Jumaat, 12 Ogos 2022

Logo & Tema Merdeka Malaysia 2022

'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM2022) selari dengan konsep keharmonian #KeluargaMalaysia. 

Logo 2022


Logo Merdeka 2022 berkonsepkan jalur liputan internet melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat. Ia juga melambangkan kebersamaan, komited untuk terus maju ke hadapan serta keberadaan teknologi terkini yang menjadi penghubung kehidupan ekonomi rakyat. 

Pada 1 Julai lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa merasmikan Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Tiga aktiviti utama akan diadakan iaitu pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai ini di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

Ini kali pertama sambutan Hari Kebangsaan bakal dianjurkan dengan lebih meriah selepas pandemik COVID-19.

Tahun lalu sambutan Hari Kebangsaan diadakan secara sederhana di Dataran Pahlawan Negara, di sini, manakala pada 2020 hanya perutusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disiarkan secara langsung.


logo merdeka 2022



RASIONAL LOGO
LOGO BERKONSEPKAN JALUR LIPUTAN INTERNET Melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

MAKSUD LOGO
Tiga Jalur Biru, Merah dan Kuning
Merupakan cerminan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya serta hidup harmoni.
Titik Merah
Melambangkan jati diri dan semangat patriotik yang menjadi teras pembentukan negara berdaulat dan berwawasan.
Kedudukan yang berselang-seli
Melambangkan keterbukaan dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian demi kemajuan bersama.


RASIONAL TEMA
Keluarga Malaysia: merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. 

Teguh: bermaksud kukuh, kuat dan erat. Bersama: bermaksud bersama-sama berserta atau berganding bahu. 

Manakala frasa ‘Teguh Bersama’ mendukung maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan.

LAGU RASMI
Lagu tema Hari Kebangsaan 2022 bertajuk Keluarga Malaysia Teguh Bersama; ciptaan Kusham dan lirik oleh El Sol Akhmad.

Untuk senarai penuh logo dan tema merdeka daripada tahun 1970 sehingga yang terkini, anda boleh melayari artikel; Koleksi Lengkap Logo & Tema Merdeka.

Sumber: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia