Jumaat, 20 November 2020

Penghantaran Syiling UKM & Putrajaya 23 November ini

Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan yang telah berjaya mendapatkan Duit syiling peringatan 50 tahun UKM  & Syiling Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Putrajaya. Bank Negara Malaysia (BNM) akan mula membuat penghantaran menggunakan Poslaju pada 23 November 2020 (Isnin).

Syiling UKM & Putrajaya


Kepada rakan-rakan collector dan pembeli yang masih belum menyemak keputusan tempahan, boleh melayari semula website duit.bnm.gov.my. Sila gunakan email dan password yang sama semasa mendaftar membuat tempahan.

Diharap BNM atau Poslaju boleh memberikan sedikit kelonggaran untuk penghantaran Duit Syiling Peringatan kali ini. 

Semasa tempahan dibuat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dikenakan di kebanyakkan negeri. Oleh yang demikian, ada yang meletakkan alamat pejabat sebagai tempat penghantaran. Pada ketika ini, ramai yang hanya dibenarkan Bekerja dari Rumah (BDR), ada kemungkinan tidak ada di pejabat ketika penghantaran dibuat.

Di sesetengah kawasan, Poslaju hanya meletakkan notis di alamat yang tertera tetapi tidak memaklumkan kepada penerima melalui email atau telefon mengenai penghantaran yang tidak berjaya tersebut.

Ini percubaan sulung BNM untuk membuat penghantaran duit syiling melalui pos dan percubaan ini sedikit getir kerana ianya dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilakukan hampir disetiap negeri di Malaysia. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku sebab ianya bukan berada dibawah kawalan BNM sendiri.

Pada tahun 2017, pihak kami ada membuat artikel berkenaan dengan khabar angin jualan syiling peringatan secara pre-order oleh BNM. Boleh rujuk artikel sebelum ini; Pre-order syiling peringatan 2017.

Alangkah baiknya jika BNM boleh memberi pilihan kepada pembeli sama ada untuk menerima syiling peringatan yang berjaya dibeli melalui pos atau dengan datang sendiri ke pejabat BNM.

Kos pos RM11 untuk sekeping coincard kali ini adalah agak tinggi, tidak semua collector mahu membeli duit syiling perak. Ada yang tidak mampu dan ada juga yang sememangnya hanya menyimpan koleksi coincard sahaja.

Namun, mengambil kira keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada ketika ini. Mungkin ini sahaja kaedah yang difikirkan sesuai oleh pihak BNM.

Pendapat anda?