Ahad, 29 September 2013

Syiling 50 sen 1969 dilelong RM2800?

Rasanya dah ramai yang tahu, pagi ini (29 September 2013) ada acara lelongan yang di anjurkan oleh Malaysia Numismatic Society di Muzium Negara, Kuala Lumpur. Ramai dari rakan-rakan yang sedikit terkejut apabila duit syiling 50 sen 1969 berjaya dilelong pada harga RM2800. Syiling itu mempunyai gred UNC (Uncirculated) serta tidak di gred oleh mana-mana pihak ketiga (PCGS atau NGC).

50 sen 1969

Saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya di acara lelongan tersebut sebab saya tidak dapat pergi. Saya dah bangun awal pagi ini, ingatkan nak pergi ke acara lelongan hari ni. Nasib baik isteri ingatkan hari ni dah janji nak ambik adik ipar kat Gombak sebelah pagi. Jadinya, saya terlepas lagi acara lelongan MNS kali ini.

Biasanya syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969 yang berharga mahal sebegini adalah syiling yang mempunyai Milled Edge. Syiling yang dibida ini adalah syiling yang mempunyai Sisi Sekuriti atau lebih dikenali dikalangan bukan collector sebagai syiling 50 sen berparit. Syiling yang mempunyai auction lot no. 98 ini dimulakan pada harga tawaran RM500. Anda boleh membaca mengenainya dengan lebih lanjut di blog Sifu Dickson Niew; MNS AUCTION NO.157 (LOT:76 TO LOT 101) RESULT.

Apa itu UNC (Uncirculated)?
Kepada rakan-rakan bukan collector, lepas ini mesti ramai yang beranggapan, semua duit syiling 50 sen 1967, 1968, 1969 berparit berharga mahal sehingga mencecah beribu ringgit (sebelum ni pun macam tu juga kan?).

Syiling yang terjual di acara lelongan MNS ke 157 tu adalah syiling yang mempunyai kondisi UNC (Uncirculated) iaitu syiling yang tidak mempunyai kesan calar atau pecahan. Ia mungkin mempunyai kesan calar yang amat sedikit mungkin disebabkan oleh kesan tempaan di kilang. Mungkin ada perubahan warna untuk syiling yang lama.

Kepada bukan collector juga, syiling UNC bukan bermakna syiling yang anda telah kilatkan atau bersihkan sendiri untuk menampakkan ianya berkilat dan seperti UNC. Apabila anda telah membersihkan syiling tersebut, bermakna grednya akan turut sedikit sebab itu saya syorkan supaya anda jangan mencuci duit syiling anda.

Kenapa Syiling 50 sen 1969 berparit ini berharga mahal?
Sebab utamanya adalah duit syiling 50 sen 1969 ini pada kondisi UNC dan amat sukar untuk mencari syiling ini pada gred sedemikian pada ketika ini. Dengan hanya mintage sebanyak 2juta keping, hanya ada beberapa keping sahaja duit syiling UNC 50 sen 1969 yang ada pada tangan collector. Orang-orang yang membuat bidaan tersebut juga mungkin sudah lama mencari duit syiling ini pada kondisi sedemikian untuk dimasukkan didalam koleksi mereka. Apabila banyak permintaan maka berlakulah perang harga.

Ada juga syiling Malaysia lain yang berpotensi untuk melambung harganya jika ditemui pada kondisi UNC atau BU seperti syiling 50 sen 1995 dan juga 20 sen 1978 (terjual pada harga RM550 MNS Auction 157, kondisi UNC).

Anda semua (bukan collector) terutamanya yang baru nak berjinak menjadi pelabur duit lama perlu belajar, kenapa duit lama berharga tinggi supaya anda boleh mendapat pulangan yang lumayan dari pelaburan anda. Keuntungan tidak semestinya diperolehi dengan melaburkan duit anda kepada duit syiling pruf sahaja. Ini kerana duit syiling pruf yang dikeluarkan oleh BNM pada ketika ini adalah pada jumlah yang dikira agak banyak. Kalau setakat nak untung RM10-RM30 untuk Single Silver tu, rasanya lebih baik anda melabur untuk duit syiling edaran yang mempunyai gred yang tinggi sebegini. 

Buat kajian anda sendiri, tanya kepada rakan-rakan yang sudah lama didalam hobi ini. Belajar terlebih dahulu dengan lebih teliti, apa itu EF, UNC, BU supaya anda tidak ditipu. Jangan tanya saya sebab saya bukanlah seorang yang pakar.

Siapa kata melabur didalam duit lama tidak menguntungkan?