Isnin, 10 Oktober 2016

Syiling peringatan Bandaraya Shah Alam

Duit syiling yang mula dijual pada 8 November 2000 ini dikeluarkan sempena pengisytiharan status Shah Alam sebagai bandaraya. Ianya dikeluarkan didalam dua jenis; Duit syiling perak dengan nilai muka 10 Ringgit, dijual pada harga RM120 setiap satu & kuantiti tempaan adalah terhad kepada 1,000 keping. Duit syiling dwilogam dengan nilai muka 1 Ringgit, dijual pada harga RM5 & kuantiti tempaan adalah terhad kepada 10,000 keping.

Bandaraya Shah Alam

Reka bentuk yang sama digunakan untuk dua jenis duit syiling peringatan. Sisi bahagian depan duit syiling menunjukkan mercu tanda di Shah Alam, iaitu Masjid Negeri yang diletakkan di antara Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan perkataan "SEMPENA PENGISYTIHARAN BANDARAYA SHAH ALAM" dan tarikh pengisytiharan "10 OKTOBER 2000".

Logo Majlis Bandaraya Shah Alam

Pada bahagian belakang duit syiling menunjukkan lambang Majlis Bandaraya Shah Alam dan nilai muka duit syiling. Rekabentuk duit syiling ini dihasilkan oleh MBSA dan Royal Mint Malaysia.

Duit syiling peringatan ini ditempa dan dibungkus oleh The Royal Mint of Malaysia. Pada ketika itu, ianya dijual di The Royal Mint of Malaysia, Kompleks Kilang Wang di Lot 2, Persiaran Selangor, Seksyen 15, 40720 Shah Alam. Duit syiling ini turut dijual di Ibu Pejabat BNM di Kuala Lumpur, cawangan BNM di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu, dan Wisma MBSA, Shah Alam.

$1 ringgit Syiling peringatan Bandaraya Shah Alam
1 Ringgit Bi-Metal

Spesifikasi Teknikal:
Tahun: 2000
Nilai Muka: 1 ringgit
Gred: Brilliant Uncirculated (BU)
Komposisi: Bi-Metal (Dwi-logam); Ring- CuAl6Ni2, Core- CuNi25
Berat: 8.15 gram
Diameter: 26.5 mm
Tempaan (Mintage): 10,000 pcs
Ketebalan: 2.33 mm
Mint: Royal Mint Malaysia
Harga jualan asal: RM5
Harga pasaran semasa: (rujuk: Senarai Harga Malaysia Coin Card )


$10 ringgit Syiling peringatan Bandaraya Shah Alam
Shah Alam coin

Spesifikasi Teknikal:
Tahun: 2000
Nilai Muka: 10 ringgit
Gred: Brilliant Uncirculated (BU)
Komposisi: Sterling Silver; Silver 92.5%,Copper 7.5%.
Berat: 21.7 gram
Diameter: 35.7 mm
Tempaan (Mintage): 1,000 pcs
Ketebalan: 2.7 mm
Mint: Royal Mint Malaysia
Harga jualan asal: RM120
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Perak)


Set Pruf 2 dalam 1:
Mengandungi duit syiling bi-metal dan perak pruf
Tempaan: Tidak diketahui
Harga Jualan: Tidak diketahui
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Set 2 dalam 1)

Khabar angin mengatakan, duit syiling ini agak sukar ditemui dan berharga mahal kerana semasa pelancarannya amat sedikit duit syiling yang dikeluarkan kepada orang awam kerana kebanyakan daripada duit syiling tersebut telah dibeli oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk dijadikan cenderamata kepada orang kenamaan (duit syiling perak) dan juga diberikan kepada kakitangan yang telah berkhidmat lama dengan MBSA (duit coin card) sebagai cenderahati. Kebanyakan daripada duit syiling yang berada didalam pasaran pada ketika ini ada kaitan dengan MBSA. Sama ada ianya dijual oleh anak-anak bekas kakitangan MBSA atau syiling tersebut dijual sendiri oleh kakitangan MBSA tersebut. 

Duit syiling Bi-Metal 1 ringgit walaupun mempunyai jumlah tempaan dibenarkan yang agak tinggi, 10,000 keping. Hanya lebih kurang separuh duit syiling Bi-Metal daripada jumlah tempaan yang dibenarkan tersebut dikeluarkan oleh Royal Mint of Malaysia. Hanya pada tahun lepas sahaja duit syiling ini banyak yang keluar daripada peti simpanan apabila ramai mula sedar yang harganya agak tinggi bagi sekeping syiling yang dijual pada tahun 2000 dengan harga RM5 sahaja.

Untuk senarai lengkap Harga duit lama Malaysia (syiling edaran, syiling peringatan dan coincard), anda boleh mencari maklumat mengenainya didalam artikel ini; Senarai lengkap harga syiling edaran & syiling peringatan Malaysia.