Khamis, 17 September 2015

Syiling 1966 akan dilelong RM543,746

Set syiling pattern Malaysia tahun 1966 ditawarkan pada harga permulaan RM543,746 (SG$180,000) oleh Collectibles Auction Asia yang akan mengadakan acara lelongan CAA 6/2015 di Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober 2015.

Syiling Malaysia 1966

Set syiling pattern yang mempunyai 10 keping duit syiling itu tidak pernah direkodkan, tidak pernah dikeluarkan dan adalah syiling uniface trial pattern. Bahagian hadapan syiling memaparkan Royal Mint mark. Duit syiling pattern pada kebiasaannya hanya wujud tidak lebih dari 4 set untuk sesuatu syiling pattern.

Jika anda pernah menonton rancangan "Time Capsule Malaysia" yang disiarkan oleh Saluran sejarah Astro pada 23 Jun 2014, anda pasti terlihat syiling ini ada dibicarakan oleh Sifu Dickson Niew didalam rancangan tersebut.


Sejarah mengenai syiling ini juga amat menarik, ianya bermula sebagai satu pertandingan rekabentuk untuk syiling Malaysia yang dijangka dikeluarkan pada tahun 1967 tetapi akhirnya ia tidak digunakan kerana Perdana Menteri pada ketika itu mempunyai pendapatnya yang tersendiri. Anda boleh membaca sejarah mengenai syiling ini yang saya kongsikan di sini; Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan.

Jika set duit syiling ini berjaya terjual pada harga RM543,746 (tidak termasuk premium pembeli), ianya sudah pasti akan menjadi set duit syiling Malaysia termahal pernah dijual didalam acara lelongan awam.

Jika anda pengikut setia blog malaysiancoin.com anda pasti tahu yang setiap kali Collectibles Auction Asia mengadakan acara lelongan, pasti ada sahaja pembeli yang membeli duit syiling yang ditawarkan oleh mereka. Syiling yang berjaya dilelong oleh mereka juga pada kebiasaannya akan berjaya menduduki carta Top 10 duit syiling Malaysia termahal.

Adakah Collectibles Auction Asia akan sekali lagi melakar sejarah untuk numismatik Malaysia?

Bersama-sama kita tunggu pada tarikh 2 Oktober 2015.