Kenapa duit lama berharga tinggi

Apakah faktor-faktor yang menjadi penyebab kenapa duit lama berharga tinggi? Ramai daripada bukan collector duit syiling di luar sana yang beranggapan bahawa semakin lama duit itu bermakna duit itu rare (susah didapati) dan ianya boleh dijual dengan harga yang mahal. Tanggapan itu sama sekali silap dan menyebabkan lambakan duit lama yang dijual pada harga yang tidak masuk akal sama ada di social media atau website pengiklanan seperti Mudah.com. Walaupun duit syiling tersebut berusia lebih 100 tahun tetapi jumlah keluarannya (mintage) adalah terlalu banyak, harganya tidak akan sampai berjuta-juta ringgit. Oleh yang demikian, di sini saya kongsikan faktor-faktor sebenar yang boleh menyebabkan duit lama itu berharga tinggi. Diharap, bukan kolektor diluar sana akan faham dan berkongsi artikel ini dengan kawan-kawan yang lain melalui Facebook atau Twitter. Sebab ramai rakan-rakan diluar sana yang masih kurang faham dengan hobi mengumpul duit syiling ini.

duit brooke

7 Sebab kenapa duit lama berharga tinggi:

1. Low mintage (jumlah pengeluaran/tempaan yang sedikit).
Setiap syiling ditempa/dikeluarkan mengikut tahun dan adakalanya pada tahun itu ditempa jumlahnya amat sedikit. Syiling seperti ini biasanya mendapat tempat yang tinggi dikalangan para kolektor kerana kesukaran untuk mencarinya di dalam pasaran atau edaran. Kebanyakan daripada syiling ini akan disimpan oleh kolektor dan mereka pada kebiasaannya tidak akan melepaskannya dengan mudah. Untuk mengetahui jika syiling anda adalah low mintage, anda boleh melayari internet dan Google tahun beserta sebarang tulisan di duit syiling anda. Namun, cara yang terbaik adalah untuk membeli buku rujukan duit syiling tersebut. Untuk Duit Syiling Malaysia, buku daripada Steven Tan adalah yang terbaik untuk mencari low mintage. Bagi duit syiling antarabangsa pula, buku daripada Penerbitan Krause adalah sumber rujukan utama. Pengumpul duit lama melihat pada tahun pengeluaran duit syiling itu untuk melihat syiling yang mempunyai low mintage bukan berapa lama syiling tersebut.

2. Coin variety (Kepelbagaian duit syiling tersebut).
Apa yang saya maksudkan dengan dengan coin variety adalah sesetengah duit syiling dicetak di kilang duit yang berbeza untuk tahun yang sama. Sebagai contoh, duit syiling $1 1971, ada yang ditempa di Kilang Wang Bank Negara dan ada juga yang ditempa di London Mint. Duit syiling $1 1971 yang ditempa di London Mint adalah agak sukar untuk ditemui dan harganya menjadi tinggi. Selain itu, Ada juga duit syiling Malaysia yang disalah tempa dengan menggunakan logam yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, duit syiling 1 sen 1976 copper adalah sangat mahal untuk kualiti yang tinggi (UNC) berbanding dengan syiling pada tahun yang sama menggunakan logam copper clad steel. untuk memahami bagaimana untuk memeriksa duit 1 sen copper dan copper clad steel, anda boleh membaca entri ini; 1 sen melekat magnet atau tidak.

3. Sejarah duit syiling tersebut.
Ada juga duit syiling yang walaupun ditempa didalam kuantiti yang agak banyak tetapi apabila masa berlalu, duit syiling tersebut amat kurang di pasaran. Ini kerana ketika berlaku peperangan ada wang lama yang dilupuskan oleh penjajah kerana mereka tidak mahu penduduk di sesuatu tempat itu mengagung-agungkan kerajaan yang lama. Ada juga duit syiling yang dihapuskan untuk di ambil logamnya sama ada untuk dijual atau digunakan untuk membuat senjata. Oleh itu, sebagai pengumpul duit lama, anda juga perlu belajar berkenaan sejarah pada tahun syiling tersebut ditempa & diedarkan.

4. Permintaan daripada pengumpul duit lama.
Pada ketika ini, ramai pengumpul duit lama dan juga mereka yang ingin melabur didalam duit lama yang mula mengumpul duit 10 sen 1971. Apa sahaja harga & kondisi duit syiling tersebut akan segera lenyap di pasaran kerana ramai kolektor yang sibuk mengumpul syiling ini. Harganya adakala tidak munasabah berbanding dengan kondisi duit syiling yang ditawarkan tetapi masing-masing tidak kisah kerana takut tidak dapat memiliki duit syiling tersebut. Beberapa minggu yang lalu, Saya pernah melihat duit syiling 10 sen 1971 Variety 2 pada kondisi Very Fine terjual pada harga RM650 sekeping. Sedangkan kolektor boleh mendapatkan duit syiling tersebut di Kedai KN Boon pada harga RM500 untuk kondisi Brilliant uncirculated. Mungkin kolektor itu tidak tahu harga pasaran atau kawasan beliau jauh daripada Kuala lumpur tetapi harga yang dibayarnya memang jauh sangat daripada harga psaran. Anda perlu sentiasa aktif di social media seperti Facebook dan juga forum-forum mengumpul duit lama untuk mengetahui duit syiling apa yang mendapat permintaan tinggi pengumpul duit lama.

5. Kondisi duit syiling tersebut (VG, F, VF, EF atau UNC)
Harga duit syiling juga bergantung kepada kondisi duit syiling tersebut; Very Fine, Extremely Fine atau Uncirculated. Duit syiling pada gred yang tinggi seperti UNC (uncirculated) dan BU (Brilliant Uncirculated) biasanya mempunyai harga yang lebih tinggi dari syiling sama yang mempunyai gred yang lebih rendah. Mempelajari gred duit syiling memakan masa yang lama dan anda juga tidak boleh belajar dengan hanya melihat gambar-gambar di internet. Anda perlu sentiasa meneliti duit syiling yang anda ada dan juga melihat buku sebagai rujukan.

6. Lambakan duit syiling yang sama pada sesuatu masa.
Jika ada banyak penawaran tetapi permintaan daripada pengumpul duit lama adalah kurang, harga juga terpaksa diturunkan oleh penjual untuk bersaing dengan penjual-penjual yang lainnya. Sebagai contoh, duit coincard hoki piala dunia 2002 pada suatu waktu berharga RM120 sekeping. Namun, akibat lambakan coincard hoki beberapa bulan yang lepas dipasaran, harganya menjunam jatuh pada harga RM60. Oleh itu, jika duit syiling tersebut boleh didapati dengan banyak dipasaran, ia secara tidak langsung akan menyebabkan harga duit tersebut ikut turun menjunam.

7. Duit syiling error.
Ada juga duit syiling yang mengandungi kesilapan yang tidak disengajakan yang berlaku ketika ianya ditempa di Kilang Wang (Mint). Duit syiling sebegini mendapat harga yang tinggi kepada pengumpul duit lama yang meminatinya. Namun, tidak semua pengumpul duit lama berminat dengan duit syiling error ini. Ada pelbagai error duit syiling yang boleh berlaku ketika ianya ditempa. Anda boleh mempelajari mengenainya dengan mudah kerana ada banyak blog dan website yang membincangkan tentang duit ini. Namun, ada juga duit error yang disengajakan oleh manusia dan kurang bernilai buat pengumpul duit error.

Adakah anda mempunyai pendapat untuk sebab-sebab lain yang menyebabkan duit lama berharga tinggi? Sila kongsikan kepada semua dengan memberi komen di blog ini atau Facebook page saya. terima kasih kerana sudi membaca artikel ini.


1 comments:

  1. nsdkcoin said...:

    Selama ini saya tidak tahu pemilik laman web lunaticg dan malaysia coin adalah orang yang sama walaupun saya mula mengenali tentang nilai syiling tertentu dari laman web ini sejak setahun lebih yang lalu secara tidak sengaja..sehinggakan saya yang tidak mempunyai hobi tertentu sudah terjebak dengan hobi yang begitu unik ini. Terima kasih banyak Tn. Lunaticg kerana perkongsian yang begitu menarik.

 
Malaysian Coin © 2011 | Designed by Chica Blogger.