Rabu, 21 November 2012

Bendera Israel pada duit Malaysia

"Kenapa letakkan bendera Israel bersebelahan dengan duit syiling 10 sen Malaysia tu? Agak-agaklah nak hina barang buatan Malaysia pun janganlah sampai menghina negara sendiri".

Nak tergelak saya baca apabila mendapat komen seperti ini dari seorang pembaca yang tidak berpuashati dengan entri yang saya buat sebelum ini; New 10 sen related to Israel flag? Apabila saya menyoal siasat dan bertanya lebih lanjut dengan pembaca tersebut, rupa-rupanya beliau tidak faham bahasa Inggeris. Walaupun gambar pada entri saya itu kelihatan hampir sama dengan post-post blog Malaysia lain di luar sana tetapi isinya berbeza. Saya tidak pernah mengatakan lambang pada duit 10 sen itu sama dengan lambang bendera Israel. Kadang-kadang, orang Malaysia ini terlalu cepat melatah. Apabila keluar sahaja lambang atau nama Yahudi dan Israel, ada yang dah mula nak ambik parang kat dapur walau tak tahu hujung pangkal. Nak baca bahasa Inggeris tak tahu, saya pulak yang kena marah dengan dia. Hahahaha....

Israel

Cerita Bendera Israel pada duit Malaysia ini bermula apabila ada seorang blogger yang saya tak perlu sebutkan nama dan link blognya disini, mula menyebarkan cerita tersebut. Blognya memang terkenal dengan gosip dan cerita-cerita panas yang apabila disiasat lebih lanjut, adalah bohong dan tidak berasas sama sekali. Rasanya, blog beliau pernah hendak diambil tindakan saman kerana menghina seorang celebriti sedikit masa lalu. Apabila blogger-blogger lain tahu tentang cerita ini, masing-masing mula untuk membuat cerita yang sama, semata-mata untuk mendapatkan traffik atau pengunjung blog yang mencari cerita "lambang Israel pada duit 10 sen" di enjin carian Google dan sebagainya. Bagi saya, kebanyakan cerita yang dikongsi mereka adalah berat sebelah dan menghina duit syiling Malaysia. Saya memang pernah melihat corak orang asli tersebut sewaktu lawatan saya ke Pulau Carey suatu waktu dulu. Lagipun, corak tersebut memang agak jauh daripada lambang "Star of David" seperti yang dimaksudkan oleh mereka. Mereka lukiskan lambang bintang pada duit syiling itu supaya menampakkan ianya menyerupai lambang Israel tersebut. Walhal, corak anyaman orang asli Mah Meri tersebut tidak ada menyerupai Hexagram yang telah menjadi lambang Judaism sejak kurun ke-17 lagi. Ianya mungkin berbucu enam tapi ia bukan bercorak seperti Hexagram.

Inilah padahnya apabila semua orang sibuk dengan teori konspirasi. Semuanya hendak dikaitkan dengan Yahudi, Illuminati dan juga Freemason. Apa saja barang buatan Malaysia (khasnya yang berkaitan dengan kerajaan sekarang ini) akan dicemuh dan dicaci untuk menyemai rasa bencikan kerajaan. Mereka tidak pernah terfikir yang perbuatan mereka menghina duit syiling Malaysia itu secara tidak langsung turut menghina negara yang mereka duduki sekarang ini. Bagi mereka itulah kebebasan bersuara, walau bercakap tak menggunakan akal terlebih dahulu. Jangan salah sangka saya sebagai penyokong kerajaan, jika ada perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh kerajaan saya turut bersuara. Kecewa juga apabila melihat duit syiling 10 sen siri ketiga yang baru sahaja dikeluarkan pada tahun ini dijadikan bahan untuk blogger-blogger mencari traffik mudah. Padahal, ada banyak lagi cerita yang mereka boleh utarakan.

Bagi saya, rekabentuk duit syiling Malaysia siri ketiga yang baru sahaja digunakan pada tahun ini adalah amat cantik dan melambangkan negara kita. Namun, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin tersilap memilih logam yg digunakan untuk duit syiling 20 sen dan 50 sen. Logam Nickel Brass Clad Copper yang digunakan itu memang cantik bila ianya berkeadaan baru dan berkilat tetapi cuaca di Malaysia ini yang lembap dan kering hampir sepanjang tahun menjadikan logam itu mudah kotor. Duit syiling tersebut akan menjadi hitam jika tidak dijaga dengan betul. Mujurlah ciri-ciri keselamatan yang ada pada syiling tersebut masih boleh kelihatan walaupun keadaannya kotor. BNM juga mungkin tersilap memilih corak anyaman orang asli Mah Meri pada duit 10 sen tersebut. Ini kerana tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu tentang corak tersebut. Mungkin dimasa hadapan, BNM perlu mempromosikan lebih awal kenapa rekabentuk duit syiling Malaysia dibuat begitu. Sebagai contoh, mungkin mengeluarkan video di Youtube tentang corak-corak yang dipilih tersebut pada keadaan sebenarnya.

Pendapat saya juga, tidak ada lambang Bendera Israel pada duit Malaysia yang baru tersebut. Janganlah cepat sangat memburukkan negara sendiri walaupun anda tidak puashati dengan kerajaan yang ada sekarang. Fikir dulu sebelum bercakap, kalau tak tahu tu kena amalkan, Kalau tak pandai, BELAJAR. Tak tahu, CARI. Tak faham, TANYA. Dah tahu, SEBARKAN seperti yang saya cakapkan sebelum ini di sini; Ramai Numis Malaysia kedekut ilmu?