Rabu, 10 Ogos 2016

Usia Merdeka atau pejuang kemerdekaan?

3 minggu lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan 2016, anda ada menyimpan syiling peringatan Merdeka? Bank Negara Malaysia (BNM) mula mengeluarkan syiling tema kemerdekaan pada tahun 1977. Namun, tema kemerdekaan syiling-syiling tersebut lebih tertumpu kepada usia kemerdekaan sahaja.

Adakah usia kemerdekaan itu boleh menaikkan semangat kemerdekaan rakyat Malaysia dan seterusnya semangat sayangkan Malaysia?

adnan saidi

Bagaimana dengan para pejuang kemerdekaan yang mengorbankan kehidupan mereka untuk generasi masa hadapan? Adakah pengorbanan yang mereka curahkan tidak wajar dihargai pada sekeping syiling negara mereka sendiri?

Mungkin ada yang berkata, BNM sebelum ini ada mengeluarkan Syiling Bapa Kemerdekaan yang dikeluarkan pada 31 Mac 2005.

Walaupun syiling tersebut memaparkan potret Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Malaysia, ianya lebih kepada memperingati ulang tahun ke-100 keputeraan beliau.

Tahun 2017 kita akan menyambut 60 tahun merdeka, adakah BNM akan mengeluarkan Syiling Peringatan 60 tahun Merdeka?

Kepada yang tidak tahu, kami ada melaporkan sebelum ini tentang rancangan BNM untuk mengeluarkan Wang Kertas Peringatan 60 tahun Merdeka. Anda boleh baca maklumat yang kami perolehi mengenai wang kertas 60 tahun merdeka didalam artikel tersebut.

Namun, tidak ada lagi maklumat mengenai syiling kemerdekaan untuk tahun ini atau tahun 2017.

Rekabentuk syiling-syiling merdeka sebelum ini lebih kepada memaparkan kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia (lebih tepat lagi Kuala Lumpur kerana kebanyakkan bangunan yang dipaparkan didalam rekabentuk tersebut berada di Kuala Lumpur). Anda boleh melihatnya sendiri didalam artikel kami sebelum ini; Koleksi lengkap duit syiling Merdeka Malaysia.

Kenapa BNM tidak memaparkan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan nyawa dan mengorbankan kehidupan mereka untuk kebebasan kita, generasi kini?

Kita sudah hampir 60 tahun merdeka, adakah jasa pejuang kemerdekaan selain daripada Bapa kemerdekaan tidak perlu dikenang?

Mungkin BNM boleh mengeluarkan sekali lagi Siri Syiling Coin for education yang kali terakhir dikeluarkan lebih kurang 10 tahun yang lalu.

Malaysia ada lebih daripada 12 orang (jika syiling itu dikeluarkan untuk setahun) pejuang kemerdekaan negara. Malah, setiap negeri juga ada pejuang kemerdekaan masing-masing. Tidak ada masalah rasanya jika Siri Syiling Coin for education dikeluarkan untuk pejuang kemerdekaan Malaysia.

Itu cuma pendapat peribadi kami sahaja, anda mungkin mempunyai pendapat anda sendiri.

Anda ada cadangan siapakah pejuang kemerdekaan yang sewajarnya di abadikan pada syiling peringatan Malaysia, sila kongsikannya dengan kami.

Anda kenal siapakah pejuang kemerdekaan yang kami paparkan didalam gambar syiling di atas?