Rabu, 13 Julai 2016

Logo & Tema Merdeka Malaysia 2016

Tema, logo dan lagu sambutan Merdeka Malaysia 2015, #SehatiSejiwa dikekalkan sebagai tema sambutan pada tahun 2016. Ini di umumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 di Angkasapuri, pada 21 Jun 2016.

#sehatisejiwa

Tema tersebut dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.

Salleh berkata tema berkenaan mampu meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia berdasarkan kepada penerimaan dan penglibatan rakyat dalam program-program sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang lalu.

Salleh Keruak

"Tema, logo dan lagu sambutan juga masih dikekalkan untuk tahun ini dan turut dikekalkan adalah penggunaan nama ‘Hari Kebangsaan’ sebagai panggilan rasmi dengan tidak menyebut bilangan ulang tahun sambutan," katanya.

Antara program yang akan mewarnai bulan kebangsaan dan Hari Malaysia mulai Julai sehingga Oktober nanti termasuk program MERDEKA@komuniti, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Doa Untuk Malaysia, Kayuhan Sehati Sejiwa, Karnival Merdeka, Amanat Hari Kebangsaan, Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 dan Sambutan Hari Malaysia 2016.

Dalam pada itu, Salleh berkata penganjuran hari kebangsaan bukan semata-mata milik kerajaan yang memerintah sahaja tetapi sebaliknya semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan dan badan korporat perlu bersama memainkan peranan dalam menganjurkan hari kemerdekaan.

"Konsep hari kemerdekaan itu adalah hari milik kita bersama, dan untuk itu semua pihak perlu melibatkan diri," katanya.


LOGO HARI KEBANGSAAN KE-59 2016

Merdeka 2015

RASIONAL LOGO
Logo ini mengambarkan Peta Malaysia termasuk Semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang dikelilingi dalam bentuk hati. Logo ini membawa maksud kesatuan rakyat Malaysia yang sehati sejiwa serta bersama-sama menjaga keamanan dan keharmonian negara Malaysia.

MAKSUD LOGO
BENTUK HATI merupakan perlambangan kesatuan rakyat Malaysia yang sekian lama hidup dalam aman, toleransi dan harmoni.

BULAN adalah metafora keluhuran Islam sebagai agama rasmi negara manakala BINTANG pecah 14 adalah cerminan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

PETA Malaysia mengambarkan keakraban semua negeri dibawah payung negara.

GARIS MERAH di bawah adalah imejan rakyat Malaysia yang berjiwa besar dan berani, di samping rentetan wara BIRU, MERAH, PUTIH, KUNING yang merupakan kombinasi warna Jalur Gemilang kebanggan rakyat Malaysia.


RASIONAL TEMA
#SehatiSejiwa adalah cerminan kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat kepada Malaysia negara tercinta. Kesenadaan #SehatiSejiwa setiap lapisan masyarakat Malaysia akan terus menyatukan kita tanpa mengira garis sempadan nautika lautan, susur galur keturunan, kepercayaan, adat resam dan negeri kelahiran.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 bertemakan #SehatiSejiwa mampu mengerak dan menyemarakkan perasaan kasih sayang serta hormat menghormati di antara kita. Ia akan meneguhkan lagi semangat patriotisme yang menjadi tonggak dan tiang seri kepada keharmonian dan perpaduan bangsa Malaysia. #SehatiSejiwa adalah titian hubungan - yang jauh didekatkan, ukhwah dipereratkan, selamanya...

Untuk senarai penuh logo dan tema merdeka daripada tahun 1970 sehingga yang terkini, anda boleh melayari artikel saya; Koleksi Lengkap Logo & Tema Merdeka.