Friday, October 7, 2016

Sejarah Penswastaan Kilang Wang Bank Negara

Sejarah Penswastaan Kilang Wang Bank Negara bermula secara rasminya pada 1 Oktober 1998 apabila Boustead Mint Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan Bank Negara untuk pajakan Kilang Wang selama 3 tahun bermula 1 Oktober 1998 dan berakhir pada 30 Sept, 2001 dengan pilihan untuk lanjutan dua tahun.

syiling f1 sepang

Boustead Mint Sdn Bhd
Menurut Tuan Ismail Ibrahim, syiling ulang tahun ke-20 WWF yang direka oleh Maria Sia sebenarnya adalah syiling pertama yang dikeluarkan oleh Boustead Mint Sdn Bhd tetapi dikeluarkan atas nama Bank Negara Malaysia. Menurutnya lagi, Maria Sia juga bukanlah coin designer di Boustead Mint kerana setahu beliau hanya ada seorang sahaja coin designer di sana pada waktu itu dan beliau mengenalinya.

Pada Disember 1994, Boustead Holdings Bhd yang pada waktu itu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato' Seri Lodin bin Wok Kamaruddin telah berjaya memiliki 51% pegangan saham ke atas Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd. Tidak ada rekod, kenapa Boustead Holdings Bhd membeli pegangan saham Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd tetapi ura-ura mengatakan ianya adalah sebagai satu cara untuk menggunakan kepakaran kakitangan Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd untuk tugas-tugas di Kilang Wang.

Pada 20 September 1998, Boustead Mint Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Bhd, menandatangani tiga perjanjian dengan Bank Negara berkaitan dengan penswastaan Kilang Wang Bank Negara:
  1. Bekalan dan pembelian syiling bermula 1 Okt 1998 untuk tempoh lima tahun berakhir 30 Sept, 2002.
  2. Pajakan harta Bank Negara di Shah Alam bermula 1 Oktober 1998 untuk tempoh tiga tahun berakhir pada 30 Sept, 2001. Boustead Mint akan terus beroperasi di Kilang Wang yang diswastakan dengan bayaran sewa RM64,000 sebulan bagi tempoh permulaan tiga tahun dengan pilihan untuk lanjutan dua tahun.
  3. Pembelian mesin untuk pengeluaran duit syiling untuk pertimbangan tunai sebanyak RM4.236 juta yang akan dipenuhi dalam empat peringkat dalam empat tahun akan datang.

Maka, pada 1 Oktober 1998, bermulalah sejarah kilang wang Bank Negara diswastakan secara rasminya buat kali pertama.

Ada yang mengatakan Royal Mint Malaysia sudah pun wujud pada ketika ini tetapi didalam rekod numismatik, tidak ada syiling yang dikeluarkan atas nama tersebut ketika itu. Tidak ada juga rekod dokumen yang mengatakan Royal Mint of Malaysia telah wujud pada ketika itu.

Pada 5 Oktober 1999, Syiling peringatan Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia yang di adakan pada 15 hingga 17 Oktober 1999 di Litar Sepang telah dikeluarkan oleh Boustead Mint Sdn Bhd. Mengikut rekod, Ianya adalah satu-satunya syiling yang dikeluarkan di atas nama Boustead Mint Sdn Bhd.

Tidak ada rekod apa yang terjadi dengan kontrak Boustead Mint atau apa kesalahan yang mereka lakukan.

Menurut Tuan Ismail, didalam kontrak perjanjian penswastaan, BNM mempunyai hak untuk melantik seorang pengeluar duit syiling jika syarikat tersebut didapati gagal memenuhi mana-mana obligasinya.

The Royal Mint of Malaysia
Ketika kontrak dengan Boustead Mint sepatutnya masih belum berakhir, satu syarikat kecil dari Kuala Kangsar, Perak mengambil alih pengurusan Kilang Wang. Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd yang dimiliki oleh Allahyarham Datuk Megat Wahab Megat Abu Bakar telah menubuhkan anak syarikatnya, The Royal Mint of Malaysia (RMM).

Perasmian penswastaan Kilang Wang Bank Negara menjadi The Royal Mint of Malaysia telah dirasmikan sendiri oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 5 Disember 2000 (sila betulkan jika anda ada maklumat yang lebih tepat).

Tun Dr. Mahathir adalah penyokong kuat The Royal Mint of Malaysia pada waktu itu, jadi tidak hairanlah jika banyak projek yang dijalankan oleh RMM turut dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir sendiri.

Didalam masa 6 bulan selepas penswastaan dengan perbelanjaan RM16juta, RMM telah meningkatkan produktiviti Kilang Wang dengan menaikkan kapasiti pengeluaran kepada 1.2 billion keping syiling setahun berbanding dengan 400 juta keping syiling setahun sebelum penswastaan.

Semasa era Royal Mint Malaysia, Bank Negara Malaysia sangat aktif mengeluarkan duit syiling peringatan dan RMM juga sangat aktif didalam mengeluarkan medallion untuk syarikat swasta.

Nama Royal Mint of Malaysia buat pertama kalinya digunakan pada duit syiling peringatan untuk syiling peringatan sempena pengisytiharan bandaraya Shah Alam.

Di dalam usaha mereka untuk menjadi syarikat Kilang Wang global, mereka telah melakukan beberapa penambahbaikan, memberi cadangan dan juga mendapatkan pengiktirafan persijilan untuk Kilang The Royal Mint of Malaysia.
  • Mengeluarkan Syiling Bullion Kijang Emas pada tahun 2001.
  • Mendapat persijilan ISO 9001 daripada Moody's International pada tahun 2002.
  • Mengeluarkan duit syiling untuk negara-negara di Asia Tenggara (Brunei, Indonesia) dan Asia Barat (Bangladesh).
  • Mengadakan Pameran Kuala Lumpur International Money Fair (KLIMOF) pada tahun 2002 dan 2003.
  • Mencadangkan duit syiling edaran baru pada tahun 2003.
  • Membeli mesin blank duit syiling dari Jerman dengan pelaburan RM20juta. Menjadikan RMM syarikat kedua di Asia selepas Poongsan, Korea Selatan yang mengeluarkan blank duit syiling sendiri.

Untuk cerita lanjut mengenai penswastaan Kilang Wang Bank Negara semasa era Royal Mint Malaysia, anda boleh baca artikel sebelum ini, Sejarah The Royal Mint of Malaysia.

Penglibatan Paradym Resources Industries (PRI) Sdn Bhd
Paradym Resources Industries (PRI) Sdn Bhd muncul apabila Allahyarham Datuk Megat mengumumkan tentang pelaburan RM20juta untuk membeli mesin blank duit syiling pada tahun 2003.

Pada tahun 2003, Paradym Resources Industries (PRI) Sdn Bhd telah berjaya mendapat kontrak untuk membekalkan kepingan copper dan nickel untuk blank duit syiling selama 10 tahun daripada Bank Negara. Pada masa yang sama, PRI juga telah mendapat kontrak daripada Bank Negara untuk membekalkan kepingan copper dan nickel tersebut kepada Royal Mint of Malaysia Sdn Bhd yang kemudiannya membuat blank syiling 5, 10, 20 dan 50 sen. Kontrak-kontrak tersebut dikatakan bernilai RM100juta setahun.

PRI kemudiannya telah membeli Royal Mint of Malaysia pada tahun 2005. Syiling pada masa itu masih lagi dikeluarkan oleh RMM, Penglibatan PRI hanya membekalkan kepingan copper dan nickel kepada Royal Mint.

Kilang Wang di ambil alih Bank Negara
Pada tahun 2007, PRI dan juga RMM telah disiasat kerana berlaku kes pecah amanah dan kes pemalsuan dokumen. Khabar angin mengatakan, PRI yang mendapat kontrak untuk membekal blank duit syiling mengitar semula bahan buangan logam untuk membuat blank duit syiling.

BNM telah mengambil alih aktiviti Kilang Wang pada bulan Februari 2008 dan operasi penempaan duit syiling telah dimulakan pada bulan Mac 2008.


Sumber:
  • Temuramah dengan Tuan Ismail Ibrahim, Master Designer Royal Mint of Malaysia, 3 Oktober 2016.
  • Boustead Mint, Bank Negara Sign Pacts Over Privatisation Of Kilang Wang, 22 September 1998, Utusan Malaysia.
  • Royal Mint to spend RM20m to make own coin blanks, 7 Mei 2003, Business Times (Malaysia).
  • Royal Mint of Malaysia aspires to be global coin minter, 20 Mei 2003, Utusan Malaysia.
  • Ahli perniagaan didakwa pecah amanah RM83j wang Bank Negara, 3 Julai 2008, Utusan Malaysia.

Pihak kami mengalu-alukan jika ada di antara anda yang ingin membantu memberikan maklumat mengenai Sejarah Royal Mint of Malaysia. Sila komen dan juga kongsikan maklumat anda melalui email kepada kami.