Khamis, 3 Disember 2020

Cadangan memperbaiki penghantaran Syiling BNM

Jika Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan jualan di Lazada atau Shopee, kami pasti rating BNM akan jatuh dengan teruk sekali akibat kelewatan penghantaran syiling peringatan UKM & Putrajaya. 


Syiling BNM


Duit syiling peringatan 50 tahun UKM & Syiling Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Putrajaya sepatutnya mula dibuat penghantaran menggunakan Poslaju pada 23 November 2020. Hingga ke saat artikel ini ditulis, masih ramai lagi rakan-rakan di Lembah Klang yang belum menerima syiling mereka. 

Sudah 9 hari bekerja tetapi tidak nampak syiling yang telah dibuat pembayaran. Jika rakan-rakan yang berada di Lembah Klang mengalami masalah begini, kami beranggapan negeri lain juga mengalami masalah yang sama. 

Selain itu, isu penghantaran menggunakan "Pos Daftar" juga jelas berbeza dengan syarat-syarat yang diwar-warkan BNM sebelum ini, penghantaran menggunakan "Poslaju". Pihak pembeli membayar harga yang mahal untuk kos penghantaran tetapi tidak mendapat perkhidmatan yang dijanjikan. 

Tidak termasuk lagi penghantaran secara berasingan untuk setiap syiling yang dimenangi oleh pembeli. Selain faktor kos, ianya juga akhirnya akan melibatkan masa pembeli untuk menunggu dan ada kemungkinan menambah kos pembeli apabila perlu mengambilnya sendiri di Pejabat Pos. 

RM180 untuk kesemua syiling tersebut sudah seperti kos penghantaran dari luar negara. Kos untuk mengambil Syiling di Sasana Kijang tidak sampai pun RM50, termasuk dengan kos makan dan minum di Sasana Cafe. 

"Pos Daftar" itu juga datang dengan syarat hanya boleh diambil oleh penama dan jika dalam masa 7 hari ianya tidak diambil oleh pemilik di Pejabat Pos, ianya akan dihantar semula ke BNM. 

Dalam masa hampir 2 minggu, pihak kami hanya menerima satu syiling daripada 11 koleksi duit syiling yang dibeli. 

Berdasarkan kepada keadaam ini, nampaknya penghantaran duit syiling kali ini tidak akan selesai pada tahun 2020. 

Syiling APEC 2020 akan menyusul tidak lama lagi, semoga keadaan seperti ini tidak lagi berulang. 

Di sini kami berikan kepada BNM cadangan untuk memperbaiki penghantaran duit syiling peringatan, semoga kakitangan BNM boleh membacanya dengan hati terbuka dan menerima pandangan daripada kami: 

Cadangan untuk memperbaiki penghantaran Syiling BNM: 

1. Berikan pilihan mengambil sendiri di Sasana Kijang 
Selain menjimatkan kos pelanggan, ianya sudah pasti menjimatkan masa menunggu. Terutamanya untuk mereka yang menang lebih dari 10 duit syiling untuk satu nama. Mungkin pilihan itu hanya diberikan kepada mereka yang berada di Lembah Klang. Pengambilan duit syiling boleh dilakukan dengan mengadakan temujanji atau secara pandu lalu (drive-thru). 

2. Penghantaran menggunakan Poslaju sahaja 
Walaupun berharga mahal, penghantaran menggunakan Poslaju adalah kaedah terbaik untuk penghantaran duit syiling menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia Berhad. Pos Daftar akan mengambil masa sehingga seminggu untuk satu barangan walaupun destinasi yang dituju hanya bersebelahan dengan pejabat BNM. Jika boleh, adalah lebih baik untuk BNM mencari perkhidmatan courier yang lain. 

3. Sekalikan duit syiling yang dibeli 
Pada kebiasaannya untuk pembelian online, berapa banyak pun barangan yang dibeli, penjual pada kebiasaannya membuat penghantaran untuk kesemua barangan tersebut untuk menjimatkan kos pembeli. Satu bayaran pos untuk satu barangan melibatkan kos yang tinggi kepada pembeli. 

Kami difahamkan, penghantaran secara berasingan ini berlaku kemungkinan akibat daripada terma Pos Malaysia Berhad yang meletakkan had insuran RM300 untuk satu parcel Poslaju mereka.

Pos Malaysia Berhad juga ada menjual Flexipack prepaid box, kos pos yang dibayar pengguna rasanya lebih dari cukup untuk membeli Flexipack prepaid box tersebut. 

Jika menggunakan kotak yang disediakan oleh Poslaju pun baru berharga RM3 untuk saiz S (2kg), rasanya sudah cukup untuk menyimpan kesemua koleksi yang dimenangi pembeli.

4. Berikan Tracking Number Poslaju kepada pembeli
Sewajarnya, pembelian online mesti disertakan sekali dengan tracking number poslaju/posdaftar untuk memudahkan pembeli tahu dimana barangan mereka.

5. Beri ruang kepada pembeli untuk membuat aduan/pertanyaan
Ramai pembeli yang tidak tahu dimana mereka boleh bertanya jika ada masalah dengan pembelian yang dibuat. Sewajarnya BNM perlu menyediakan atau memaklumkan kepada pembeli yang telah membuat pembayaran, dimana mereka boleh membuat aduan/pertanyaan.

Bayangkan dalam masa 2 minggu, tidak ada satu syiling pun sampai kepada pembeli. Duit dah bayar tapi barang tak sampai, tidak tahu nak buat aduan kat mana.


Kami faham BNM pastinya mengalami kekangan tertentu yang tidak membolehkan cadangan-cadangan ini dilakukan. Namun, kami berharap penghantaran syiling dimasa akan datang dapat diperbaiki.

Pendapat anda?