Thursday, November 15, 2012

Sejarah: Asal-usul nama Malaysia

Tahukah anda tentang sejarah asal usul nama Malaysia? Ada yang mengaitkan kewujudan negara Malaysia ini adalah agenda Freemason yang telah dirancang sejak tahun 1889 lagi? Mereka (orang yang berkata demikian) mengaitkan rancangan tersebut dengan dokumen-dokumen lama yang ada menggunakan nama Malaysia sebagai tajuk buku atau kertas kerja tersebut. Hahahaha.... Nak tergelak pun ada bila saya baca cerita-cerita mereka ini yang tak habis-habis dengan Illuminati dan Freemason sehingga cerita jadi bercampur aduk dan adakalanya boleh jadi bahan lawak di waktu pagi. Semua hendak jadi penyiasat kepada aktiviti yang sudah berjalan sejak ratusan tahun tersebut. Apa yang mereka dapat hasil daripada siasatan mereka itu? Anda jawaplah sendiri. Hahahaha....

Peta Malaysia
malay archipelago

Berbalik kepada cerita nama Malaysia yang bagi saya perlu kita bincangkan. Nama Malaysia ini sebenarnya telah digunakan sejak tahun 1800an lagi dan ianya merujuk kepada Semenanjung Melayu dan kepulauan Melayu. Kepulauan Melayu merujuk kepada kawasan Sumatra, Tanah Java, Tanah Melayu, Pulau Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei, Timor dan Filipina. Kepulauan Melayu dikatakan mencecah 2 juta Kilometer persegi dengan lebih daripada 25,000 pulau-pulau didalamnya. Ini dibuktikan dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston F.R.G.S (AK Johnston) pada tahun 1845. Beliau memberi tajuk 'South Eastern Peninsula and Malaysia' kepada peta tersebut dan dimuatkan didalam bukunya "National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography". Malaysia juga merujuk kepada kaum Melayu di Kepulauan tersebut yang mempunyai kuasa dominan pada ketika itu dan juga peneroka pertama di tanah melayu. Ini berdasarkan kepada nota didalam peta tersebut; "....the group (the malay peninsula and the malay archipelago ) has been named Malaysia from the Malays who are the dominant race in the archipelago...."

Malaysia

Selain itu, terdapat juga beberapa buah buku yang turut membincangkan mengenai "Malaysia" seperti buku "Malaysia A Study in Direct and Indirect Rule" oleh Rupert Emerson yang diterbitkan oleh Macmillan Co., New York pada tahun 1937. Buku ini banyak digunakan oleh penulis cerita Freemason dan Illuminati yang saya sebutkan tadi. Daripada Ulasan buku tersebut yang saya baca, penulis hanya mengupas tentang cara British dan Belanda berkuasa secara terus & Indirect di Malay Peninsula dan East Indies. Malaysia didalam buku tersebut merujuk kepada Malay Peninsula dan East Indies yang dibawah kuasa British & Belanda pada masa itu. Pelik, mereka (penulis Freemason & Illuminati) ini tidak pula mahu merujuk kepada buku "India and Malaysia" yang ditulis oleh Bishop J. M. Thoburn dan diterbitkan oleh Cranston & Curts, Hunt & Eaton pada tahun 1892 di Cincinnati, New York. Mungkin kerana Rupert Emerson pada suatu waktu dulu pernah menjadi wakil kerajaan Amerika di Asia Tenggara.

Malaysia 20 cents

Didalam Numismatik, ramai yang mungkin sudah tahu kewujudan Duit Syiling Aluminium Jepun yang dikeluarkan pada tahun 1942 (tertulis 2602 menggunakan kalendar Jepun). Duit syiling itu ada didalam simpanan Bank Negara Malaysia dan ditempatkan di Sasana Kijang serta merupakan antara duit syiling yang unik di Galeri Numismatik. Semuanya bermula apabila pada tahun 1983, sebuah buku yang disusun oleh Bank of Japan bertajuk "Zuroku Nippon No Kahei" (Gambar Syiling dan Wang Kertas Jepun) didapati dibawah tajuk "coins of the pacific war", terdapat gambar duit syiling 20 sen tertulis dengan perkataan 'Malaysia'. Pada muka depan syiling itu kelihatan tiga cabang daun dan tarikh 2602 (1942) serta perkataan Malaysia. Di Bahagian belakang, kelihatan cahaya matahari diapit oleh bunga sakura dengan tulisan 20 sen di atas.
Malaysia coin

Menurut Wong Hon Sum didalam bukunya "The Japanese Occupation of Malaya (Singapore)", Pada bulan Mac 1986, Saran Singh telah mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan Osaka, Jepun mengenai perkara ini. Jawapan yang beliau terima adalah duit syiling 20 sen itu sebenarnya telah dikeluarkan oleh Osaka Mint dan 'Malaysia' mewakili nama umum penduduk malaya pada masa itu. Semasa penjajahan mereka, Jepun mengiktiraf Melayu sebagai pribumi apabila Malaya dinamakan semula sebagai 'Ma-rai-ee' dan Cina, India dan lain-lain dianggap sebagai immigrant. Ada juga yang percaya, perkataan 'Malaysia', seperti yang tertulis pada duit syiling itu, adalah gabungan nama 'Malaya' dan 'Indonesia' dan bahawa syiling itu bertujuan untuk edaran di Semenanjung melayu dan Kepulauan Melayu. Walau bagaimanapun, pandangan ini telah dicabar oleh penemuan lima syiling aluminium yang dikeluarkan oleh tentera jepun di Indonesia. 2 keping syiling 1 cent dengan corak kepala kayu bertarikh 2603 (1943) dan 2604 (1944); 1 syiling 5 cent dengan corak wayang kulit bertarikh 2604; 2 keping 10 sen dengan corak kepala kayu diperbuat dari Zinc dan Nickel bertarikh 2603 dan 2604.

Selain itu ada juga yang mengatakan nama Malaysia ini adalah gabungan dua perkataan Inggeris, 'Malay' dan 'Shire'. Malay merujuk kepada penduduk dominan di kawasan tersebut dan Shire bermaksud perkampungan. Ada pula yang mengatakan ianya berasal dari bahasa Latin 'Malay' dan 'Sia'. Sia dikatakan bermaksud sebagai tanah. Namun, carian saya didalam bahasa latin mengenai 'sia" tidak pula terjumpa ianya bermaksud sebagai tanah. Ada yang mengatakan negara ini dinamakan sebagai Malaysia setelah Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj mendapat perkenan daripada Ratu Elizabeth sebelum Malaysia Merdeka pada 1 September 1963. Namun, kesemua itu tidak ada rujukan daripada mana sumber maklumat itu diambil.

Kesimpulan saya, sejarah asal usul nama Malaysia bermula apabila negara barat merujuk Semenanjung melayu dan Kepulauan Melayu sebagai "Malaysia" kerana kaum Melayu di Kepulauan tersebut mempunyai kuasa dominan disitu pada ketika itu.

Apa pendapat anda?

Sumber: Buku "National Atlas of Historical, Commercial and Political Geography"; Buku "Malaysia Numismatic Heritage"; Buku "The Japanese Occupation of Malaya (Singapore)".