Sabtu, 27 Julai 2019

Syiling Agong ke-16 mula dijual Ogos ini

Berita gembira buat para pengumpul duit syiling peringatan, Syiling Peringatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 boleh mula ditempah dilaman web BNM bermula pertengahan Ogos ini. Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan syiling khas daripada Bank Negara Malaysia.

Agong ke-16

Syiling khas yang dikeluarkan bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai itu dipersembahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus di Istana Negara.

Tiga jenis syiling peringatan akan dikeluarkan iaitu emas nordic, perak dan emas. 300 syiling emas akan dikeluarkan dengan harga RM1,800 setiap satu. Selain, 1,500 syiling perak berharga RM200 dan kira-kira 15,000 keping syiling emas Nordic pada harga RM12 setiap satu.

syiling agong

Setakat ini, tiada maklumat untuk syiling 2 dalam 1 dan syiling 3 dalam 1. Mohon sesiapa yang mempunyai maklumat tersebut berkongsi dengan kami.

Tidak ada maklumat siapa pereka duit syiling ini tetapi maklumat dari Bernama syiling ini dikeluarkan oleh kilang wang BNM sendiri.

Melihat kepada maklumat dan gambar di atas, nampaknya Bank Negara Malaysia beralih semula kepada syiling perak bersaiz biasa berbanding dengan syiling perak bersaiz besar.

Ianya suatu yang mengembirakan buat peminat syiling kerana syiling perak besar sebelum ini, ramai yang tidak mampu membelinya kerana harga jualan BNM yang mahal.

Suatu yang menarik pada rekabentuk syiling Yang di-Pertuan Agong ke-16 kali ini, potrait Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengadap ke kiri berbanding dengan potrait Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang memandang ke hadapan.

Syiling ini juga akan menjadi syiling peringatan pertama dengan tandatangan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia ke-9.