Selasa, 30 Julai 2019

Proses Pembuatan Syiling Agong ke-16

Majalah 3 pada 29 Julai 2019 ada memaparkan Proses Pembuatan Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Walaupun video yang dikongsi oleh Majalah 3 tersebut hanya selama 3 minit, ianya memberi maklumat yang berguna kepada numismatik Malaysia.

Syiling Agong

Terima kasih kepada Majalah 3 dan juga Bank Negara Malaysia kerana berkongsi Proses Pembuatan Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Daripada video tersebut, kita mendapat tahu pereka Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah Tuan Mohd Faizal Abdul Latiff.


Video tersebut bermula dengan proses mengambil gambar potrait Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada bulan Mei 2019.

Gambar potrait Yang di-Pertuan Agong kali ini diambil pada pandangan sudut sisi berbanding dengan potrait Yang di-Pertuan Agong pada syiling sebelum ini yang diambil pada pandangan depan.

Tuan Mohd Faizal Abdul Latiff juga berkata, beliau mengunakan Payung Diraja, Payung Obor-obor Kuning sebagai simbolik peranan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebagai payung negara.

Sebelah muka syiling lagi memaparkan Jata Peribadi Yang di-Pertuan Agong serta nilai duit syiling tersebut.

Video tersebut juga berkongsi proses mengukir potrait Yang di-Pertuan Agong dengan tanah liat khas.

Tuan Noor Hisham Jusoh memberitahu proses mengukir yang paling sukar adalah pada mata, hidung dan mulut. Beliau memerlukan gambar yang banyak dan melihat karakter yang sesuai untuk ditampilkan pada potrait Yang di-Pertuan Agong.

Pastinya ramai daripada rakan-rakan numismatik yang tidak sabar untuk menantikan hari jualan Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Ogos ini.