Ahad, 25 November 2012

Logo BNM: Sejarah & Konspirasi

Rasanya tidak salah kalau saya mengatakan, umum mengetahui bahawa ada yang mengatakan logo Bank Negara Malaysia (BNM) itu adalah anjing Firaun (Pharaoh Hound). Dengan kewujudan ramai blogger di Malaysia sekarang ini, ada yang mengambil jalan mudah untuk popular dengan membuat cerita-cerita yang kononnya "teori konspirasi" serta bertujuan untuk kononnya membantu menyedarkan masyarakat tentang perkara yang disiasat oleh mereka. Tapi kita sebagai pembaca juga perlulah bijak jangan percaya sahaja 100% kepada penulis-penulis konspirasi ini. Kebanyakan daripada mereka menulis hanya untuk mengapi-apikan pembaca mereka dengan harapan pembaca akan kongsikan artikel mereka kepada kawan-kawan dan entri tersebut akan menjadi popular. Mereka tidak berkongsi fakta di dalam entri mereka. Ada juga yang tidak tahu berkenaan sesuatu isu itu tetapi kerana mengejar traffik blog, mereka "copy paste" cerita orang lain di blog mereka. Apabila pembaca bertanya dengan lebih lanjut, mereka langsung tidak tahu bagaimana hendak menjawab persoalan tersebut. Saya akan cuba kupas semula isu ini berdasarkan apa yang saya telah tulis di dalam post sebelum ini; Bank Negara Malaysia Logo issue.

logo bnm

Logo BNM: Sejarah & Konspirasi.

1. Kenapa logo itu dipilih
Logo tersebut di ilhamkan oleh Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, Gabenor BNM pada tahun 1964 lagi. Idea itu timbul berdasarkan kepada duit syiling emas lama, duit emas kupang Kelantan. Duit syiling tersebut mempunyai motif Kijang (barking deer). BNM kemudian secara rasminya menggunakan lambang kijang, matahari dan bulan sabit pada logonya. Matahari melambangkan kuasa dan bulan sabit melambangkan Islam, agama rasmi Malaysia. Fakta ini adalah berdasarkan kepada maklumat di laman web BNM; The Bank's Logo. Sebenarnya, logo BNM dipilih bukan berdasarkan kepada haiwan kijang tetapi daripada duit emas lama Kelantan, kupang emas.

2. Anjing Firaun.
Kebanyakan daripada blog-blog konspirasi tersebut mengatakan logo BNM itu adalah anjing Firaun dan bukannya kijang tetapi adakah anda semua membuat carian tentang anjing Firaun atau di dalam bahasa Inggerisnya Pharoah Hound tersebut? Jika anda membaca di laman-laman web kebanyakannya mengatakan yang anjing tersebut adalah anjing Firaun yang berasal dari Egypt sejak lebih 3000 tahun dulu yang ditinggalkan di kepulaun Malta. Namun,  jika kita membuat carian dengan lebih lanjut, ada orang Malta yang mengatakan itu cumalah dongengan semata (misleading name Pharaoh Hound). Nama "Pharaoh" itu dibuat oleh orang Inggeris yang membawa anjing tersebut ke tempat mereka dari Malta pada tahun 1960an kerana ia menyerupai gambar anjing yang ada didalam piramid Firaun. Nama asal anjing Firaun tersebut adalah "Kelb tal-Fenek" yang membawa maksud anjing pemburu arnab (Rabbit Hound). Malangnya, usaha mereka untuk menukar nama tersebut tidak diterima semata-mata untuk menjaga nama yang telah diguna pakai sejak dulu lagi, Pharoah Hound.

3. Kijang
Jika kita membaca berkenaan kijang pula, memang rupanya jauh berbeza dengan apa yang ada pada logo BNM tetapi kijang apabila dia ketakutan, ekornya akan terangkat ke belakang dan ekornya sepanjang 1-2 inci. Syiling kupang tersebut telah digunakan sejak kurun ke-17 lagi, kita kena berfikir adakah kemungkinan kijang pada masa itu berekor panjang? Boleh jadi juga, orang yang mereka bentuk kijang tersebut tersilap sehingga membuatkan ekor kijang tersebut panjang. Walau bagaimanapun, ini cuma andaian dan imaginasi bukan fakta.

4. Syiling kijang emas.
Ada yang mengatakan syiling Kijang Emas Kelantan telah digunakan sejak pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, Raja perempuan Kelantan pada tahun 1610.
"Cik Siti Wan Kembang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai. Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini".
Sumber dari kelantan.gov.my (Sejarah Cik Siti Wan Kembang).

Versi lain mengaitkan Kijang emas tersebut dengan agama Hindu. Ini kerana rekabentuk pada syiling Kijang menyerupai lembu berbonggol belakang India dan juga motif lembu pada duit syiling Hindu kuno yang diedarkan di Utara Tanah Melayu Utara sebelum itu.

Kesimpulannya, Logo BNM yang ada pada ketika ini dipilih berdasarkan kepada corak kijang pada duit syiling Kijang Emas Kelantan bukannya Kijang sahaja. Ianya dipilih kerana syiling tersebut mempunyai sejarah tersendiri kepada Tanah Melayu dan juga Kesultanan Melayu. Terpulang kepada anda untuk menerima ataupun tidak, buat kajian anda sendiri. Jangan percaya 100% kepada saya dan juga penulis blog konspirasi. Selain daripada maklumat di laman web BNM yang saya dikongsikan disini, tidak ada kenyataan rasmi lain BNM berkenaan dengan logo mereka.


Read More

Rabu, 21 November 2012

Bendera Israel pada duit Malaysia

"Kenapa letakkan bendera Israel bersebelahan dengan duit syiling 10 sen Malaysia tu? Agak-agaklah nak hina barang buatan Malaysia pun janganlah sampai menghina negara sendiri".

Nak tergelak saya baca apabila mendapat komen seperti ini dari seorang pembaca yang tidak berpuashati dengan entri yang saya buat sebelum ini; New 10 sen related to Israel flag? Apabila saya menyoal siasat dan bertanya lebih lanjut dengan pembaca tersebut, rupa-rupanya beliau tidak faham bahasa Inggeris. Walaupun gambar pada entri saya itu kelihatan hampir sama dengan post-post blog Malaysia lain di luar sana tetapi isinya berbeza. Saya tidak pernah mengatakan lambang pada duit 10 sen itu sama dengan lambang bendera Israel. Kadang-kadang, orang Malaysia ini terlalu cepat melatah. Apabila keluar sahaja lambang atau nama Yahudi dan Israel, ada yang dah mula nak ambik parang kat dapur walau tak tahu hujung pangkal. Nak baca bahasa Inggeris tak tahu, saya pulak yang kena marah dengan dia. Hahahaha....

Israel

Cerita Bendera Israel pada duit Malaysia ini bermula apabila ada seorang blogger yang saya tak perlu sebutkan nama dan link blognya disini, mula menyebarkan cerita tersebut. Blognya memang terkenal dengan gosip dan cerita-cerita panas yang apabila disiasat lebih lanjut, adalah bohong dan tidak berasas sama sekali. Rasanya, blog beliau pernah hendak diambil tindakan saman kerana menghina seorang celebriti sedikit masa lalu. Apabila blogger-blogger lain tahu tentang cerita ini, masing-masing mula untuk membuat cerita yang sama, semata-mata untuk mendapatkan traffik atau pengunjung blog yang mencari cerita "lambang Israel pada duit 10 sen" di enjin carian Google dan sebagainya. Bagi saya, kebanyakan cerita yang dikongsi mereka adalah berat sebelah dan menghina duit syiling Malaysia. Saya memang pernah melihat corak orang asli tersebut sewaktu lawatan saya ke Pulau Carey suatu waktu dulu. Lagipun, corak tersebut memang agak jauh daripada lambang "Star of David" seperti yang dimaksudkan oleh mereka. Mereka lukiskan lambang bintang pada duit syiling itu supaya menampakkan ianya menyerupai lambang Israel tersebut. Walhal, corak anyaman orang asli Mah Meri tersebut tidak ada menyerupai Hexagram yang telah menjadi lambang Judaism sejak kurun ke-17 lagi. Ianya mungkin berbucu enam tapi ia bukan bercorak seperti Hexagram.

Inilah padahnya apabila semua orang sibuk dengan teori konspirasi. Semuanya hendak dikaitkan dengan Yahudi, Illuminati dan juga Freemason. Apa saja barang buatan Malaysia (khasnya yang berkaitan dengan kerajaan sekarang ini) akan dicemuh dan dicaci untuk menyemai rasa bencikan kerajaan. Mereka tidak pernah terfikir yang perbuatan mereka menghina duit syiling Malaysia itu secara tidak langsung turut menghina negara yang mereka duduki sekarang ini. Bagi mereka itulah kebebasan bersuara, walau bercakap tak menggunakan akal terlebih dahulu. Jangan salah sangka saya sebagai penyokong kerajaan, jika ada perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh kerajaan saya turut bersuara. Kecewa juga apabila melihat duit syiling 10 sen siri ketiga yang baru sahaja dikeluarkan pada tahun ini dijadikan bahan untuk blogger-blogger mencari traffik mudah. Padahal, ada banyak lagi cerita yang mereka boleh utarakan.

Bagi saya, rekabentuk duit syiling Malaysia siri ketiga yang baru sahaja digunakan pada tahun ini adalah amat cantik dan melambangkan negara kita. Namun, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin tersilap memilih logam yg digunakan untuk duit syiling 20 sen dan 50 sen. Logam Nickel Brass Clad Copper yang digunakan itu memang cantik bila ianya berkeadaan baru dan berkilat tetapi cuaca di Malaysia ini yang lembap dan kering hampir sepanjang tahun menjadikan logam itu mudah kotor. Duit syiling tersebut akan menjadi hitam jika tidak dijaga dengan betul. Mujurlah ciri-ciri keselamatan yang ada pada syiling tersebut masih boleh kelihatan walaupun keadaannya kotor. BNM juga mungkin tersilap memilih corak anyaman orang asli Mah Meri pada duit 10 sen tersebut. Ini kerana tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu tentang corak tersebut. Mungkin dimasa hadapan, BNM perlu mempromosikan lebih awal kenapa rekabentuk duit syiling Malaysia dibuat begitu. Sebagai contoh, mungkin mengeluarkan video di Youtube tentang corak-corak yang dipilih tersebut pada keadaan sebenarnya.

Pendapat saya juga, tidak ada lambang Bendera Israel pada duit Malaysia yang baru tersebut. Janganlah cepat sangat memburukkan negara sendiri walaupun anda tidak puashati dengan kerajaan yang ada sekarang. Fikir dulu sebelum bercakap, kalau tak tahu tu kena amalkan, Kalau tak pandai, BELAJAR. Tak tahu, CARI. Tak faham, TANYA. Dah tahu, SEBARKAN seperti yang saya cakapkan sebelum ini di sini; Ramai Numis Malaysia kedekut ilmu?


Read More

Jumaat, 16 November 2012

Sejarah: Asal-usul nama Malaysia

Tahukah anda tentang sejarah asal usul nama Malaysia? Ada yang mengaitkan kewujudan negara Malaysia ini adalah agenda Freemason yang telah dirancang sejak tahun 1889 lagi? Mereka (orang yang berkata demikian) mengaitkan rancangan tersebut dengan dokumen-dokumen lama yang ada menggunakan nama Malaysia sebagai tajuk buku atau kertas kerja tersebut. Hahahaha.... Nak tergelak pun ada bila saya baca cerita-cerita mereka ini yang tak habis-habis dengan Illuminati dan Freemason sehingga cerita jadi bercampur aduk dan adakalanya boleh jadi bahan lawak di waktu pagi. Semua hendak jadi penyiasat kepada aktiviti yang sudah berjalan sejak ratusan tahun tersebut. Apa yang mereka dapat hasil daripada siasatan mereka itu? Anda jawaplah sendiri. Hahahaha....

Peta Malaysia
malay archipelago

Berbalik kepada cerita nama Malaysia yang bagi saya perlu kita bincangkan. Nama Malaysia ini sebenarnya telah digunakan sejak tahun 1800an lagi dan ianya merujuk kepada Semenanjung Melayu dan kepulauan Melayu. Kepulauan Melayu merujuk kepada kawasan Sumatra, Tanah Java, Tanah Melayu, Pulau Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei, Timor dan Filipina. Kepulauan Melayu dikatakan mencecah 2 juta Kilometer persegi dengan lebih daripada 25,000 pulau-pulau didalamnya. Ini dibuktikan dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston F.R.G.S (AK Johnston) pada tahun 1845. Beliau memberi tajuk 'South Eastern Peninsula and Malaysia' kepada peta tersebut dan dimuatkan didalam bukunya "National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography". Malaysia juga merujuk kepada kaum Melayu di Kepulauan tersebut yang mempunyai kuasa dominan pada ketika itu dan juga peneroka pertama di tanah melayu. Ini berdasarkan kepada nota didalam peta tersebut; "....the group (the malay peninsula and the malay archipelago ) has been named Malaysia from the Malays who are the dominant race in the archipelago...."

Malaysia

Selain itu, terdapat juga beberapa buah buku yang turut membincangkan mengenai "Malaysia" seperti buku "Malaysia A Study in Direct and Indirect Rule" oleh Rupert Emerson yang diterbitkan oleh Macmillan Co., New York pada tahun 1937. Buku ini banyak digunakan oleh penulis cerita Freemason dan Illuminati yang saya sebutkan tadi. Daripada Ulasan buku tersebut yang saya baca, penulis hanya mengupas tentang cara British dan Belanda berkuasa secara terus & Indirect di Malay Peninsula dan East Indies. Malaysia didalam buku tersebut merujuk kepada Malay Peninsula dan East Indies yang dibawah kuasa British & Belanda pada masa itu. Pelik, mereka (penulis Freemason & Illuminati) ini tidak pula mahu merujuk kepada buku "India and Malaysia" yang ditulis oleh Bishop J. M. Thoburn dan diterbitkan oleh Cranston & Curts, Hunt & Eaton pada tahun 1892 di Cincinnati, New York. Mungkin kerana Rupert Emerson pada suatu waktu dulu pernah menjadi wakil kerajaan Amerika di Asia Tenggara.

Malaysia 20 cents

Didalam Numismatik, ramai yang mungkin sudah tahu kewujudan Duit Syiling Aluminium Jepun yang dikeluarkan pada tahun 1942 (tertulis 2602 menggunakan kalendar Jepun). Duit syiling itu ada didalam simpanan Bank Negara Malaysia dan ditempatkan di Sasana Kijang serta merupakan antara duit syiling yang unik di Galeri Numismatik. Semuanya bermula apabila pada tahun 1983, sebuah buku yang disusun oleh Bank of Japan bertajuk "Zuroku Nippon No Kahei" (Gambar Syiling dan Wang Kertas Jepun) didapati dibawah tajuk "coins of the pacific war", terdapat gambar duit syiling 20 sen tertulis dengan perkataan 'Malaysia'. Pada muka depan syiling itu kelihatan tiga cabang daun dan tarikh 2602 (1942) serta perkataan Malaysia. Di Bahagian belakang, kelihatan cahaya matahari diapit oleh bunga sakura dengan tulisan 20 sen di atas.
Malaysia coin

Menurut Wong Hon Sum didalam bukunya "The Japanese Occupation of Malaya (Singapore)", Pada bulan Mac 1986, Saran Singh telah mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan Osaka, Jepun mengenai perkara ini. Jawapan yang beliau terima adalah duit syiling 20 sen itu sebenarnya telah dikeluarkan oleh Osaka Mint dan 'Malaysia' mewakili nama umum penduduk malaya pada masa itu. Semasa penjajahan mereka, Jepun mengiktiraf Melayu sebagai pribumi apabila Malaya dinamakan semula sebagai 'Ma-rai-ee' dan Cina, India dan lain-lain dianggap sebagai immigrant. Ada juga yang percaya, perkataan 'Malaysia', seperti yang tertulis pada duit syiling itu, adalah gabungan nama 'Malaya' dan 'Indonesia' dan bahawa syiling itu bertujuan untuk edaran di Semenanjung melayu dan Kepulauan Melayu. Walau bagaimanapun, pandangan ini telah dicabar oleh penemuan lima syiling aluminium yang dikeluarkan oleh tentera jepun di Indonesia. 2 keping syiling 1 cent dengan corak kepala kayu bertarikh 2603 (1943) dan 2604 (1944); 1 syiling 5 cent dengan corak wayang kulit bertarikh 2604; 2 keping 10 sen dengan corak kepala kayu diperbuat dari Zinc dan Nickel bertarikh 2603 dan 2604.

Selain itu ada juga yang mengatakan nama Malaysia ini adalah gabungan dua perkataan Inggeris, 'Malay' dan 'Shire'. Malay merujuk kepada penduduk dominan di kawasan tersebut dan Shire bermaksud perkampungan. Ada pula yang mengatakan ianya berasal dari bahasa Latin 'Malay' dan 'Sia'. Sia dikatakan bermaksud sebagai tanah. Namun, carian saya didalam bahasa latin mengenai 'sia" tidak pula terjumpa ianya bermaksud sebagai tanah. Ada yang mengatakan negara ini dinamakan sebagai Malaysia setelah Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj mendapat perkenan daripada Ratu Elizabeth sebelum Malaysia Merdeka pada 1 September 1963. Namun, kesemua itu tidak ada rujukan daripada mana sumber maklumat itu diambil.

Kesimpulan saya, sejarah asal usul nama Malaysia bermula apabila negara barat merujuk Semenanjung melayu dan Kepulauan Melayu sebagai "Malaysia" kerana kaum Melayu di Kepulauan tersebut mempunyai kuasa dominan disitu pada ketika itu.

Apa pendapat anda?

Sumber: Buku "National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography"; Buku "Malaysia Numismatic Heritage"; Buku "The Japanese Occupation of Malaya (Singapore)".


Read More

Rabu, 14 November 2012

Ramai Numis Malaysia kedekut ilmu?

"Kalau tak pandai, BELAJAR. Tak tahu, CARI. Tak faham, TANYA. Dah tahu, SEBARKAN. Kongsikan ilmu yang kita ada bersama orang lain".

Hari ini saya terbaca kata-kata hikmat ini yang dikongsi oleh seorang rakan di Facebook. Bagi saya, kata-kata ini amat sesuai di dalam kehidupan numismatik kita secara amnya dan kehidupan saya sebagai blogger numismatik secara khususnya. Di dalam lebih 4 tahun saya menjadi blogger numismatik, saya boleh simpulkan ada ramai pengumpul duit lama yang kedekut ilmu tetapi ada juga yang tidak lokek dan mudah berkongsi ilmu yang dia ada. Ada yang berpura-pura tidak tahu, semata-mata dia nak dapat untung lebih. Ada yang berkongsi ilmu, semata-mata dia mahu untung lebih juga. Orang kata, jangan kedekut ilmu tetapi saya terpaksa tapis apa yang saya dapat kerana adakalanya cerita tersebut bukan cerita benar dan ada juga cerita yang berunsur spekulasi sahaja untuk mencari untung. Ramai juga diluar sana yang tidak sukakan saya kerana berkongsi ilmu numismatik di alam maya. Bagi mereka, saya penyebab mereka susah cari makan dan saya juga penyebab ramainya penjual duit lama secara online sekarang ini.

Malaysia coin


"Kalau tak pandai, BELAJAR"
Ingat lagi tak cerita akhbar sinarharian duit syiling 16 juta? Kalau anda lupa boleh baca disini; Betulkah syiling lama bernilai tinggi? Kalau dibaca ceritanya, orang yang mengarang cerita (pemberita) dan juga orang yang memiliki duit syiling 16 juta itu jelas tidak ada ilmu mengumpul duit syiling tetapi dua-dua mahu bercerita. Sepatutnya kalau tak tahu, belajar terlebih dahulu sebelum bercerita dengan satu Malaysia yang anda ada duit 16 juta. Apa yang saya lihat sekarang dah jadi seperti satu trend di Malaysia ini, ada duit lama berusia lebih 100 tahun, harganya berjuta-juta. Semua nak jadi seperti mat jenin, berangan-angan sahaja tetapi bodoh tak tahu apa. Saya dengar pemilik duit 16 juta itu sudah mula belajar serba sedikit ilmu numismatik, harap beliau terus belajar dari kesilapan lalu.


"Tak tahu, CARI"
Adakalanya, kita mahu belajar tetapi tak tahu dengan siapa kita boleh belajar. Kita kena berusaha untuk mencari dengan siapa kita boleh belajar. Sebagai contoh, jika kita nak tahu berkenaan duit syiling Malaysia, kita kena cari mereka yang mengumpul duit syiling tersebut, berkawan dengan mereka. Tanya dengan mereka apa yang kita tidak tahu. Sekarang ini, jika tak tahu, boleh buat carian di Google. Cuma kena pastikan ilmu yang kita dapat dari Google itu betul atau tidak. Cari sehingga kita puashati. Jika mengenai duit syiling dunia pulak, ada banyak buku mengenainya. Beli buku untuk kita cari ilmu.


"Tak faham, TANYA"
Ramai yang kata jangan lawatlah blog lunaticg tu, blog dia banyak iklan. Tujuan dia buat blog tu nak dapat untung daripada iklan jer tu. Hahahahaha.... Kalau korang melawat blog ni bukan saya dapat duit pun. Iklan tu saya dapat duit bila korang berminat dengan apa yang di iklankan dan pergi klik iklan tersebut. Ingat visitor dari Malaysia ni iklan dia dapat harga mahal ke? Satu klik dapat lebih kurang RM0.10 jer. Satu hari dapat dalam 10 klik jer, kiralah sendiri. Saya letak iklan dalam blog kerana ada bahan-bahan numismatik seperti Duit Syiling yang saya tak berminat saya terpaksa beli untuk dimasukkan didalam blog. Sebagai contoh, Duit peringatan PATA 86 yang rosak teruk di dalam post, I am not a collector ini saya beli dengan harga RM140. Adakah yang nak beli pada harga RM150 termasuk poslaju? Itu belum termasuk kos kerugian terbeli duit palsu melalui online. Kos saya untuk minyak kenderaan, tol, bil telefon untuk bergerak mencari informasi duit syiling juga perlu di ambil kira. Jadi saya dah beritahu tu, tolong jangan salah faham lagi.

Namun, ada juga yang bila tak tahu mengenai duit syiling yang mereka ada terus nak bertanya, walhal saya telah kongsikan apa yang saya tahu di dalam blog. Buat carian dulu, nak belajar janganlah malas nak tunggu kena suap ilmu ke mulut sahaja. Bila dah CARI tak jumpa barulah TANYA.


"Dah tahu, SEBARKAN"
Dah dapat ilmu yang anda cari tu, jangan lupa sebarkan kepada kawan-kawan lain. Mungkin ada yang mencari jawapan kepada persoalan yang sama, jangan kedekut ilmu, kongsi ilmu. Di blog saya, banyak butang share ke social media seperti Facebook dan Twitter. Cuma blog ini saya lock dari di copy paste kerana ramai yang kongsikan cerita didalam blog ini tanpa menyertakan link dari blog ini. Kongsi ilmu yang kita dapat dengan orang lain, ilmu itu walau sedikit mungkin manafaatnya besar kepada orang lain. Namun, saya bukanlah pakar numismatik, saya cuma suka berkongsi ilmu.


Terima kasih kepada kawan-kawan Numismatik dan juga sifu-sifu yang tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu selama ini. Untuk pengetahuan semua juga, saya juga bukan peminat duit syiling Malaysia tetapi saya belajar dari rakan-rakan dan juga sifu-sifu semua. Di dalam kehidupan saya selama lebih 4 tahun sebagai blogger numismatik, ada diantara mereka yang saya lihat kedekut ilmu kerana mereka tahu saya ini blogger, mereka takut tembelang mereka pecah kerana saya tahu ada diantara mereka yang suka berkongsi cerita pelik duit syiling Malaysia. Ada pula yang tidak mahu berkongsi ilmu atas dasar perkauman. Itu belum termasuk lagi mereka yang sebelum nak bercerita, pandang kita atas bawah, nak tengok dulu kita ni miskin atau kaya. Mereka yang mengumpul duit lama di Malaysia ini tidaklah ramai sangat, apa salahnya berkongsi ilmu. Lihat sahaja Dickson Niew sebagai contoh, beliau tidak pernah lokek berkongsi ilmu. Dulu sewaktu kedainya mula-mula dibuka, saya, isteri dan anak boleh lepak di kedainya bercerita sehingga malam. Sekarang ini, nak lepak bersembang sejam dikedainya pun dah amat sukar, murah rezekinya kerana dia tak lokek ilmu. Semua kerana saya lihat dia mengamalkan "Kalau tak pandai, BELAJAR. Tak tahu, CARI. Tak faham, TANYA. Dah tahu, SEBARKAN".


Read More

Selasa, 13 November 2012

Kenapa tidak boleh mencuci duit lama

Bagaimanakah cara untuk mencuci duit syiling lama? Ada seorang pembaca yang menghantar pesanan kepada saya melalui Facebook yang dia berminat untuk belajar mencuci duit syiling, bila duit syiling nampak berkilat baginya ia kelihatan cantik untuk diletakkan didalam album. Saya menasihatinya untuk tidak mencuci duit syiling yang dia ada, biarkan sahaja pada keadaan asal. Kenapa? Kerana mencuci duit syiling akan menyebabkan harganya jatuh dan kondisi duit syiling tersebut ada kemungkinan akan rosak. Ini kerana ada banyak syiling yang menjadi rosak kerana dicuci daripada yang menjadi lebih elok. Bagi pengumpul duit syiling yang baru belajar, duit "bling-bling" atau berkilat itu mungkin amat cantik tetapi bagi pengumpul duit lama sebenar, syiling bling-bling yang dicuci itu tidak ada nilainya kerana kilatan yang ada pada syiling tersebut tidak semulajadi. Ada yang menggunakan ubat gigi, air coke, limau, air panas dan juga sos tomato untuk menjadikan duit lama berkilat. Ada pelbagai cara mencuci duit lama diluar sana yang anda boleh pelajari tetapi adakah berbaloi untuk anda melakukannya?

Straits settlements coin

Kenapa tidak boleh mencuci duit lama?

1. Harganya akan jatuh dengan teruk apabila dicuci.
Ada yang mengatakan, penjual duit lama tidak membenarkan anda untuk mencuci duit lama sebagai alasan untuk membeli duit lama anda pada harga murah. Ini cakap orang yang tidak ada ilmu dan tidak mahu belajar. Harga duit lama itu jatuh kerana rupanya sudah rosak kerana telah dicuci. Mungkin kerana rupanya tidak semulajadi dan ada calar kesan dicuci. Jika anda mempunyai duit syiling 1 sen 1970 yang dicuci, harganya mungkin hanya RM30 sahaja pada saya berbanding harga asalnya RM80 (nilai duit 1 sen mengikut tahun). Ini kerana warna asalnya sudah bertukar, copper apabila dicuci, warnanya akan berubah kepada lebih terang sedikit dan tidak nampak warna semulajadinya. Syiling tersebut juga ada kemungkinan telah tercalar (perlu lihat dengan kanta pembesar) dengan teruk. Harganya jatuh kerana kebiasaannya mencuci duit syiling akan menyebabkan duit itu rosak dan tidak nampak keadaan semulajadinya.

2. Duit lama mempunyai patina & toning yang akan hilang bila dicuci.
Toning yang ada pada duit syiling memakan masa bertahun-tahun untuk terbentuk. Toning atau warna yang berubah secara semulajadi kepada duit syiling adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehi terutamanya untuk toning yang cantik berwarna biru, hijau atau violet. Toning yang cantik sebegini mendapat tempat dikalangan pengumpul duit lama dan harganya agak tinggi daripada biasa. Patina seperti juga toning mengambil masa lama untuk terbentuk di permukaan syiling. Patina yang biasanya berwarna hijau dan terjadi pada syiling copper & bronze melindungi syiling tersebut daripada rosak. Kewujudan patina ini biasanya menarik minat pengumpul duit lama dan ianya sudah cukup sebagai bukti yang duit lama itu asli. Apabila anda mencucinya, toning & patina ini akan turut hilang.

3. Mengosok syiling biasanya akan merosakkannya.
Kebanyakan daripada pengumpul duit baru akan menggunakan cara mengosok duit syiling tersebut untuk membersihkannya. Ada yang menggunakan ubat gigi dan berus gigi, ada juga yang menggunakan pencuci barangan perak yang boleh dibeli di kedai-kedai hardware dan syiling akan digilap dengan kain. Mengosok duit syiling sebegini akan mencalarkannya dan sekaligus akan merosakkan duit syiling tersebut. Duit syiling itu mungkin akan nampak berkilat tetapi warna kilatannya tidak semulajadi dan ada kesan calar pada permukaannya.

4. Syiling circulated akan nampak buruk bila dicuci.
Duit syiling Parlimen "bling-bling" yang circulated sebegini biasa saya lihat di jual di Facebook. Apabila duit syiling circulated ini dicuci ianya nampak buruk dimata pengumpul duit lama. Mungkin bagi penjual dan juga pengumpul baru, duit itu cantik kerana nampak berkilat dan bersinar tetapi jika dilihat dengan teliti, permukaan syiling yang sudah bercalar sewaktu berada di edaran itu tidak mungkin berkilat begitu. Saya tahu ramai yang terbeli syiling begini daripada penjual yang sama dan tidak akan membeli dari penjual tersebut lagi.

1/2 cent 1932

5. Mencuci duit syiling tidak akan memperbaiki kondisinya.
Ramai pengumpul baru yang salah faham, jika duit syiling itu berkilat, gred dan kondisi duit syiling itu akan turut meningkat naik. Apa yang berlaku sebenarnya adalah sebaliknya. Syiling yang dicuci sudah tidak kelihatan natural dan tidak nampak menarik dimata pengumpul duit lama. Saya banyak mendapat duit syiling Straits Settlements yang jika tidak dicuci memang akan mendapat harga yang tinggi kerana keadaannya yang masih cantik. Tetapi akibat telah dicuci, syiling yang sepatutnya mempunyai gred extremely fine itu hanya ada pada kondisi Very Fine sahaja. 

6. PGCS NGC tidak akan gred duit syiling yang dicuci.
Numismatic Guaranty Corporation (NGC) dan Professional Coin Grading Service (PGCS) dua syarikat antarabangsa yang melakukan servis mengred duit syiling mungkin tidak akan mengred duit syiling anda jika ianya teruk dicuci. Jika anda mempunyai syiling yang ada kemungkinan berharga tinggi seperti "half cent Queen Victoria Straits Settlements tahun 1883" tetapi telah dicuci. Anda tidak akan mendapat extra value kerana PGCS & NGC tidak mahu mengred duit syiling anda. Dengan adanya gred dari dua syarikat ini, biasanya lebih mudah untuk menjual duit syiling tersebut dan mendapat harga yang lebih kerana grednya sudah dilakukan oleh syarikat terbabit.


Nasihat saya, biarkan duit syiling pada keadaan semulajadinya, jangan mencuci duit syiling jika anda tidak ada kepakaran. Jika anda hendak cuba mencuci sekalipun, gunakan duit syiling yang berharga murah. Ada pengumpul duit lama yang mengatakan terpulang kepada masing-masing untuk mencuci duit lama di dalam simpanan mereka atau tidak tetapi bagi saya mencuci duit lama bukan pilihan. Anda tidak sepatutnya mencuci duit lama. Ini kerana suatu hari nanti anda mungkin akan menjual duit lama itu, pada ketika itulah anda akan mula menyesal. Mengumpul duit lama ini anda perlu fikir ke hadapan jangan fikir masa sekarang sahaja. Artikel ini ditulis bukan untuk duit syiling yang dijumpai oleh Metal Detector yang pada kebiasaannya perlu dicuci kerana kesan tanah dan lumpur yang ada padanya.

Jangan cuci duit lama anda, buruk, kotor, hitam pada duit lama itu suatu hari nanti mungkin akan membantu anda menaikkan harganya. 

Read More

Sabtu, 10 November 2012

Duit Malaysia siri ketiga

Duit syiling baru Malaysia ini telah digunakan sejak 16 Januari 2012. Sebelum dan selepas pelancarannya, pelbagai pendapat yang tidak baik kita dengar dari rakyat Malaysia tentang duit baru ini. Ada yang mengaitkannya dengan lambang yahudi, freemason dan juga illuminati. Ada pula yang mengatakan duit baru ini menyusahkan kerana mereka tidak dapat menggunakannya ketika membayar tempat letak kereta. Ada yang mengatakan duit syiling ini agak sukar untuk dibezakan, terutamanya untuk 50 sen dengan 20 sen serta 10 sen dengan 5 sen. Bank Negara Malaysia (BNM) banyak berusaha untuk memberikan penerangan dan bantuan untuk emmastikan syiling baru ini dapat digunakan di Malaysia secara optimum. Pelbagai seminar dan sessi penerangan duit syiling baru termasuk memberi kenyataan akhbar berkenaan sesetengah perkara untuk memberi kefahaman kepada orang ramai.  Bagi saya,  Duit Malaysia siri ketiga ini adalah yang tercantik dari segi rekabentuknya dan juga ciri keselamatan yang ada pada duit syiling tersebut. Denominasi duit syiling siri baharu ini ialah 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

syiling 2012

Duit Malaysia siri ketiga memaparkan corak budaya dan warisan negara melalui motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara, bertemakan 'Keunikan Malaysia'. Bahagian hadapan setiap denominasi memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dan (kecuali duit syiling 50 sen) lima garis mendatar bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara. Bahagian belakang duit syiling pula memaparkan motif Bunga Raya atau Rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA'.

BNM

Di antara ciri keselamatan utama yang ada pada duit syiling baru ini adalah gambar pendam (tulisan "50" dan "sen") duit syiling 50 sen akan kelihatan apabila duit syiling tersebut disendeng pada sudut yang berlainan. Selain itu, terdapat juga huruf "B N M" tersembunyi di pada bahagian hadapan duit syiling 20 sen dan 50 sen. Ciri keselamatan adalah penting untuk duit syiling berdenominasi besar kerana kemungkinan ianya dipalsukan adalah lebih tinggi.

Duit syiling baharu ini adalah lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga memudahkan orang ramai untuk mengetahui denominasi yang berlainan. Reka bentuk sisi tepi dan saiz duit syiling yang berbeza-beza akan memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan. Selain itu, duit syiling baharu ini dibuat menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dan turut memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah daripada jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

50 sen-Sulur Kacang
50 sen

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.

Technical Specifications:
Face Value:50 sen
Alloy: Nickel Brass Clad Copper
Diameter (mm): 22.65
Weight (gram): 5.66
Mint: Kilang Wang Bank Negara, Shah Alam

20 sen-bunga melur
20 sen

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga.

Technical Specifications:
Face Value:20 sen
Alloy: Nickel Brass
Diameter (mm): 20.60
Weight (gram): 4.18
Mint: Kilang Wang Bank Negara, Shah Alam

10 sen-Motif Orang Asli
10 sen

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.

Technical Specifications:
Face Value:10 sen
Alloy: Stainless Steel
Diameter (mm): 18.80
Weight (gram): 2.98
Mint: Kilang Wang Bank Negara, Shah Alam

5 sen-Destar Siga
5 sen

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.

Technical Specifications:
Face Value:5 sen
Alloy: Stainless Steel
Diameter (mm): 17.78
Weight (gram): 1.72
Mint: Kilang Wang Bank Negara, Shah Alam

Read More

Khamis, 8 November 2012

Buku rujukan duit Malaysia

Untuk anda yang mencari buku rujukan duit syiling Malaysia, hanya ada dua buah buku sahaja yang saya syorkan kepada anda; Buku Steven Tan dan juga KN Boon. Sebaik-baiknya anda membeli kedua-dua buku tersebut jika anda ingin belajar tentang koleksi wang lama Malaysia tetapi sekurang-kurangnya anda perlu ada sebuah daripada buku tersebut untuk rujukan. Namun, sebelum saya bercerita lebih jauh, peringatan kepada anda, harga di dalam buku tersebut hanyalah panduan. Biasanya ketika jual beli diadakan, penjual dan pembeli akan berbincang harga yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Buku yang ditulis tidak akan dapat mengejar harga pasaran duit lama Malaysia yang adakalanya naik dengan cepat dan sekali-sekala jatuh dengan cepat juga. Buku rujukan perlu kerana ada pengumpul duit lama yang baru tidak kenal akan bentuk duit-duit lama, tahun keluaran, saiz dan juga beratnya. Ini penting untuk memastikan anda tidak menyesal di kemudian hari terbeli duit palsu dari penjual yang tidak beretika.

Buku duit lama

Standard Catalogue Of Malaysia, Singapore, Brunei Coin & Paper Money-20th edition
Buku terbaru Steven Tan yang dikeluarkan pada Julai 2012 ini dijual pada harga RM88 dan diterbitkan oleh International Stamp & Coin Sdn Bhd. Namun, ada kedai duit lama dan penjual wang lama di Amcorp Mall yang menawarkannya pada harga yang lebih murah. Buku ini mengandungi 447 mukasurat (lebih kurang 100 mukasurat adalah iklan) dan meliputi hampir kesemua wang lama yang pernah digunakan di Malaysia suatu waktu dulu. Kesilapan data yang diberikan didalam buku ini juga adalah amat sedikit berbanding buku yang lain. Semua duit syiling peringatan dan juga duit syiling yang pernah digunakan oleh Malaysia, Singapura dan juga Brunei ada didalam buku ini. Anda juga boleh membelinya secara terus di kedai Steven Tan di alamat berikut:
International Stamps & Coin Sdn Bhd
Address: 2.4 & 2.5, 2nd Floor, Pertama Shopping Complex,
Jln Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
Tel: +603-2692 6373, 26983781, 26926117
Fax: +603-26928380
E-mail: isc_mal@streamyx.com, isc.mal@gmail.com
Read more: Steven Tan 20th Catalogue.



Malaysia, Brunei & Singapore Banknotes & Coins 6th Edition
Buku yang disusun oleh KN Boon ini dijual pada harga RM55 dan diterbitkan oleh Trigometric Sdn Bhd. Buku ini turut diterbitkan pada bulan Julai 2012 dan mengandungi 481 mukasurat. Walaupun buku ini mengandungi banyak mukasurat, ianya agak ringan berbanding dengan edisi ke-5 yang dikeluarkan pada tahun 2010. Buku ini bersaiz kecil, memudahkan untuk pengumpul duit lama membawanya ke mana-mana. Selain itu, harganya juga tidak terlalu mahal, sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai buku rujukan duit lama lagi. Namun, ada beberapa kesilapan kecil yang terdapat didalam buku ini. KN Boon di dalam buku ini memaklumkan pembaca yang penilaian yang dia lakukan untuk harga pasaran duit lama adalah berdasarkan apa yang dia tahu dan mengikut harga pasaran semasa ketika buku itu ditulis. Beliau juga menyatakan yang buku itu hanya sebagai rujukan dan harga akan berbeza daripada apa yang anda perlu bayar untuk koleksi anda. Anda boleh mendapatkan buku ini secara terus di kedai KN Boon di alamat:
Trigometric Sdn Bhd
Lot 327, Amcorp Mall, 18 Jalan Persiaran Barat,
Off Jalan Timur, Petaling Jaya, 46050 Selangor, Malaysia
Tel: 603-79579566
Fax: 603-79579568
Read more: KN Boon 6th edition Book.

Kesemua buku ini juga boleh dibeli di mana-mana kedai duit lama yang terdekat dengan anda; Kedai duit syiling lama Malaysia. Ada juga buku rujukan lain yang diterbitkan oleh penerbit Malaysia tetapi buku-buku tersebut sama ada mengandungi terlalu banyak kesilapan data atau tidak dikemaskini untuk tahun 2012. Harga duit lama bukannya statik, ianya senantiasa berubah berdasarkan kepada faktor-faktor yang saya pernah terangkan sebelum ini; Kenapa duit lama berharga tinggi.


Read More

Rabu, 7 November 2012

Top 7 Pasar karat popular di Malaysia

Entri ini adalah mengenai "Top 7 Pasar karat popular di Malaysia". Ada yang bertanyakan kepada saya, diamanakah Pasar Karat (flea market) popular di Malaysia ini yang ada menjual duit syiling dan juga wang lama? Sebelum saya menjawab soalan tersebut, adalah lebih baik jika kita terlebih dahulu bercerita mengenai pasar karat. Pasar karat adalah suatu pasar yang pada kebiasaannya menjadi tempat untuk mencari barang-barang lama (antik) dan juga terpakai. Namun, ada sesetengah tempat yang mengubah nama mereka kepada pasar karat walaupun kebanyakan penjual disitu tidak menjual barang-barang lama. Di dalam entri ini, kita akan membincangkan mengenai pasar-pasar karat yang popular di Malaysia yang menjual wang lama dan serba sedikit berkenaan sejarahnya. Oleh kerana sibuk dengan tugas, saya sudah agak kurang memburu duit syiling lama di pasar karat. Oleh yang demikian, ada kemungkinan informasi yang saya berikan di dalam entri ini adalah kurang tepat. Mohon tuan-puan, tolong perbetulkan dengan memberi komen di dalam post ini atau Facebook.

Pasar karat

Saya tidak pasti Pasar Karat Pertama di Malaysia yang mana satu tetapi saya mula menjadi peminat pasar karat apabila saya mula bekerja di Pulau Pinang pada tahun 2000. Saya dimaklumkan oleh beberapa orang sifu, pasar karat di Pulau Pinang adalah Pasar Karat pertama di Malaysia. Kewujudannya yang menarik kehadiran warga tempatan dan juga pelancong asing serta kelihtan boleh menjana ekonomi setempat telah membantu secara tidak langsung kewujudan banyak pasar karat lain di seluruh semenanjung. Selain lorong kulit, pasar karat juga mempunyai nama-nama lain mengikut tempatnya. Antara nama lain pasar karat ialah; Flea market, pasar lambak, boot sale, rope walk, roadwalk, pasar loken, memory lane, thieves market dan pasar warisan.

Top 7 Pasar karat popular di Malaysia:

1. Lorong Kulit Pulau Pinang.
Pasar Karat pertama di Pulau Pinang ini mula beroperasi pada penghujung tahun 1992. Lorong kulit pada asalnya hanyalah satu nama jalan untuk lorong sempit di Pulau Pinang. Ianya dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 1 petang untuk hari biasa, dari jam 8 pagi sehingga 2 petang untuk Sabtu/Ahad. Lokasinya bersebelahan dengan Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Balai Polis Dato Keramat dan juga Workshop TNB. Ada banyak tempat letak kereta berbayar di sekitar kawasan tersebut dengan kadar bayaran RM1 untuk hari bekerja dan RM2 untuk Sabtu/Ahad. Ada lebih daripada 10 orang penjual yang mengusahakan gerai duit lama di sini. Sesetengah dari mereka turut menjual barang-barang antik. Oleh yang demikian, anda perlu memerhatikan betul-betul setiap meja penjual kerana ada yang menjual dalam jumlah wang lama yang sedikit. Masa terbaik yang saya syorkan untuk datang ke Pasar karat ini adalah pada jam 7 pagi (Ahad). Ini kerana pada jam 8 pagi, orang sudah mula ramai datang ke sini. Pada hari biasa, ada penjual yang tidak datang menjual di sini. Menurut En. Muhammad Arif (pembaca blog ini yang memberi komen diFacebook), Lorong Kulit juga dikenali sebagai "Ropewalk" kerana suatu masa dahulu ianya beroperasi berdekatan dengan KOMTAR di Jalan pintal tali.

2. Pasar Karat Kuala Lumpur (Petaling Street)
Di dalam kesibukan kotaraya Kuala Lumpur juga terdapat satu pasar karat yang dikatakan telah wujud sejak lebih 10 tahun yang lalu. Pasar Karat Kuala Lumpur terletak berdekatan dengan pasar malam petaling street yang rasanya semua orang di Malaysia pernah melawatnya. Ia juga tidak jauh daripada Jalan Sultan yang terkenal apabila kerajaan bercadang untuk membuat laluan MRT di sana. Waktu beroperasi pasar karat ini adalah dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi setiap hari. Namun, saya syorkan untuk anda pergi ke sana pada hari Ahad kerana lebih ramai peniaga ada di sana pada hari Ahad. Namun, pastikan anda datang awal sebelum jam 9 pagi kerana kebanyakan peniaga sudah mula beransur pulang pada waktu itu. Pasar ini dulunya dikenali sebagai "thieves market" kerana disini ada ramai yang menjual barang-barang curi (barang panas) dan mula menjual sejak jam 5 pagi. Pada waktu itu, anda perlu membawa lampu suluh untuk melihat barang yang dijual mereka. Pada ketika ini, ada lebih kurang 5 orang peniaga yang menjual duit dan wang lama di sini. Penjual lain kebanyakannya menjual barangan terpakai dan juga barang-barang lama. Anda boleh membaca cerita lanjut di blog saya; Pasar Karat Petaling Street.

3. Amcorp Mall Flea Market, Kuala Lumpur
Jika anda pengumpul duit lama datang melawat Kuala Lumpur, lawatan anda tidak akan lengkap jika tidak singgah ke Amcorp Mall Flea Market. Ini kerana, pada hari Ahad, hampir semua peniaga duit lama di Kuala Lumpur akan berkumpul dan membuka gerai mereka di flea market ini. Untuk senarai peniaga duit lama, anda boleh membaca post ini; Kedai Penjual Wang Lama Malaysia. Amcorp Mall Flea Market dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi sehingga 6 petang. Namun, saya syorkan untuk anda pergi pada hari Ahad kerana lebih ramai peniaga duit lama berniaga pada hari Ahad. Cuma jika anda datang selepas tengahari, keadaan agak sesak kerana ramai orang. Jika anda membawa kereta, bayaran letak kereta di sekitar kawasan letak kereta di Amcorp itu adalah agak mahal. Jika anda datang awal, anda boleh cuba meletak kenderaan di bangunan Amcorp Mall (bawah), harganya lebih murah dari yang diluar. Disini adalah syurga barang-barang antik dan barang lama. Syiling, wang kertas, Setem, sampul surat hari pertama, poskad lama, dokumen antik, Buku, tembikar lama, sterika tembaga, meja, almari, kerusi, vinyl, permainan kanak-kanak, barang-barang Coca-Cola & jam lama adalah sebahagian daripada barang-barang yang dijual disini. Pemilik Flea market (AMG event management) ini memberitahu, ada lebih 300 gerai dibuka pada hari Ahad dan flea market ini telah bermula sejak tahun 1997. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh membaca post saya; Amcorp Mall Flea Market.

4. Pasar Loken, Ipoh
Saya diberitahu, lokasi Pasar loken ini telah diubah ke kawasan baru dan dinamakan sebagai "Memory lane". Namun, ramai orang yang masih lagi memanggilnya sebagai Pasar Loken. Apakah maksud loken? Mengikut cerita orang Ipoh, nama asal pasar karat ini adalah "Pasar Lam looking" kerana ianya beroperasi berdekatan dengan bangunan Bazaar Lam looking@Perak emporium di Jalan Laxamana, tidak jauh daripada lokasi yang baru ini. Saya tidak pasti jika Pasar Karat yang dulunya dibuat di People's Park (sekarang Taman Persisiran Ipoh Riverfront) adalah Pasar Karat yang sama atau berlainan, sila maklumkan kepada saya jika anda ada informasi. Lam Look Ing adalah taukeh Lombong biji timah di Kampar dan Kinta, Perak. Beliau juga memiliki banyak hartanah di kawasan Bandaraya Ipoh ini. Saya sendiri tidak pernah lagi pergi ke Pasar Loken yang baru di sepanjang Jalan Horley & Jalan Lim Bo Seng ini tetapi rakan-rakan menyatakan ada lebih daripada 400 gerai yang menjual barang-barang lama dan terpakai disini. Pasar loken beroperasi pada hari Ahad dari jam 7.00 pagi sehingga jam 1 petang. Ada yang mendakwa Pasar Loken ini telah wujud sejak tahun 1970an lagi tetapi saya tidak pasti jika ianya benar atau tidak.

5. Pasar Rope Walk, Butterworth
Ada yang memanggil tempat ini sebagai roadwalk tetapi kebanyakan orang Penang memanggilnya sebagai Rope Walk. Walaupun nama asal kawasan penjaja ini adalah Taman Aneka Taman Selat yang dijalankan oleh Persatuan Koperasi Taman Selat Pasar Aneka Butterworth. Ianya dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga jam 5 petang di Taman Selat, Jalan Bagan Luar, Butterworth. Jika anda tahu dimana, lokasi untuk menaiki feri di Butterworth, ianya tidak jauh dari lokasi tersebut. Lokasinya agak tersorok dari jalan utama tetapi anda boleh bertanya dengan sesiapa di kawasan itu, kebanyakan daripada mereka tahu tempat tersebut. Di Rope Walk Taman Selat ini, ada dua orang penjual duit lama yang agak popular Hj. Zulkifle (Cina Muslim berambut putih) dan juga Ah-Kit. Haji Zul sudah agak lama menjual di sini, sejak Rope Walk ini mula-mula dibuka lagi. Ada juga beberapa penjual lain yang menjual duit lama disini tetapi mereka tidak mempunyai koleksi yang banyak. Kali terakhir saya menjejakkan kaki disini adalah pada tahun 2010, mesti sudah banyak perubahan yang berlaku sekarang ini.

6. Pasar karat Jalan Hang Lekir, Melaka
Pasar karat Jalan Hang Lekir ini berdekatan dengan Jonker Street di Melaka dan dibuka pada setiap Hari Ahad dari jam 9.00 pagi sehingga 3 petang. Ianya mula beroperasi di penghujung tahun 2005 (sila betulkan saya jika silap) dan ditubuhkan oleh Jawatankuasa Jonker Walk. Ada lebih daripada 25 gerai yang menjual barang-barang antik dan juga duit lama di sini. Walaupun saya telah banyak kali melawat negeri Melaka, saya masih tidak mempunyai kesempatan untuk berkunjung ke Pasar Karat Jonker Street ini. Mungkin kerana terlalu banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan pada hari Ahad di Melaka.

7. Pasar Warisan, Seremban
Pasar Warisan Seremban ini terletak di Jalan Utam Singh berdekatan dengan Pasar Besar Seremban. Ianya dibuka setiap hari Ahada dari jam 7.00 pagi sehingga 5.00 petang. Dahulu, Pasar karat di Seremban ini dibuat di Jalan Lee Sam. Pasar Warisan Seremban di jalan Utam Singh ini sudah dibuka sejak 1 Mei 2008 lagi. Tidak ramai peniaga barang lama disini tetapi lokasinya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur memudahkan kita untuk melawatnya. Sewaktu lawatan terakhir saya pada tahun 2010, hanya ada lebih kurang 5 orang yang menjual duit lama di sini. Harganya boleh tahan mahal tetapi sepertimana membeli di pasar karat lain, anda perlu pandai tawar-menawar harga. Anda boleh membaca mengenainya di blog saya; Pasar Warisan Seremban.


Nasihat saya, berhati-hati ketika membeli koleksi duit lama anda di sini kerana ada ramai peniaga yang tidak jujur dengan menjual duit syiling tiruan dan juga wang lama yang telah dicuci. Jika harga duit lama itu terlalu murah, sila belek syiling tersebut dengan lebih teliti dan minta pendapat kawan-kawan yang datang bersama anda. Pada waktu sekarang ini, membeli duit lama di pasar karat tidak lagi menjadi murah seperti 10 tahun yang lalu. Oleh itu, pastikan anda betul-betul tahu apa yang anda ingin beli dan pandai tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang terbaik.


Read More

Sabtu, 3 November 2012

Kenapa duit lama berharga tinggi

Apakah faktor-faktor yang menjadi penyebab kenapa duit lama berharga tinggi? Ramai daripada bukan collector duit syiling di luar sana yang beranggapan bahawa semakin lama duit itu bermakna duit itu rare (susah didapati) dan ianya boleh dijual dengan harga yang mahal. Tanggapan itu sama sekali silap dan menyebabkan lambakan duit lama yang dijual pada harga yang tidak masuk akal sama ada di social media atau website pengiklanan seperti Mudah.com. Walaupun duit syiling tersebut berusia lebih 100 tahun tetapi jumlah keluarannya (mintage) adalah terlalu banyak, harganya tidak akan sampai berjuta-juta ringgit. Oleh yang demikian, di sini saya kongsikan faktor-faktor sebenar yang boleh menyebabkan duit lama itu berharga tinggi. Diharap, bukan kolektor diluar sana akan faham dan berkongsi artikel ini dengan kawan-kawan yang lain melalui Facebook atau Twitter. Sebab ramai rakan-rakan diluar sana yang masih kurang faham dengan hobi mengumpul duit syiling ini.

duit brooke

7 Sebab kenapa duit lama berharga tinggi:

1. Low mintage (jumlah pengeluaran/tempaan yang sedikit).
Setiap syiling ditempa/dikeluarkan mengikut tahun dan adakalanya pada tahun itu ditempa jumlahnya amat sedikit. Syiling seperti ini biasanya mendapat tempat yang tinggi dikalangan para kolektor kerana kesukaran untuk mencarinya di dalam pasaran atau edaran. Kebanyakan daripada syiling ini akan disimpan oleh kolektor dan mereka pada kebiasaannya tidak akan melepaskannya dengan mudah. Untuk mengetahui jika syiling anda adalah low mintage, anda boleh melayari internet dan Google tahun beserta sebarang tulisan di duit syiling anda. Namun, cara yang terbaik adalah untuk membeli buku rujukan duit syiling tersebut. Untuk Duit Syiling Malaysia, buku daripada Steven Tan adalah yang terbaik untuk mencari low mintage. Bagi duit syiling antarabangsa pula, buku daripada Penerbitan Krause adalah sumber rujukan utama. Pengumpul duit lama melihat pada tahun pengeluaran duit syiling itu untuk melihat syiling yang mempunyai low mintage bukan berapa lama syiling tersebut.

2. Coin variety (Kepelbagaian duit syiling tersebut).
Apa yang saya maksudkan dengan dengan coin variety adalah sesetengah duit syiling dicetak di kilang duit yang berbeza untuk tahun yang sama. Sebagai contoh, duit syiling $1 1971, ada yang ditempa di Kilang Wang Bank Negara dan ada juga yang ditempa di London Mint. Duit syiling $1 1971 yang ditempa di London Mint adalah agak sukar untuk ditemui dan harganya menjadi tinggi. Selain itu, Ada juga duit syiling Malaysia yang disalah tempa dengan menggunakan logam yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, duit syiling 1 sen 1976 copper adalah sangat mahal untuk kualiti yang tinggi (UNC) berbanding dengan syiling pada tahun yang sama menggunakan logam copper clad steel. untuk memahami bagaimana untuk memeriksa duit 1 sen copper dan copper clad steel, anda boleh membaca entri ini; 1 sen melekat magnet atau tidak.

3. Sejarah duit syiling tersebut.
Ada juga duit syiling yang walaupun ditempa didalam kuantiti yang agak banyak tetapi apabila masa berlalu, duit syiling tersebut amat kurang di pasaran. Ini kerana ketika berlaku peperangan ada wang lama yang dilupuskan oleh penjajah kerana mereka tidak mahu penduduk di sesuatu tempat itu mengagung-agungkan kerajaan yang lama. Ada juga duit syiling yang dihapuskan untuk di ambil logamnya sama ada untuk dijual atau digunakan untuk membuat senjata. Oleh itu, sebagai pengumpul duit lama, anda juga perlu belajar berkenaan sejarah pada tahun syiling tersebut ditempa & diedarkan.

4. Permintaan daripada pengumpul duit lama.
Pada ketika ini, ramai pengumpul duit lama dan juga mereka yang ingin melabur didalam duit lama yang mula mengumpul duit 10 sen 1971. Apa sahaja harga & kondisi duit syiling tersebut akan segera lenyap di pasaran kerana ramai kolektor yang sibuk mengumpul syiling ini. Harganya adakala tidak munasabah berbanding dengan kondisi duit syiling yang ditawarkan tetapi masing-masing tidak kisah kerana takut tidak dapat memiliki duit syiling tersebut. Beberapa minggu yang lalu, Saya pernah melihat duit syiling 10 sen 1971 Variety 2 pada kondisi Very Fine terjual pada harga RM650 sekeping. Sedangkan kolektor boleh mendapatkan duit syiling tersebut di Kedai KN Boon pada harga RM500 untuk kondisi Brilliant uncirculated. Mungkin kolektor itu tidak tahu harga pasaran atau kawasan beliau jauh daripada Kuala lumpur tetapi harga yang dibayarnya memang jauh sangat daripada harga psaran. Anda perlu sentiasa aktif di social media seperti Facebook dan juga forum-forum mengumpul duit lama untuk mengetahui duit syiling apa yang mendapat permintaan tinggi pengumpul duit lama.

5. Kondisi duit syiling tersebut (VG, F, VF, EF atau UNC)
Harga duit syiling juga bergantung kepada kondisi duit syiling tersebut; Very Fine, Extremely Fine atau Uncirculated. Duit syiling pada gred yang tinggi seperti UNC (uncirculated) dan BU (Brilliant Uncirculated) biasanya mempunyai harga yang lebih tinggi dari syiling sama yang mempunyai gred yang lebih rendah. Mempelajari gred duit syiling memakan masa yang lama dan anda juga tidak boleh belajar dengan hanya melihat gambar-gambar di internet. Anda perlu sentiasa meneliti duit syiling yang anda ada dan juga melihat buku sebagai rujukan.

6. Lambakan duit syiling yang sama pada sesuatu masa.
Jika ada banyak penawaran tetapi permintaan daripada pengumpul duit lama adalah kurang, harga juga terpaksa diturunkan oleh penjual untuk bersaing dengan penjual-penjual yang lainnya. Sebagai contoh, duit coincard hoki piala dunia 2002 pada suatu waktu berharga RM120 sekeping. Namun, akibat lambakan coincard hoki beberapa bulan yang lepas dipasaran, harganya menjunam jatuh pada harga RM60. Oleh itu, jika duit syiling tersebut boleh didapati dengan banyak dipasaran, ia secara tidak langsung akan menyebabkan harga duit tersebut ikut turun menjunam.

7. Duit syiling error.
Ada juga duit syiling yang mengandungi kesilapan yang tidak disengajakan yang berlaku ketika ianya ditempa di Kilang Wang (Mint). Duit syiling sebegini mendapat harga yang tinggi kepada pengumpul duit lama yang meminatinya. Namun, tidak semua pengumpul duit lama berminat dengan duit syiling error ini. Ada pelbagai error duit syiling yang boleh berlaku ketika ianya ditempa. Anda boleh mempelajari mengenainya dengan mudah kerana ada banyak blog dan website yang membincangkan tentang duit ini. Namun, ada juga duit error yang disengajakan oleh manusia dan kurang bernilai buat pengumpul duit error.

Adakah anda mempunyai pendapat untuk sebab-sebab lain yang menyebabkan duit lama berharga tinggi? Sila kongsikan kepada semua dengan memberi komen di blog ini atau Facebook page saya. terima kasih kerana sudi membaca artikel ini.


Read More