Isnin, 14 September 2015

Dato Sharuddin, Presiden Kelab Warisan Numismatik

Cerita semalam (http://bit.ly/1K9ngjB) tak habis lagi, kita sambung balik. Collector newbies mungkin tak kenal Dato Sharuddin Yusof, Presiden Kelab Warisan Numismatik. Beliau juga lebih dikenali sebagai Dato Sha atau juga Dato Sha Banknote. Beliau adalah Presiden Kelab yang dikecam oleh "Collector Newbie" didalam artikel semalam.

Dato Sha

Dato Sha adalah di antara pelanggan terawal saya semasa memulakan jualan online suatu ketika dahulu. Walaupun beliau telah mendapat gelaran Dato, beliau tidak membahasakan dirinya sebagai Dato Sha ketika berbual di telefon. Saya sendiri hanya mendapat tahu beliau mendapat gelaran Dato daripada rakan yang rajin membaca blognya.

Dato Sha adalah seorang ahli perniagaan, jadi semasa beliau memberitahu bahawa Kelab Numismatik yang akan ditubuhkan olehnya berdaftar dibawah ROB (Register of Business) dan bukannya ROS (Register of Society) saya tidak terkejut.

Kelab Warisan Numismatik ditubuhkan oleh Dato Sha secara berdaftar pada 1 April 2012.

Dato Sha mempunyai pelbagai idea untuk mengembangkan dan mempromosi numismatik di Malaysia kerana beliau tidak segan bertanya dan amat senang untuk di ajak berbual. Sesiapa sahaja pun jika beliau tidak kenal sekalipun saya lihat akan beliau bawa berbicara umpama seorang rakan yang dah lama kenal.

Ramai newbies yang mungkin tidak tahu, beliaulah di antara orangnya yang sibuk untuk berusaha merealisasikan impian ramai rakan collector yang ingin melawat ke Kilang Wang Bank Negara. Walaupun, masih tidak berjaya, beliau masih tidak putus asa. Untuk makluman, Bank Negara Malaysia tidak lagi membenarkan orang perseorangan untuk mengadakan lawatan ke Kilang Wang.

Dato Sha juga aktif melakukan pameran, seminar numismatik, menulis buku dan bekerjasama dengan Universiti tempatan untuk mewujudkan mata pelajaran numismatik di Universiti. Batch pertama Sijil Profesional Pengajian Numismatik Malaysia sudah hampir selesai, selepas ini akan di adakan pula Diploma Profesional Pengajian Numismatik Malaysia. Jika anda betul-betul seorang "collector" newbie sejati, anda pasti akan rasa teruja. Mana pernah lagi ada Universiti yang menawarkan pengajian numismatik di Malaysia. Sedangkan, kita mempunyai banyak duit-duit kesultanan Melayu lama yang masih lagi tidak dibuat kajian.

Dato Sha juga telah berjaya mengadakan Pameran Solo Koleksi Matawang terbesar pernah di adakan di Malaysia dengan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records di Muzium Kelantan. Malangnya, pameran itu kurang mendapat publisiti dimedia-media utama negara kerana mungkin ianya dibuat di Kelantan.

Beliau juga tidak lokek untuk membelanjakan duit meraikan rakan-rakan numismatik yang berbakti didalam numismatik Malaysia pada tahun 2014. Walaupun bagi pendapat saya, beliau sendiri juga wajar mendapat anugerah kerana usahanya yang tidak henti-henti didalam mengadakan aktiviti numismatik, mempromosikan numismatik dan memberikan pendidikan kepada mereka yang berminat.

Mungkin ada yang berpendapat tulisan ini berat sebelah kepada Dato Sha. Ya.., memang betul ada juga beberapa perkara mengenai aktiviti-aktiviti numismatik yang dilakukan oleh Dato Sha itu kurang dipersetujui oleh saya. Seperti yang saya tulis di awal artikel ini, Dato Sha adalah seorang ahli perniagaan, cara bekerja beliau didalam numismatik juga adalah seperti ahli perniagaan. Masalahnya, ramai orang disekelilingnya yang cuba mengambil kesempatan....

Pendapat peribadi saya, Janganlah salah anggap, oleh kerana Dato Sha itu mempunyai koleksi yang berharga mahal, anda beranggapan beliau juga tahu semua perkara didalam numismatik. Kekurangan dan kesilapan pasti akan berlaku dan semoga Dato Sha boleh belajar dari pengalaman. Collector Newbie didalam artikel itu ada kata dia rugi kerana harga pasaran jatuh tapi pernahkah dia bertanya kepada Dato Sha berapa banyak beliau rugi semasa proses pembelajaran untuk mengumpul koleksinya?

Kalau saya nak tulis lagi, panjang pula artikel ini nanti, satu minggu pun tak habis baca. Hahahaha....

Terpulang kepada anda untuk menilai, bagi saya bukan mudah untuk kita menemui tokoh numismatik seperti Dato Sha.

Komen anda?