Friday, January 10, 2014

Sasana Kijang-Muzium Bank Negara Malaysia

Apa yang ada di Sasana Kijang BNM? Mungkin itulah soalan yang diajukan oleh mereka yang tidak pernah melawat tempat ini. Sebelum saya menceritakan mengenai apakah pameran yang ada di sana, saya kongsikan dahulu info penting mengenai Sasana Kijang-Muzium Bank Negara Malaysia.

Sasana Kijang

Sudah lebih 2 tahun Sasana Kijang-Muzium Bank Negara Malaysia (BNM) telah dibuka kepada orang ramai tetapi tidak ramai yang datang berkunjung ke Muzium Matawang Malaysia ini. Kunjungan saya ke Sasana Kijang pada 1 Disember 2013 yang lepas, pengunjung ke pusat pameran itu boleh dikira dengan jari. Suasana disana jauh bezanya dengan Muzium Negara yang saya lawati sebelum itu yang dibanjiri oleh pelancong asing.

Sasana Kijang dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 14 September 2011. Bangunan itu menempatkan pejabat International Islamic Financial Services Board (IFSB), Pusat penyelidikan dan latihan South East Asian Central Banks (SEACEN), kemudahan latihan, pejabat dan dewan persidangan dengan keluasan 1.09 million kaki persegi. Ia juga menempatkan Pusat Pengurusan Maklumat Bank Negara dan juga Muzium dan Galeri Seni.

Perkataan 'Sasana' berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud lokasi, pusat, bangunan atau arena di mana masyarakat berkumpul untuk bermesyuarat, manakala Kijang adalah logo Bank Negara Malaysia.

peta sasana
peta sasana-sila klik untuk saiz gambar lebih besar
Alamat: Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato' Onn, 50480 Kuala Lumpur.
Visit time: 10am-6pm. Everyday including Saturday & Sunday.
Parking: LG4 & LG5. RM3 per entry. Percuma pada hujung minggu.
GPS Coordinates: N03 09.439 E101 41.456
For english version about Sasana Kijang Location, you can read Sasana Kijang BNM Location.

Sasana Kijang terletak berdekatan dengan dengan memorial Tunku Abdul Rahman serta tidak jauh dari Bangunan ibu pejabat Bank Negara Malaysia.

Terdapat enam buah galeri di Sasana Kijang:
1. Galeri Kanak-Kanak
2. Galeri Numismatik
3. Galeri BNM
4. Galeri Ekonomi
5. Galeri Kewangan Islam
6. Galeri Seni

Didalam Artikel ini, saya akan lebih membicarakan mengenai Galeri yang berkaitan dengan Numismatik.

GALERI KANAK-KANAK

kanak-kanak

Di Galeri Kanak-kanak, kita akan disambut dengan Terowong Satu Juta yang mengandungi duit sebenar sebagai hiasan dinding terowong. Terdapat banyak duit specimen didalam terowong ini dan juga wang kertas Malaysia siri lama yang ada di antara anda yang mungkin tidak pernah melihatnya.


buat wang

Permainan

Terdapat juga permainan untuk kanak-kanak didalam galeri ini seperti mesin imbas harga barangan, mesin manual membuat duit dan mengesek duit syiling. Galeri ini sesuai untuk anda membawa anak-anak kecil mempelajari mengenai perbankan dan juga tanggungjawab untuk menabung.


GALERI NUMISMATIK

tampang

Galeri Numismatik mempamerkan artifak sejarah mata wang yang pernah digunakan di negara ini seperti wang bentuk haiwan, jongkong timah, syiling kesultanan negeri-negeri Melayu, duit North Borneo, duit Sarawak, wang Cina dan Siam terawal yang digunakan di negeri-negeri Melayu, wang semasa zaman british, wang yang digunakan semasa penjajahan belanda, duit Tanah-tanah Selat, duit Malaya, duit semasa penjajahan Jepun dan juga duit yang kita gunakan sekarang.


Di bahagian Denai Duit Syiling (River of Coin) menyaksikan satu koleksi syiling sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sehingga penjajahan Barat. Pelawat boleh memilih salah satu imej syiling bagi membuka pangkalan data yang mengandungi pelbagai maklumat informasi termasuk sejarah dan penggunaannya dengan menekan butang di depan peti pameran bergelas.

Lam Looking

Terdapat juga duit Token serta wang persendirian yang digunakan di ladang-ladang dan kawasan persendirian dipamerkan di galeri ini. Termasuklah wang kertas Lam Looking, taukeh Lombong Bijih Timah yang terkenal di Kampar, Perak. Untuk makluman, Pasar Karat Ipoh sehingga kini lebih dikenali sebagai Pasar Loken, sempena dengan Bazaar Lam Looking yang pernah wujud berdekatan dengan pasar karat Ipoh.



Selain itu, terdapat juga ruang pameran yang mempamerkan Wang Kertas Malaysia sejak tahun 1967. Hampir kesemua wang kertas yang dipamerkan adalah wang kertas contoh/specimen, anda boleh melihat nombor specimen yang dicetak pada wang tersebut.


Bersebelahan dengan kotak pameran wang kertas, terdapat juga pameran duit syiling Malaysia; syiling peringatan dan juga syiling edaran. Untuk makluman pengemar duit syiling peringatan, syiling peringatan yang dipamerkan disini tidak lengkap, ada beberapa set duit syiling peringatan yang tidak dipamerkan. Mungkin kerana ruang pameran yang agak kecil untuk mempamerkan kesemua set lengkap duit syiling peringatan Malaysia.


GALERI BANK NEGARA MALAYSIA

ringgit

Di Galeri BNM, kita berpeluang untuk melihat pameran dokumen-dokumen lama yang ada kaitan dengan penubuhan Bank Negara Malaysia seperti Laporan Watson-Caine, Ordinan Bank Negara Tanah Melayu, Laporan Bank Antarabangsa bagi pemulihan dan pembangunan Malaya dan juga cek 20 juta ringgit yang digunakan sebagai modal untuk memulakan Bank Negara.

Terdapat permainan interaktif Bilik Kebal yang meminta kita memasukkan tahun Bank negara Tanah Melayu ditubuhkan. Namun, ketika kunjungan saya, apabila saya memasukkan tahun 1959, bilik kebal itu tidak terbuka. Saya juga telah mencuba dari tahun 1957-1963 tetapi ianya masih tidak terbuka. Nak juga tahu apa yang ada didalam bilik kebal itu. Mana tahu ada emas berketul-ketul didalamnya kan? Mungkin ianya rosak ketika itu.

buat duit

Selain itu, dipamerkan juga, Mesin untuk membuat duit syiling, Wang kertas Pertama yang dicetak untuk Malaysia, Pencetak cek tahun 1910, Cenderamata yang diterima Bank Negara dan juga gambar-gambar lama suasana di kawasan Bank Negara serta Kilang Wang Shah Alam.

gambar lama

Di galeri BNM juga ada dikongsikan Video mengenai kesemua Gabenor Bank Negara yang pernah menerajui Bank Pusat itu. Video-video pendek itu berkongsi gambar setiap gabenor dan serba sedikit cerita mengenai pentadbiran gabenor tersebut.


GALERI EKONOMI
Di Galeri Ekonomi, terdapat pelbagai pameran yang sesuai untuk semua peringkat usia. ketika memasuki galeri ini, kita disambut dengan informasi mengenai sejarah krisis ekonomi dunia sejak dari tahun 1588 sehingga 2010. Terdapat juga ruang pameran yang mengajar kanak-kanak bagaimana sistem perbankan dijalankan.

kapal kontena

Para pelajar sekolah juga disajikan dengan beberapa permainan interaktif lain, antaranya replika kapal kontena yang memberi keterangan ringkas mengenai rakan dagangan utama Malaysia. Setiap kontena mempunyai nama negara yang menjadi rakan dagangan dan apabila dibuka, maklumat mengenai barang-barang dagangan dipaparkan dalam bentuk gambar. Ia sangat menarik dan mudah difahami tanpa mengira peringkat usia.

trade dollar

Kepada peminat duit syiling, galeri ini turut mempamerkan Duit syiling perdagangan atau Trade Dollar yang pernah digunakan di Tanah Melayu. Hampir kesemua syiling perdagangan lama ada dipamerkan didalam ruang galeri ini.


GALERI KEWANGAN ISLAM
Di galeri kewangan Islam, Bank Negara Malaysia berkongsi beberapa dokumen yang ada kaitannya dengan sejarah kewangan Islam di negara ini seperti Laporan Jawatankuasa pemandu penubuhan Bank Islam dan juga Sukuk Islam (Islamic bonds).

Perdagangan awal

Terdapat juga beberapa permainan interaktif didalam galeri ini, antaranya sebuah glob bumi yang memaparkan informasi tentang kewangan Islam dan juga Permainan Laluan Perdagangan awal ketamadunan Islam.

dinar

Galeri ini turut mempamerkan beberapa barangan yang ada kaitannya dengan numismatik seperti alat untuk menempa duit syiling yang dikatakan berasal dari timur tengah serta dinar dan juga dirham.


GALERI SENI
Sejak dari zaman Gabenor Bank Negara yang kedua, Tun Ismail Ali lagi, Bank Negara Malaysia telah mula mengumpul hasil seni yang dibuat oleh artis Malaysia. Sehingga kini, Bank Negara telah mempunyai koleksi lebih daripada 2,000 kerja seni yang kebanyakannya adalah lukisan dan juga ukiran oleh artis Malaysia dan juga daripada negara ASEAN lain.

Di antara koleksi utama BNM adalah:
Rubber Tapper, Yee Chin Ming, 1960
Beach Beauty, Mohd Hossein Enas, 1961
Snow Landscape or Car Parking, Ibrahim Hussein, 1963
Demon, Latiff Mohidin, 1965
Banjir Kuala Lumpur, Hossein Enas, 1971
Siri Catur IV, Zulkifli Yusof, 1989
Storm Riders, Mad Anuar Ismail, 1990
Sembahyang, Yong Look Lam, 1996