Isnin, 3 Oktober 2016

Jawapan designer Royal Mint mengenai syiling edaran 2003

Hari ini kami berpeluang untuk bertemu dengan Tuan Ismail Ibrahim, Master Designer Royal Mint of Malaysia yang berkongsi banyak perkara mengenai numismatik terutamanya mengenai Syiling edaran tahun 2003 yang pernah dicadangkan oleh Royal Mint. Misteri mengenai syiling tersebut sedikit sebanyak terjawab hari ini.

Syiling edaran 2003

Hari ini banyak kejutan ilmu dan maklumat yang dikongsi oleh Tuan Ismail Ibrahim agak teruja kerana ianya sejarah numismatik yang tidak pernah dikongsi oleh sesiapa sebelum ini.

Namun, masalahnya banyak perkara yang pihak kami tidak dapat kongsi dengan pembaca semua kerana sebab-sebab tertentu.

Mengenai Rekabentuk syiling baru tahun 2003, cadangan rekaan syiling edaran tersebut telah dibawa ke atas oleh pengurusan tertinggi Royal Mint of Malaysia. Sepertimana yang ditulis didalam akhbar Utusan Malaysia pada ketika itu, Royal Mint of Malaysia telah membuat cadangan dan telah mengemukakannya (kepada pihak berkuasa).

Menurut Tuan Ismail, setiap kali proposal untuk duit syiling baru, ianya dilengkapkan dengan penerangan mengenai syiling tersebut didalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk memudahkan ahli panel memahami motif syiling tersebut. Seingat beliau, penerangan mengenai syiling 2003 tersebut telah pun dibuat oleh pasukan yang sepatutnya pada waktu itu.

Khabar angin mengatakan bahawa sampel untuk setiap duit syiling edaran tersebut juga telah dibuat semasa cadangan dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Setiap denominasi mempunyai temanya yang tersendiri; 1 Ringgit - bangunan icon Malaysia; 50 sen - bangunan-bangunan menarik yang ada di Malaysia; 20 sen - sejarah mengenai teknologi Malaysia; 10 sen - budaya rakyat Malaysia berbilang kaum; 1 sen - lambang Malaysia.

Pada waktu itu juga, ada dicadangkan supaya duit syiling edaran Malaysia ditukar rekabentuknya setiap 5 tahun sekali mengikut tema yang telah ditetapkan. Ianya bertujuan untuk menarik minat pengumpul duit syiling dalam dan luar negara.

Suatu yang menarik mengenai syiling tersebut adalah penggunaan tulisan jawi pada duit syiling Malaysia. Menurut Tuan Ismail, penggunaan tulisan jawi adalah di atas permintaan Allahyarham Dato' Megat yang mempunyai semangat kemelayuan yang tinggi. Selain itu, tulisan jawi juga semakin lama semakin dilupakan generasi masa kini.

Rekabentuk muka belakang syiling juga memaparkan rekabentuk yang hampir sama dengan wang kertas sekarang untuk memudahkan orang daripada negara luar mengenali wang Malaysia.

Kami juga sempat berbincang dengan beliau mengenai Sejarah Kilang Wang Royal Mint of Malaysia

Hari ini juga kami adakan sedikit perbincangan mengenai pereka duit syiling peringatan Malaysia. Tahukah anda berapa ramai "designer" kilang wang?

Tuan Ismail juga sempat memberikan penerangan mengenai perbezaan die duit syiling yang dibuat secara manual dengan die duit syiling yang dibuat menggunakan mesin Computer Numeric Control (CNC). Anda boleh melihat video yang kami kongsikan di facebook page Malaysia Coin.


Menurut beliau, CNC membantu pengeluar duit syiling untuk memastikan kualiti duit syiling yang dikeluarkan tidak bertukar/kurang kualitinya pada jangkamasa panjang.