Khamis, 1 Ogos 2019

Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai 2019.

Duit Syiling Peringatan tersebut telah dipersembahkan kepada Baginda oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, at Istana Negara, Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah

Muka hadapan syiling memaparkan Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan "AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH" tertera di sekeliling duit syiling manakala tarikh pertabalan dipaparkan di bawah potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI. Elemen hiasan corak payung 14-penjuru melambangkan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai menawarkan "Payung Perlindungan" kepada 14 negeri di Malaysia dan ini ditunjukkan mengelilingi potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Jata Agong

Bahagian belakang duit syiling memaparkan jata rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Perkataan “PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI” dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian pada bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka duit syiling tersebut. Elemen hiasan corak payung 14-penjuru ditunjukkan mengelilingi bahagian belakang duit syiling.

Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli satu set dua dalam satu, satu duit syiling emas, satu duit syiling perak dan tiga duit syiling emas nordic).

Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 19 Ogos 2019 (baca info: Jualan Syiling Agong ke-16 pada 19 Ogos 2019) . Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian. Untuk maklumat lanjut menegenai tempahan, bayaran dan pengambilan duit syiling ini, anda boleh melayari laman web BNM http://www.bnm.gov.my bermula pada 19 Ogos 2019.

Daripada video yang dikongsi oleh Majalah 3 pada 29 Julai 2019, kita mendapat tahu pereka Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah Tuan Mohd Faizal Abdul Latiff. Anda boleh membaca info lanjut di: Proses Pembuatan Syiling Agong ke-16.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

Duit Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI Emas (pruf)
Emas pruf

Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Emas Pruf
Logam: Emas (Au999.9)
Nilai Muka(RM): 100 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 300
Diameter (mm): 22
Berat(g): 7.96
Harga Jualan BNM: RM1,800
Harga Pasaran: (Untuk Harga Terkini, Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Emas)


Duit Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI Perak (pruf)
Perak pruf

Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Perak Pruf
Logam: Perak (Ag99.9)
Nilai Muka(RM): 10 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 1,500
Diameter (mm): 40.7
Berat(g): 31.1
Harga Jualan BNM: RM200
Harga Pasaran: (Untuk Harga Terkini, Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Perak)



Duit Syiling Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI Emas Nordic
Emas Nordic

Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Nordic Gold (B.U.)
Logam: Cu89 Zn5 Al5 Sn1
Nilai Muka(RM): 1 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 20,000
Garis Pusat (mm): 30.0
Berat(g): 8.5
Harga Jualan BNM: RM12.00
Harga Pasaran: (Untuk harga terkini, rujuk: Senarai Harga Malaysia Coin Card )

Set Pruf 2 dalam 1:
Mengandungi sekeping duit syiling pruf perak dan sekeping duit syiling Nordic Gold pruf.
Tempaan: 1,000 set.
Harga Jualan BNM: RM230
Harga pasaran: (Untuk Harga Terkini, Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan 2 dalam 1)

Nota: Harga yang dinyatakan di atas adalah tertakluk pada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kecuali duit syiling peringatan emas (pruf).

Untuk senarai lengkap Harga duit lama Malaysia (syiling edaran, syiling peringatan dan coincard), anda boleh mencari maklumat mengenainya didalam artikel ini; Senarai lengkap harga syiling edaran & syiling peringatan Malaysia.