Sabtu, 21 November 2020

Syiling APEC 2020 dilancarkan 20 November 2020

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 di Malaysia (APEC 2020).


Duit syiling peringatan APEC 2020 ini dilancarkan bersempena dengan Mesyuarat Ketua-ketua Negara APEC pada 20 November 2020.

APEC 2020

Duit syiling peringatan ini ditempa dengan dua teknik permukaan yang berbeza dengan menggunakan teknologi laser canggih dan digital frosting untuk mencipta kesan pelangi. Reka bentuk ini merupakan pengeluaran yang pertama seumpama itu. 


Reka bentuk artistik 21 imej manusia (human figures) pada bahagian tengah duit syiling melambangkan kerjasama 21 negara APEC untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan di rantau ini. Perkataan ASIA-PACIFIC ECONOMIC COOPERATION 2020 dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala tema APEC 2020 iaitu “OPTIMISING HUMAN POTENTIAL TOWARDS A FUTURE OF SHARED PROSPERITY” dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.


Elemen hiasan corak songket bunga pecah lapan yang menjadi latar belakang bahagian ini melambangkan kekayaan budaya Malaysia. Nilai muka duit syiling dipaparkan pada bahagian tengah, manakala logo rasmi APEC 2020 terletak di bahagian bawah.


Spesifikasi kedua-dua duit syiling peringatan yang akan dikeluarkan adalah seperti yang berikut:

Duit Syiling Peringatan APEC 2020 Perak Berwarna (pruf)
Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Silver Proof
Logam: Silver (Ag99.9)
Nilai Muka(RM): 10 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 1,000
Diameter (mm): 40.7
Berat(g): 31.1
Harga Jualan BNM: RM253 (termasuk 10% SST)


Duit Syiling Peringatan APEC 2020 Emas Nordic
Spesifikasi Teknikal:
Jenis: Nordic Gold (B.U.)
Logam: Cu89 Zn5 Al5 Sn1
Nilai Muka(RM): 1 RINGGIT
Kuantiti Tempaan (keping/set): 15,000
Garis Pusat (mm): 30.0
Berat(g): 8.5
Harga Jualan BNM: RM13.20 (termasuk 10% SST)


Set Pruf 2 dalam 1:
Mengandungi duit syiling perak dan emas nordic pruf
Tempaan: 750 set.
Harga Jualan BNM: RM308 (termasuk 10% SST)


Bagi memberi peluang yang sama rata kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap pembeli dihadkan membeli hanya satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak berwarna (pruf), dan maksimum sehingga lima duit syiling emas Nordic (B.U). Sekiranya terdapat tempahan yang berlebihan, cabutan akan dibuat bagi menentukan tempahan yang berjaya. Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan, pembayaran dan pengambilan, satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.