Isnin, 2 November 2015

Malaysia belum sampai tahap Industri Numismatik

Hari ini kita berbincang mengenai "Industri Numismatik Malaysia", ada rakan-rakan yang berkata hobi numismatik di Malaysia ini sudah sampai ke tahap industri dan hobi ini sudah boleh dipanggil sebagai "Industri Numismatik". Adakah ini suatu yang tepat dan betul?

NUMISMATIK

Adakah oleh kerana ada ramai penjual duit lama, hobi ini sudah sampai ke tahap industri?

Pada pendapat kami, numismatik di Malaysia masih perlu berjalan jauh lagi jika hendak sampai ke tahap itu.

Kenapa Numismatik di Malaysia belum sampai ke tahap Industri Numismatik?

1. Ramai penjual tetapi adakah ramai juga pembeli?
Pada pendapat kami, pada ketika ini ada ramai penjual berbanding dengan jumlah pengumpul duit lama di Malaysia. Penjual duit lama yang kami maksudkan termasuklah penjual di media sosial Facebook, mudah.my, blog-blog, penjual pasar karat serta penjual yang mempunyai gerai serta kedai mereka sendiri. Pada ketika ini, penjual duit lama online lebih ramai berbanding dengan penjual duit lama offline.

Justeru itu, tidak hairanlah adakalanya kita boleh memperolehi duit lama pada harga yang murah secara online berbanding dengan offline. Namun, risiko untuk ditipu secara online juga adalah lebih tinggi berbanding secara offline melainkan jika kita boleh bertemu secara bersemuka dengan penjual online tersebut.

Penjual ramai tetapi pembeli tidak mempunyai kuasa membeli yang tinggi, jual mahal tiada siapa nak beli, jual murah untung hanya sedikit, adakah itu industri numismatik?


2. Berapa banyakkah perusahaan yang berkaitan dengan numismatik?
Pada ketika ini, ada berapa banyakkah perusahaan berkaitan numismatik yang ada di seluruh Malaysia? 

Kita hanya mempunyai satu kilang duit yang dipunyai oleh Bank Negara Malaysia, Kilang Wang Kertas milik syarikat percetakan luar negara yang mempunyai kontrak dengan BNM, satu kilang kraftangan yang juga dikenali kerana kerja tangan yang menarik di bidang numismatik dan beberapa lagi industri kecil lain yang secara tidak langsung berkaitan dengan numismatik.

Adakah ini bermakna Numismatik Malaysia sudah sampai ke tahap industri?


3. Apakah peluang kerjaya untuk mereka yang mempunyai ilmu didalam numismatik?
Selain menjadi penjual duit lama, adakah peluang kerjaya lain yang boleh dibuat oleh mereka yang mempunyai ilmu numismatik? Adakah Jabatan Muzium, Pihak universiti atau Bank Negara Malaysia yang mengambil kira pengalaman didalam bidang numismatik sebagai calon pekerja mereka?

Universiti Malaysia Pahang (UMP) sedang berusaha untuk mengadakan pengajian numismatik tetapi sampai bilakah ianya dapat bertahan? Berapa ramaikah yang sanggup mengorbankan wang ringgit dan masa untuk belajar? Jika suatu hari nanti UMP telah menyediakan pengajian peringkat ijazah, adakah ianya boleh digunakan untuk mengejar kerjaya didalam bidang numismatik di masa depan?


4. Berapa banyak persatuan numismatik di Malaysia?
Adakah anda telah mengambil kira berapa banyak persatuan berdaftar berkaitan numismatik di Malaysia yang anda tahu? Rasanya boleh dikira dengan jari tangan, tak perlu pakai jari kaki nak kira. Berapa ramai pula pengumpul duit lama yang menjadi ahli-ahli persatuan numismatik yang berdaftar?


5. Adakah rekod jumlah pengumpul duit lama seluruh Malaysia
Ada yang kata pengumpul duit lama di seluruh Malaysia sudah mencapai 50,000 orang? Dari manakah jumlah ini diperolehi, persatuan numismatik? Jabatan Kerajaan? Facebook? Tidak ada rekod yang sahih mengenai jumlah pengumpul duit lama seluruh Malaysia dicatatkan ketika ini.

Kebanyakkan yang ada di Facebook menyertai Group Numismatik adalah penjual dan juga mereka yang ingin tahu mengenai hobi ini. Semua orang boleh mereka seberapa banyak akaun Facebook yang mereka mahu. 

Adakah jumlah akaun Facebook yang ramai boleh di ambil kira sebagai jumlah pengumpul duit lama?


6. Berapakah jumlah nilai pasaran industri numismatik Malaysia?
Ada yang kata RM2.6billion. Oleh yang demikian, industri numismatik telah menghasilkan beratus-ratus jutawan di Malaysia kerana mereka boleh menjual 20 sen 1988 dan juga 5 sen 1997 pada harga yang tinggi.

Hahahahaha....

Tapi secara seriusnya, berapakah nilai pasaran numismatik di Malaysia?


Pendapat anda? Adakah Malaysia sudah sampai ke tahap industri Numismatik?