Isnin, 16 Mei 2016

Hari Jualan Syiling 50 tahun Yayasan Sabah

Hari ini berlangsung jualan Duit Syiling Peringatan 50 tahun Yayasan Sabah oleh Bank Negara Malaysia. Hari ini juga, sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya tandatangan Gabenor Bank Negara yang baru dilantik, Datuk Muhammad Bin Ibrahim di abadikan pada item numismatik Malaysia.

kredit gambar: Dickson Niew

Seperti yang dijangka oleh kebanyakkan pengumpul, sijil pengesahan duit syiling tersebut ditandatangani oleh Datuk Muhammad Bin Ibrahim.

Walaupun ramai yang memuji tandatangan beliau, tidak kurang juga yang memberi komen tandatangan tersebut agak panjang berbanding dengan tandatangan bekas Gabenor Bank Negara sebelum ini. Rujuk artikel sebelum ini; Senarai nama Gabenor BNM dan tandatangan.

Ramai juga yang berharap, BNM akan mengeluarkan wang kertas dengan tandatangan baru ini didalam masa terdekat.

Hari Jualan Syiling 50 tahun Yayasan Sabah hari ini agak meriah kerana ramai yang datang awal menunggu giliran di Sasana Kijang dan juga Pulau Pinang.

Sasana Kijang
Kredit Gambar:Vincent Ooi

Di Sasana Kijang, ada yang sudah berbaris sejak jam 5 petang dan pada jam 11 malam, sudah ada lebih daripada 100 orang berada di Sasana Kijang. Jam 5 pagi, sudah ada lebih dari 200 orang berada disana.

Ada rakan-rakan yang berkata, suasananya tidak ubah seperti hari jualan tudung terkemuka yang pernah viral sebelum ini. Mujurlah tidak ada adegan tolak menolak dan berebut-rebut di antara satu sama lain.

Pondok Bas
Kredit gambar: Bert Chang

Di Pulau Pinang, walaupun hujan lebat, ini tidak menghalang rakan-rakan daripada berbaris menunggu syiling dijual. Pondok Bas berdekatan dengan pintu pagar BNM Pulau Pinang dijadikan tempat menunggu sementara menanti hujan berhenti turun. Pada jam 9.30 malam, sudah ada lebih kurang 10 orang berada di pondok bas tersebut.

Pada jam 9 pagi apabila jualan Sasana Kijang dibuka, sudah ada 241 orang beratur. 130 Set single peruf habis dijual di Sasana Kijang pada jam 10.25 pagi dan coincard habis dijual pada jam 10.50 pagi.

Jumlah Set single peruf dijual hari ini:
  • Sasana Kijang 130 set (habis jam 10.25am)
  • Kuala Terengganu 9 set.
  • Pulau Pinang 12 set (kesemua set habis jam 11am).
  • Kuching 20 set (habis 9.50am).
  • Kota Kinabalu 25 set.
  • Johor Bahru?

Anggaran keseluruhan Set single peruf yang dijual BNM hari ini hanya 196 set. Jumlah mintage keseluruhan ada 500 set. Meningkat sedikit jika hendak dibandingkan dengan jualan syiling 70 tahun RTM.

Setakat ini tidak ada maklumat berkenaan dengan anggaran jumlah jualan set 2 dalam 1 serta coincard syiling peringatan Yayasan Sabah.

Rekabentuk duit syiling yang kurang menarik dan juga warna pada duit syiling yang kurang jelas (pecah-pecah) adalah antara isu yang ditimbulkan oleh para collector. Rekabentuk syiling kali ini dikatakan tidak ubah seperti hasil pertandingan lukisan kanak-kanak.

Selain itu, ada juga yang mempersoalkan kenapa jumlah set single peruf yang dijual hanya 196 set sedangkan jumlah mintage ada 500 set. Dimanakah perginya lebih daripada 300 set tersebut?

Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu memberikan maklumat hari ini. Suatu hari nanti, maklumat mengenai jumlah set single peruf yang dijual BNM ini akan berguna kepada pengumpul duit syiling peringatan.

Jika tidak direkodkan, kita tidak tahu apa yang berlaku dihari jualan sepertimana dengan syiling peringatan Shah Alam.

Terima kasih sekali lagi kerana membantu menyumbang kepada rekod numismatik Malaysia.