Khamis, 7 Februari 2019

Trend page Facebook Pembeli Duit Lama

Jika anda membuat carian "Pembeli Duit Lama" atau "Jual Beli Duit Lama" di Facebook, anda akan menemui berpuluh-puluh Facebook page yang berkaitan dengan tajuk tersebut. Namun, apa yang menjadi persoalan, adakah page-page tersebut betul-betul membeli duit lama?

Pembeli Duit Lama

Trend page Facebook Pembeli Duit Lama kami lihat makin menular apabila ramai admin page Facebook yang mendapat beribu-ribu like daripada netizen dengan hanya berkongsi ayat seolah-olah mereka ingin membeli duit lama yang anda jual.

Ada sesetengah page yang meletakkan gambar duit beribu Ringgit yang dikatakan sebagai modal untuk membeli duit lama untuk menarik pembaca like dan share post mereka.

Sebenarnya kebanyakan admin page tersebut hanya mengejar like untuk page mereka sahaja, banyak like untuk page bermakna peluang mereka untuk menjual page tersebut kepada orang lain akan menjadi lebih mudah. Ada page Jual Beli Duit Lama yang mencecah sehingga 100,000 lebih like yang kemudiannya bertukar menjadi page jualan barang-barang bundle.

Trend page Facebook Pembeli Duit Lama ini sedikit sebanyak memberikan maklumat yang salah berkenaan numismatik. Syiling yang tidak mempunyai nilai numismatik dikatakan boleh dijual sehingga berpuluh ribu ringgit.

Namun, kami di kalangan warga numismatik tidak boleh berbuat apa kerana mereka tidak melanggar apa-apa peraturan Facebook. Untuk blog www.malaysiancoin.com kami hanya boleh mengambil tindakan apabila mereka menggunakan gambar dan maklumat daripada blog kami tanpa izin serta menyebarkan cerita yang tidak benar mengenai gambar tersebut.

Page sebegini juga membuka peluang kepada scammer untuk mendapatkan maklumat bakal mangsa mereka kerana kebanyakkan netizen dengan mudahnya mengiklankan duit lama mereka beserta dengan nombor telefon mereka.

Jika tidak pun, ada yang mencuba nasib menghantar mesej kepada scammer luar negara yang turut meletakkan iklan mereka di page-page tersebut.

Jadi tidak hairanlah jika scam jual beli duit lama makin berleluasa.

Apa sahaja berita sensasi mengenai numismatik akan cepat tular kerana ianya memberikan harapan kepada orang yang menekan butang like dan share untuk menjadi orang kaya.

Adakah orang Malaysia lebih suka mencuba nasib atau lebih suka membaca mencari ilmu?

Tepuk dada tanya selera....