boustead Mint Sdn Bhd tidak diteruskan atau adakah Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd mengambil alih kontrak-kontrak tersebut.

Syiling Bullion Emas Malaysia, Kijang Emas yang dikeluarkan oleh Royal Mint telah dilancarkan secara rasminya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia pada 17 Julai 2001.

Bermula pada tahun 2001, Royal Mint of Malaysia aktif membuat promosi pemasaran untuk syiling dan juga medallion kepada syarikat-syarikat swasta dan juga acara-acara besar yang akan berlangsung didalam Malaysia. Menurut Tuan Ismail, ianya adalah lebih kepada mempromosikan kewujudan Royal Mint of Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada di antara medallion yang dikeluarkan mempunyai jumlah tempaan yang sangat rendah.

Mereka bukan sahaja membuat promosi didalam negara tetapi juga menyertai pameran yang berkaitan dengan duit syiling serta kilang wang di seluruh dunia. 

Semasa majlis perasmian Pameran Kuala Lumpur International Money Fair 2003 (KLIMOF 2003) di Kuala Lumpur pada 6 Mei 2003, Allahyarham Datuk Megat mengumumkan The Royal Mint of Malaysia akan membelanjakan RM20 juta untuk mengeluarkan blank duit syiling di kilang Shah Alam. Beliau berkata, syarikat itu mengemukakan cadangan tersebut kepada Bank Negara Malaysia untuk kelulusan dan mesin blank syiling itu akan dipasang dalam masa terdekat. Katanya lagi, pada masa itu blank syiling semuanya diimport.

Sejarah Royal Mint

Pada 14 Mei 2003, Allahyarham Datuk Megat Mohamed Abdul Wahab ada berkongsi cerita mengenai rekabentuk syiling baru daripada pecahan satu sen hingga satu ringgit untuk mengantikan Syiling edaran yang telah dikeluarkan sejak tahun 1989. Menurut Tuan Ismail, cadangan duit syiling edaran itu telah pun siap tetapi tidak ada dikeluarkan. Rujuk; Jawapan designer Royal Mint mengenai syiling edaran 2003.

Pada tahun 2004, Royal Mint mula mengeluarkan blank duit syiling untuk syiling 5, 10, 20 dan 50 sen, hanya syiling 1 sen sahaja yang menggunakan blank duit syiling yang di import. Pengeluaran blank duit syiling sendiri membolehkan Royal Mint mendapat bayaran yang lebih tinggi untuk syiling edaran.

Menurut Tuan ismail, kesemua mesin blank duit syiling tersebut di import dari Jerman dengan pegawai teknikal daripada Jerman.

Pada tahun 2003 juga menyaksikan Paradym Resources Industries (PRI) Sdn Bhd yang beroperasi di Arab Malaysian Industries Park, Nilai telah berjaya mendapat kontrak untuk membekalkan kepingan copper dan nickel untuk blank duit syiling selama 10 tahun daripada Bank Negara. Pada masa yang sama, PRI juga telah mendapat kontrak daripada Bank Negara untuk membekalkan kepingan copper dan nickel tersebut kepada Royal Mint of Malaysia Sdn Bhd yang kemudiannya membuat blank syiling 5, 10, 20 dan 50 sen. Kontrak-kontrak tersebut dikatakan bernilai RM100juta setahun.

Pada Mac 2006, Paradym Resources Industries (PRI) Sdn Bhd telah membeli Royal Mint of Malaysia kerana pada waktu itu, Royal Mint telah mempunyai mesin blank syiling dan Paradym Resources Industries (PRI) Sdn Bhd telah berjaya mendapat kontrak untuk membekalkan kepingan copper dan nickel. Ini memudahkan dari segi proses untuk mengeluarkan duit syiling mengikut tempahan yang diterima dari Bank Negara.

Bagaimanapun, perjanjian dengan Royal Mint telah ditamatkan pada bulan Jun 2007 kerana berlaku kes pecah amanah, dokumen palsu dan juga kes penggubahan wang haram.

50 tahun merdeka

Syiling peringatan terakhir yang secara rasminya dikeluarkan oleh Royal Mint of Malaysia adalah Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-50 yang telah dilancarkan pada 30 Julai 2007.

BNM telah mengambil alih aktiviti Kilang Wang pada bulan Februari 2008 dan operasi penempaan duit syiling telah dimulakan pada bulan Mac 2008.

Sumber:
  • Mariwasa Kraftangan history
  • Temuramah dengan Tuan Ismail Ibrahim, Master Designer Royal Mint of Malaysia, 3 Oktober 2016.
  • Boustead Mint, Bank Negara Sign Pacts Over Privatisation Of Kilang Wang, 22 September 1998, Utusan Malaysia.
  • Royal Mint to spend RM20m to make own coin blanks, 7 Mei 2003, Business Times (Malaysia).
  • Ahli perniagaan didakwa pecah amanah RM83j wang Bank Negara, 3 Julai 2008, Utusan Malaysia.
  • RAM reaffirms Royal Mint's A2/P2 ratings

Pihak kami mengalu-alukan jika ada di antara anda yang ingin membantu memberikan maklumat mengenai Sejarah Royal Mint of Malaysia. Sila komen dan juga kongsikan maklumat anda melalui email kepada kami.