Isnin, 5 Mac 2018

Set Syiling Agong ke-12 di Trigometric Auction 7

Set 3 dalam 1 duit syiling peringatan Pertabalan yang Di-Pertuan Agong ke-12 akan dilelong didalam acara lelongan Trigometric Auction 7 pada 15 Mac ini. Hanya 100 set sahaja yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk duit syiling tersebut pada tahun 2002.

Agong

Set syiling pruf tersebut mempunyai Syiling 1 Ringgit Copper Nickel, 10 Ringgit Perak (.925 Silver) dan 100 Ringgit emas (999.9 Gold). Set syiling (lot 0247) tersebut akan dilelong bermula pada harga RM5,000.

Duit Syiling Pertabalan Yang Di Pertuan Agong XII dilancarkan pada 25 April 2002 sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Acara lelongan Trigometric Auction 7 akan diadakan pada 15 Mac 2018 di Hotel Hilton, Petaling Jaya. Sebanyak 951 lot koleksi akan dilelong pada hari tersebut yang merangkumi koleksi numismatik, exonumia dan setem.

syiling hoki

Antara tumpuan lain duit syiling didalam lelongan kali ini adalah Set syiling 2 dalam 1 Syiling Kejohanan Hoki Piala Dunia Ke-10. Syiling yang ditempa oleh The Royal Mint of Malaysia, Shah Alam dan mula dijual pada 29 Januari 2002 itu hanya dikeluarkan dalam 500 set sahaja. Set syiling (lot 0244) tersebut akan dilelong bermula pada harga RM4,000.

Trigometric Auction

Sekeping Duit Syiling Pruf 5 Ringgit 1971 Tunku Abdul Rahman (Lot 0143) pula akan dilelong bermula pada harga RM2,100 dengan gred NGC PF 67 Ultra. Syiling yang dilancarkan pada 30 Ogos 1971 sempena 13 tahun Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri Malaysia dan hanya dikeluarkan sebanyak 500 keping sahaja untuk pruf berbanding dengan 2 juta keping untuk syiling biasa.

medallion F1

Selain itu, koleksi medallion juga mencuri tumpuan dengan beberapa koleksi medallion dilelong didalam lelongan kali ini. Lot 0214 menyaksikan medallion Perlumbaan F1 Sepang 1999 dilelong pada harga permulaan RM300. Lot 0159 pula menyaksikan set 19 keping medallion edisi terhad Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2017 dijual bermula pada harga RM700. Lot 0157, set 6 keping medallion Persidangan Orkid Dunia ke-17 dijual bermula pada harga RM240. Lot 0158, Set 13 keping Medallion lencana Pasukan Polis dijual bermula pada harga RM1,000.

Untuk acara lelongan Trigometric Auction 7 ini, lelongan juga akan diadakan secara online di website www.liveauctioneers.com.