Sabtu, 15 Oktober 2016

Khabar angin Syiling Peringatan 2016

Tahun 2016 semakin hampir melabuhkan tirainya tetapi khabar-khabar angin mengenai syiling peringatan yang akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tahun 2016, masih lagi kedengaran. Ada di antara khabar angin ini yang kami terima semenjak awal Januari lagi.

Syiling Peringatan 2016

Terpulang kepada anda untuk percaya atau pun tidak dengan khabar angin yang kami tulis didalam artikel ini. 

Namun, pada pendapat kami, para collector wajib bersama-sama bantu membantu berkongsi maklumat kerana BNM akan mengeluarkan syiling peringatan mereka secara mengejut sepertimana apa yang berlaku dengan Syiling Peringatan Kejohanan Ping Pong Dunia 2016.

Mahu tidak mahu, maklumat khabar angin diperlukan untuk memastikan kita bersedia dari segi kewangan dan juga cuti, terutamanya kepada yang bekerja makan gaji.


Syiling Jubli Emas 50 Tahun FELCRA?

FELCRA ialah singkatan Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority (Lembaga Penyatuan Pemulihan Tanah Persekutuan). FELCRA ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara yang bertarikh 1 April 1966 dan pindaan 1989. Pada peringkat awal, FELCRA diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Tanah dan Pembangunan Wilayah. Kini FELCRA diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

50 tahun FELCRA

Menurut maklumat daripada rakan-rakan kami, Pra Pelancaran Sambutan 50 Tahun FELCRA telah disempurnakan oleh Menteri KKLW, YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 22 September 2016. Sehingga artikel ini ditulis, tidak ada lagi acara sambutan di adakan.

Walau bagaimanapun, maklumat mengenai syiling ini telah kami terima sejak bulan Mac lagi. dikatakan, syiling telah pun siap, hanya menunggu hari pelancaran sahaja.


Syiling Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15

Tahniah kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V kerana dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-15, Istiadat Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15 dijangka akan di adakan pada 13hb Disember ini.

Sultan Muhammad V

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-15 pada 14 Oktober 2016. Minggu ini, khabar angin timbul mengenai syiling yang akan dikeluarkan sempena dengan pertabalan Sultan Muhammad V pada 13hb Disember ini.


Syiling peringatan 70 Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM)?

syiling RTM

Untuk makluman semua, RTM secara rasminya ditubuhkan pada 1 April 1946 dengan kewujudan Jabatan Penyiaran. Kewujudan awalnya tertumpu kepada penyiaran oleh stesen radio. Pada awal tahun 50-an, aktiviti penyiaran di Malaya beroperasi dari studio sementaranya di Jalan Young (kini Jalan Cenderasari) di Kuala Lumpur dan kemudiannya pada tahun 1956 berpindah ke Bangunan Persekutuan (Federal House), Kuala Lumpur.

Syiling ini telah dijual kepada umum pada 25 April; Syiling 70 tahun RTM dijual 25 April.


Syiling Jubli Emas Yayasan Sabah?

Yayasan Sabah

Yayasan Sabah telah ditubuhkan secara rasmi pada 10hb Mei 1966 melalui Enakmen No. 8 Dewan Undangan Negeri Sabah. Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun atau (Tun Mustapha), Ketua Menteri Sabah yang pertama telah mencadangkan supaya suatu Yayasan ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran untuk belia Sabah secara percuma di dalam ucapannya di Mesapol, Sipitang pada 9 November 1995.

Sambutan ulang tahun ke-50 Yayasan Sabah akan diadakan pada 9 Mei ini di Auditorium Tun Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. Pada 6 Mei 2016, Bernama melaporkan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata duit syiling sempena sambutan ulang tahun ke-50 Yayasan Sabah yang dikeluarkan BNM akan dilancarkan pada 9 Mei.

Artikel penuh boleh baca di; Hari Jualan Syiling 50 tahun Yayasan Sabah.


Syiling 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Pada tahun 2012, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (Girl Guides Association Malaysia) terlibat secara tidak langsung dengan pengeluaran Syiling Peringatan Ulangtahun ke-100 Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia.

100 years PPPM

Persatuan Pandu Puteri Malaysia ditubuhkan pada tahun 1916 dan didaftarkan setahun kemudian. Tidak dinyatakan tarikh sebenar penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di portal rasmi mereka.

Namun, carian lanjut kami mendapati didalam program tahun 2016 Persatuan Pandu Puteri Malaysia ada "Pelancaran Syiling kenangan 100 tahun PPPM" yang dirancang untuk di adakan di Langkawi pada bulan Mei 2016. Rujuk: Sambutan 100 Tahun Penubuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Syiling ini telah pun dijual oleh BNM pada 6 Jun; Hari jualan Syiling Pandu Puteri Malaysia.


Di antara Khabar angin syiling peringatan untuk tahun 2016

Syiling Sambutan 50 tahun MARA?

Awal tahun, kami mendapat khabar angin mengenai sambutan 50 tahun MARA. Menurut portal rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA ialah sebuah agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun 1965.

MARA bukan sahaja menawarkan biasiswa bagi yang layak tetapi turut menubuhkan beberapa institut pendidikannya sendiri; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej MARA, Kolej Profesional MARA (KPM), GiatMARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Kuala Lumpur(UniKL), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Teknologi MARA(UiTM).

Kemungkinan besar maklumat ini tidak betul kerana sambutan telah dijalankan pada 1 Mac. Setakat hari ini, tidak ada maklumat yang kami terima mengenai Syiling Sambutan 50 tahun MARA.


Syiling Sambutan Hari Ulang Tahun Muzium TUDM ke-30

Maklumat ini kami terima daripada portal rasmi TUDM (url telah dibuang/remove). Pada hari Sabtu, 13 Febuari 2016, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Roslan bin Saad telah melancarkan Syiling Kenangan sebagai simbolik sambutan Hari Ulang Tahun Muzium TUDM ke-30 sempena dengan Hari terbuka Muzium tersebut. Gambar tersebut juga diperolehi daripada portal tersebut.

syiling Muzium TUDM

Muzium TUDM ditubuhkan pada 1 Jun 1985 yang telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Ghazali Mohd Seth, sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-27. Ini bermakna, besar kemungkinan syiling peringatan tersebut akan dikeluarkan pada tarikh berdekatan dengan 1 Jun 2016.

Ini hanyalah medallion dan bukannya syiling peringatan; Hanya Medallion Muzium TUDM tiada syiling peringatan.


Syiling sambutan 111 tahun Universiti Malaya?
Ada khabar angin, syiling peringatan untuk tahun ini akan turut melibatkan sebuah Universiti yang akan membuat sambutan ulangtahun mereka. Carian pihak kami, Universiti Malaya akan mengadakan sambutan 111 tahun untuk tahun ini.

Universiti Malaya adalah gabungan Kolej Perubatan King Edward VII (ditubuhkan 3 Julai 1905) dan Kolej Raffles (Singapura) (ditubuhkan pada 1929), bergabung menjadi Universiti Malaya (pada 8 Oktober 1949).

Kenapa sambutan 111 tahun Universiti Malaya?
  • Universiti Malaya adalah Universiti pertama (1) di Malaysia.
  • Universiti Malaya adalah Universiti utama (1) di Malaysia.
  • Universiti Malaya menyasarkan untuk menjadi Universiti No. 1 di Dunia.

Kami tidak pasti, jika sambutan 111 tahun Universiti Malaya ini yang dimaksudkan oleh rakan-rakan collector.

Setakat hari ini, tidak ada maklumat tepat yang kami terima mengenai Syiling Sambutan 111 tahun Universiti Malaya. Khabar angin terbaru, syiling ini kemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan.


Kesimpulan
Setakat hari ini, 3 syiling yang dikongsikan didalam berita khabar angin ini telah pun keluar, hanya tinggal Syiling Jubli Emas FELCRA yang masih tidak muncul dan Syiling 111 tahun Universiti Malaya ini dikatakan tidak mungkin akan dikeluarkan oleh BNM dari sumber-sumber yang boleh kami percayai. Syiling Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong ke-15 adalah khabar angin terbaru untuk tahun 2016.

Maklumat yang kami terima, kemungkinan besar hanya 1 lagi syiling peringatan yang akan keluar untuk tahun 2016.

Anda ada maklumat lain? Sila kongsikan dengan kami.

Sila komen, Like dan Share maklumat ini supaya kesemua rakan-rakan collector boleh bersedia untuk tahun yang "mencabar" untuk pengumpul syiling peringatan.