Ahad, 10 Mei 2015

Maklumat & Sejarah Syiling 1 Sen Malaysia

Syiling 1 sen walaupun mempunyai nilai denominasi yang kecil tetapi boleh memberikan pulangan yang lumayan kepada pengumpulnya. Namun, bukan semua syiling tersebut bernilai tinggi. Kepada bukan collector yang mahu belajar apakah syiling 1 sen yang bernilai tinggi, rajin-rajinlah membaca maklumat yang diberikan didalam artikel ini.

1 sen

Syiling 1 sen Malaysia mula diperkenalkan pada 12 Jun 1967 bersama-sama dengan Siri pertama duit syiling Malaysia bernilai denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Duit syiling siri pertama juga dikenali sebagai "siri Parlimen" dikalangan pengumpul kerana gambar parlimen di belakang syiling tersebut. Ianya diperbuat dengan logam tembaga (copper) dari tahun 1967 hingga 1973 dan tembaga bersadur keluli (copper clad steel) dari tahun 1973 hingga 1988. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai syiling ini disini: Duit syiling 1 sen Parlimen.

Pada 4 September 1989, syiling Malaysia siri kedua (Siri budaya artifak) mula diperkenalkan dengan beberapa perubahan dibuat kepada rekabentuk syiling. Motif utama syiling siri kedua adalah Bunga Raya di muka depan syiling dan rebana ubi dibahagian belakangnya. Ianya diperbuat dengan logam tembaga bersadur keluli (copper clad steel) dari tahun 1989 hinggalah ianya diberhentikan pengeluaran pada tahun 2007. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai syiling ini disini: 1 sen rebana ubi.

Kenapa Syiling 1 sen diberhentikan Pengeluarannya?
Kerajaan telah memperkenalkan pelaksanaan mekanisme penggenapan dalam urus niaga yang berkuatkuasa pada 1 April 2008. Dimana jumlah keseluruhan bil (termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai) dinaikkan atau diturunkan kepada 5 sen terdekat. Sehubungan dengan itu, jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan 1, 2, 6 dan 7 sen akan diturunkan kepada 5 sen terdekat dan jumlah keseluruhan bil yang berakhir dengan 3, 4, 8 dan 9 sen akan dinaikkan kepada 5 sen terdekat.

Sebagai contoh, jumlah keseluruhan bil sebanyak RM22.02 akan diturunkan kepada RM22.00. Sekiranya jumlah keseluruhan bil sebanyak RM22.04, ia akan dinaikkan kepada RM22.05.

Pelaksanaan sistem tersebut bagaimanapun tidak terpakai bagi semua pembayaran dalam talian seperti untuk pembayaran bil utiliti melalui Internet.

Pada 28 Mac 2008, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohd. Nor Mashor berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat menjimatkan wang kerajaan sehingga RM14 juta setahun untuk mengurangkan pengeluaran syiling satu sen. Pada masa itu, kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak 4.2 sen bagi mengeluarkan sekeping syiling satu sen. Setiap bulan BNM mengedarkan 30 juta keping duit syiling satu sen dan sebanyak 99 peratus daripadnya tidak dapat diterima semula oleh BNM.


Adakah duit syiling 1 sen masih boleh digunakan?
Ya. Duit syiling 1 sen masih sah diperlakukan dan boleh digunakan sebagai satu cara pembayaran bagi apa jua transaksi seperti yang ditetapkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 1958 (Pindaan 1994). Duit syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sah diperlakukan di Malaysia mengikut nilai muka seperti yang berikut:

Denominasi: 50 sen Jumlah Maksimum:Tidak melebihi RM10.00
Denominasi: 20 sen, 10 sen, 5 sen dan 1 sen Jumlah Maksimum: Tidak melebihi RM2.00

Walau bagaimanapun, orang ramai boleh menukar duit syilling 1 sen mereka secara percuma di ibu pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur atau cawangan-cawangannya di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.


Adakah syiling 1 sen kesemuanya bernilai tinggi kepada pengumpul duit lama?
Tidak semua syiling 1 sen bernilai tinggi, anda perlu memeriksa syiling anda dengan magnet untuk mencari syiling-syiling tersebut. Ini juga bukan bermakna setiap syiling yang melekat magnet itu bernilai tinggi. Mohon kepada anda untuk membaca sendiri maklumat yang telah saya tulis sebelum ini disini: 1 sen melekat magnet atau tidak.