Rabu, 2 November 2016

Pameran Karya Seni Duit Syiling, harapan kami

Ramai rakan-rakan sudah mengunjungi Pameran Karya Kertas-Seni Matawang yang sedang di adakan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM). Pameran tersebut akan berakhir pada hujung bulan ini. Ada rakan-rakan yang berharap BNM akan mengadakan Pameran Karya Seni Duit Syiling sebagai projek mereka yang seterusnya.

Karya Seni Syiling

Duit syiling edaran terbaru Malaysia, jika diteliti dengan mengunakan kanta pembesar mempunyai ciri-ciri tersembunyi dan ianya juga dipuji oleh rakan-rakan collector diseluruh dunia kerana keindahan motif-motif seni kraftangan tradisionalnya.

Rakan-rakan yang mengunjungi "Pameran Karya Kertas-Seni Matawang" berharap, BNM boleh berkongsi pula seni yang terdapat pada duit syiling seluruh dunia sepertimana yang dikongsikan semasa pameran untuk wang kertas.

Ruang pameran The Money Maze di Pameran Karya Kertas-Seni Matawang adalah antara tempat yang mendapat tempat dihati kalangan rakan-rakan yang mengunjungi pameran tersebut kerana mereka boleh berselfie dengan berlatar belakangkan gambar wang kertas yang telah dibesarkan.

Mungkin BNM juga boleh melakukan perkara yang lebih kurang sama dengan imej duit syiling.

BNM seingat kami tidak pernah lagi mengadakan pameran bagaimana terhasilnya duit syiling edaran Malaysia didalam mana-mana pameran yang mereka adakan sebelum ini. 

Sejarah mengenai duit syiling tahun 1966 Malaysia yang tidak jadi digunakan sebagai syiling edaran adalah antara cerita yang menarik untuk dipaparkan serta dikongsi kepada orang ramai. Ramai lagi yang tidak tahu mengenai rekabentuk syiling yang memenangi pertandingan rekabentuk duit syiling pertama yang di anjurkan oleh BNM tersebut. Jika ianya digunakan, sudah pasti syiling pertama Malaysia tidak akan dipanggil sebagai duit syiling parlimen oleh para collector.

Selain itu, BNM juga boleh berkongsi serba sedikit mengenai duit syiling trial dan pattern yang pernah di ujicuba sebagai syiling edaran Malaysia. Mungkin syiling-syiling tersebut tidak berharga dimata kakitangan BNM tetapi bagi collector ianya suatu yang menarik untuk diketahui.

Cadangan rekabentuk duit syiling edaran tahun 2003 yang pernah disiarkan di akhbar tempatan juga adalah antara perkara menarik mengenai duit syiling Malaysia yang sewajarnya dipamerkan untuk tatapan umum. 

Malaysia mempunyai rekabentuk duit syiling dan juga wang kertas yang menarik dan dipuji oleh rakan-rakan collector dari seluruh dunia.

Cuma duit syiling dan juga wang kertas Malaysia belum pernah lagi memenangi sebarang pertandingan besar didalam dunia numismatik antarabangsa.

Pameran sebegini akan membantu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai sejarah duit syiling Malaysia dan juga penghargaan kepada para pereka duit syiling Malaysia.

Kami pasti, kakitangan BNM mempunyai lebih banyak idea kerana mereka mempunyai sumber-sumber pameran yang menarik untuk dikongsikan kepada semua.

Pendapat anda bagaimana?