Ahad, 8 November 2015

Ismail Ibrahim, Master Designer Royal Mint of Malaysia

Hari ini saya rasa bertuah kerana dapat bertemu dengan pereka bentuk duit syiling Malaysia, Tuan Ismail Ibrahim. Beliau merupakan pereka duit syiling (Master designer) semasa era Royal Mint Malaysia sehinggalah Royal Mint Malaysia di ambil alih semula oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau menemui maklumat yang saya kongsikan sebelum ini didalam artikel blog lunaticg; Malaysia Coin Designer, Ismail Ibrahim ketika menyuruh kakitangannya untuk membuat carian Google nama masing-masing.

Sebaik sahaja membaca artikel tersebut, beliau terus menghubungi saya melalui Google plus. Pada waktu itu, saya agak terkejut, Master designer sudi untuk memberikan komen ke atas artikel yang dikongsikan didalam blog. Saya menjadi lebih teruja apabila beliau bersetuju untuk menemui saya pada Hari Sabtu (semalam). Hadiah harijadi terbaik selama saya berkecimpung sebagai blogger numismatik.

Ismail Ibrahim

Lebih dari 3 jam berbual dengan beliau dirasakan tidak cukup kerana beliau tidak lokek berkongsi pengalaman dan juga sejarah duit syiling peringatan Malaysia semasa era Royal Mint. Pada pendapat saya, beliau adalah aset negara terutamanya kepada bidang numismatik dan juga bidang rekaan yang akan saya ceritakan di kemudian hari.

Berikut adalah email beliau yang menerangkan sejarah kerjayanya di Royal Mint:

Pertama tama sekali saya nak ucapkan terima kasih kerana highlight topik berkenaan coin designer tempohari. 
Sebelum tu izinkan saya ceritakan serba sedikit perjalanan saya sebagai coin designer di Royal Mint of Malaysia dulu. Tahun 1999 saya sebagai junior designer di kilang pembuatan silver dan medal MARIWASA Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar. Masa tu saya sebagai medal designer, pereka utk pingat-pingat kebesaran diraja Malaysia. Atas bakat yang ada Alhamdulillah diberi kepercayaan oleh Managing director Allahyarham Dato’ Megat Abd Wahab untuk mengikut beliau ke Shah Alam semasa penubuhan Royal mint of Malaysia. Bermula disitu sebagai perintis pertama coin designer pada tahun 2000 saya banyak menimba ilmu beliau dalam proses rekaan dan pembuatan coin terutama silver and gold coin. 
Pada 2006, Royal mint of Malaysia diambil alih oleh pengurusan lain atas sebab beberapa isu yang timbul. Saya masih disitu sebagai ketua jabatan rekaan. Hampir 90% syiling peringatan yang dihasilkan oleh Royal mint adalah rekaan saya. Diberi kepercayaan oleh pengurusan baru untuk membuat pembentangan setiap kali mengeluarkan coin baru di mesyuarat jabatan matawang BNM. Sehinggalah saya mendapat tawaran sebagai designer di syarikat sekarang dan Alhamdulillah saya masih memegang jawatan penting dalam syarikat swasta bukan bumiputera. 
Koleksi coin di rumah sudah banyak dihadiahkan pada adik beradik..Cuma tinggal yang agak memorable utk saya dikekalkan..banyak jugak melawat ke kilang coin luar negara semasa di Royal mint..Alhamdulillah dapat berkongsi dengan designer luar. Amat tertarik dengan Japan mint,Osaka dimana mereka mengekalkan chief Designer sehingga berumur 70th semata mata utk menjadi inspirasi pereka muda. Idea dan pengalaman mereka amat diperlukan dan hasilnya lihatlah coin yang dihasilkan oleh Japan Mint sudah standing dengan Austria, Ukraine dll.

Ismail bin Ibrahim, lahir pada 12 Mac 1973 di Kampung Gong Bayor, Besut, Terengganu, Malaysia. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang besar yang mempunyai 10 orang adik beradik. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gong Bayor, Besut, Terengganu dari tahun 1980 sehingga 1985. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud dari tahun 1986 – 1990 dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut pada 1990 – 1992 untuk menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang seni dan rekaan di Institut Teknologi MARA (ITM) sekarang dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam pada tahun 1993 - 1997. Beliau mengambil pengkhususan Seni Logam Halus (Fine Metal) membolehkan beliau memahami tentang logam dan rekaannya.

Pada tahun 1997 Ismail bekerja sebagai Pereka Bentuk di Royal Selangor selama setahun. Akhibat dari kegawatan ekonomi pihak syarikat telah melakukan pemberhentian kakitangan secara berperingkat dan tidak terkecuali Ismail sebagai kakitangan baru terlibat dalam skim pemberhentian tersebut. Ismail terpaksa melakukan kerja kerja sambilan selepas itu.

Pada tahun 1999 beliau telah ditawarkan jawatan sebagai pereka muda (Junior designer) di Syarikat Mariwasa Kraftangan, sebuah syarikat yang terkenal dengan hasil barangan kraf logam perak dan pembekal pingat-pingat kebesaran Sultan di Malaysia. Syarikat yang bertempat di Kuala Kangsar, Perak ini telah melakarkan sejarah baru Ismail dalam dunia reka bentuk. Bakat beliau telah dikesan oleh Pengarah Urusan Mariwasa, Allahyarham Dato’ Megat Abd Wahab. Allahyarham Dato’ Megat mengambil keputusan memilih Ismail untuk mengikuti beliau ke Shah Alam dan memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Reka Bentuk setelah mengambil alih Kilang Wang Bank Negara Malaysia menjadikannya Syarikat The Royal Mint of Malaysia pada tahun 2000. Di situ bermulanya karier Ismail sebagai pereka syiling untuk Malaysia.

Pada penghujung tahun 2005, Royal Mint of Malaysia telah diambil alih oleh pengurusan lain atas sebab beberapa isu yang timbul. Ismail masih dikekalkan di jabatan rekabentuk sebagai pereka syiling negara. Beliau sendiri yang membuat pembentangan di Mesyuarat Jabatan Matawang Bank Negara Malaysia setiap kali syiling baru yang akan dikeluarkan.pada tahun 2006 Royal Mint of Malaysia terpaksa ditutup dan diambil alih oleh Bank Negara Malaysia. Beliau terpaksa berundur dari kerjaya sebagai pereka syiling setelah mendapat tawaran pekerjaan dari sebuah syarikat lain pada tahun 2007.

Kini beliau bekerja sebagai Pegurus Reka bentuk di sebuah syarikat swasta C.S Alloy (M) Sdn. Bhd. Sebuah syarikat pembuatan barang hiasan logam untuk Rumah dan bangunan kormersil.

Semasa temubual, beliau ada berkongsi maklumat tentang syiling peringatan dan juga medallion yang direka olehnya. Kijang emas dan Syiling Shah Alam adalah syiling terawal yang direka oleh beliau. Maklumat mengenai syiling yang direka oleh beliau akan saya kongsikan kemudian di artikel mengenai duit syiling tersebut.

teman

Beliau juga ada membawa beberapa duit syiling dan medallion yang direka oleh beliau, antaranya adalah Medal untuk "The 13th Technical Meeting of Mints in ASEAN" (TEMAN) di mana The Royal Mint of Malaysia menjadi penganjur untuk tahun 2007. Apa yang menarik mengenai syiling tersebut adalah rekaan menarik kotak duit syilingnya.

Beliau juga berkongsi mengenai kesilapan Duit Syiling Peringatan Universiti Teknologi MARA yang rasanya tidak disedari oleh kebanyakan collector. Dimana perkataan MARA pada duit syiling itu sepatutnya dibuat dengan huruf besar. Akibat kesilapan teknikal, syiling tersebut telah dijual kepada para pengumpul duit lama.

Rekaan yang beliau minati dan tidak dapat dilupakan adalah duit syiling peringatan NAM dan juga Syiling Peringatan LIMA. Rekaan yang agak mencabar buat dirinya adalah duit syiling Malaysia Coin in Education kerana haiwan, burung dan reptilia tersebut perlu dilukis secara penuh (lengkap kaki, sebagai contoh jika Harimau perlu berkaki empat, tidak boleh kakinya dilindungi oleh batu, pokok dsbnya).

Cerita mengenai cadangan syiling edaran baru tahun 2003 juga adalah direka oleh beliau. Royal Mint of Malaysia pada ketika itu turut mencadangkan supaya pada setiap 10 tahun, ada syiling peringatan yang dimasukkan didalam edaran duit syiling Malaysia sepertimana yang di adakan di United Kingdom dan negara lain. Rekaan Syiling edara itu ada disimpan didalam arkib Bank Negara Malaysia. Ianya dikatakan tidak mendapat kelulusan kerana ada rekabentuknya yang agak menyerlah serta tidak sesuai untuk edaran Malaysia. Walau bagaimana pun, Tuan Ismail memberitahu bahawa cadangan syiling itu hanyalah pada peringkat awal dan sayangnya usaha itu tidak diteruskan.

The Force of Nature

Mengenai pertandingan International Coin Design Competition (ICDC) yang dimenangi oleh beliau pada tahun 2005 dengan tema, The Force of Nature. Rekaan syiling tersebut adalah sebagai memperingati mangsa Tsunami pada tahun 2004, dimana daun tersebut mewakili mangsa tsunami yang mengikut sahaja ke mana arus air pergi serta bagaimana mangsa-mangsa ini perlu dibantu. Rekaan syiling tersebut yang sebenar ada dihadiahkan oleh Japan Mint kepada beliau sebagai kenang-kenangan.

Terima kasih kepada Tuan Ismail Ibrahim kerana sudi menampilkan diri, meluangkan masa serta berkongsi pandangan serta idea mengenai numismatik.

Semoga tuan sudi untuk berkongsi pengalaman yang boleh memberi manafaat kepada komuniti numismatik di Malaysia.