Sabtu, 22 Oktober 2016

Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Felda

Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Felda telah dilancarkan pada 7 Julai 2006 bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Duit syiling peringatan ini menyerlahkan peranan dan sumbangan besar FELDA dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup peneroka.

Duit syiling ini juga memberi penghormatan kepada pengasasnya, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua, yang lebih dikenali sebagai bapa pembangunan, atas sumbangan Allahyarham dalam pembangunan negara dan luar bandar. Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan; syiling RM1 emas nordic, Syiling RM10 perak pruf dan juga syiling RM100 pruf emas. Kesemua duit syiling tersebut sah diperlakukan (legal tender) di Malaysia.

50 Tahun Felda

Duit syiling peringatan ini ditempa dan dibungkus oleh The Royal Mint of Malaysia.


Syiling RM1 Emas Nordic 50 Tahun Felda
Tun Abdul Razak

Reka bentuk sebelah hadapan memaparkan tangan peneroka FELDA, yang usaha mereka menyokong cita-cita FELDA untuk memasarkan produknya ke pasaran global. Ia menggambarkan dunia sebagai pasaran FELDA, yang terkandung dalam setitis cecair berpunca daripada pembangunan komoditi oleh FELDA, yang dilambangkan oleh dedaun kelapa sawit dan getah yang melatari duit syiling ini. Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan potret pengasas FELDA, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein.

SPESIFIKASI TEKNIKAL:
Komposisi Logam: Emas Nordic
Berat: 15.5g
Diameter: 34.00mm
Tempaan: 10,000 keping.
Penempa: Royal Mint of Malaysia
Nilai muka: RM1
Harga Jualan: RM8
Harga pasaran semasa: (rujuk: Senarai Harga Malaysia Coin Card )


Syiling RM10 pruf perak 50 Tahun Felda
50 Tahun Felda

Reka bentuk sebelah hadapan memaparkan imej daripada tiga generasi peneroka FELDA dan bangunan 50 tingkat Ibu Pejabat FELDA yang dicadangkan. Imej ini melambangkan pertumbuhan dan kejayaan FELDA dalam menaikkan taraf hidup tiga generasi peneroka. Bangunan tinggi itu juga menggambarkan kesungguhan FELDA dalam membantu penerokanya mencapai taraf hidup yang lebih tinggi. Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan logo FELDA dan kepentingannya di rantau ini sebagai pihak berkuasa pembangunan tanah yang terkemuka.

SPESIFIKASI TEKNIKAL:
Komposisi Logam: 99.9 perak pruf
Berat: 31.10 gram
Diameter: 40.00mm
Tempaan: 300 keping.
Penempa: Royal Mint of Malaysia
Nilai muka: RM10
Harga Jualan: RM150
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Perak)


Duit Syiling Emas (pruf) 50 tahun Felda
Tun Razak

Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan komoditi utama FELDA, iaitu kelapa sawit dan getah. Tema sambutan ulang tahun ke-50 FELDA, iaitu 'MENEMPA KEJAYAAN' tertera pada bahagian atas duit syiling ini untuk menunjukkan misi FELDA dalam memperbaiki dan meningkatkan kedudukan ekonomi penerokanya dan negara. Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan potret pengasas FELDA, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein.

SPESIFIKASI TEKNIKAL:
Komposisi Logam: 999.9 emas pruf
Berat: 9.00 gram
Diameter: 22.00mm
Tempaan: 200 keping.
Penempa: Royal Mint of Malaysia
Nilai muka: RM100
Harga Jualan: RM1,000
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Emas)



Set Pruf 2 dalam 1:
Mengandungi duit syiling perak dan emas nordic pruf
Tempaan: 500 set.
Harga Jualan BNM: RM180
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Set 2 dalam 1)

Set Pruf 3 dalam 1:
Mengandungi duit syiling emas, perak dan emas nordic pruf
Tempaan: 500 set.
Harga Jualan BNM: RM1,200
Harga pasaran semasa: (Rujuk: Senarai Harga Syiling Peringatan Set 3 dalam 1)

Untuk senarai lengkap Harga duit lama Malaysia (syiling edaran, syiling peringatan dan coincard), anda boleh mencari maklumat mengenainya didalam artikel ini; Senarai lengkap harga syiling edaran & syiling peringatan Malaysia.