Isnin, 9 Mei 2022

William Howard Wilcock Gabenor BNM Pertama

Ramai pengumpul duit lama yang sudah tahu Tan Sri William Howard Wilcock (W.H Wilcock) adalah Gabenor Bank Negara Tanah Melayu yang pertama. Namun, pastinya tidak ramai yang tahu mengenai sejarah disebalik pelantikan beliau sebagai gabenor.

Wilcock


Apabila "Laporan Watson Caine" yang dikeluarkan pada September 1956 memutuskan untuk menubuhkan sebuah bank pusat di persekutuan Tanah Melayu, kerajaan pada waktu itu segera mendapatkan khidmat nasihat W.H Wilcock yang ketika itu merupakan penolong gabenor Commonwealth Bank of Australia.


Australia Bank Negara Tanah Melayu

Pada Januari 1958, W.H Wilcock datang ke Tanah Melayu sebagai penasihat perbankan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan ditemani oleh Don McKenna, seorang pembantu ekonomi di bank. Bersama McKenna, W.H Wilcock merangka perundangan yang membolehkan penubuhan bank pusat dan penyeliaan bank-bank.


William Howard Wilcock

Pada tahun 1959, beliau telah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman sebagai gabenor pertama dan Pengerusi Lembaga Bank Negara Tanah Melayu untuk tempoh 2 tahun. Kerajaan Persekutuan kemudiannya memperbaharui kontraknya selama 6 bulan lagi (beliau bersara pada tahun 1962).Wilcock sentiasa menyedari keperluan untuk Bank Negara diterajui oleh orang tempatan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata:

"Saya amat menghargai penghormatan ... dalam menjadikan saya gabenor pertama ... tetapi saya amat percaya bahawa ketua bank pusat mana-mana negara harus menjadi warga negara itu."


Penubuhan Bank Pusat Tanah Melayu



Pada 26 Januari 1959, Bank Negara Tanah Melayu telah ditubuhkan dengan modal berbayar sebanyak $20 juta (Cek itu ada dipamerkan di Muzium Sasana Kijang) oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Bank Negara Tanah Melayu telah dibuka secara rasminya oleh Yang Dipertuan Agong pada Sabtu, 24 Januari 1959.

Persaraan beliau pada Julai 1962 telah digantikan oleh Tun Ismail Mohamed Ali, Timbalan Gabenor Bank Negara Tanah Melayu.

bank Wilcock


Setelah bersara daripada menjadi Gabenor Bank Negara pada tahun 1962 W.H Wilcock balik ke Australia untuk mengisi jawatan Pengurus Besar Cawangan Percetakan Nota Bank Rizab Australia dan menyelia pengenalan mata wang perpuluhan Australia.

Biodata Gabenor BNM Pertama:
Nama Penuh: Tan Sri William Howard Wilcock
Tarikh Lahir: 21 Disember 1904
Tempat Kelahiran: Ballarat, Victoria, Australia
Pendidikan: Sijil berhenti sekolah Sekolah Tinggi Ballarat yang lebih kurang setara dengan SPM atau GCSE sekarang.
Tempoh perkhidmatan: 1 Januari 1959 - 26 Julai 1962



Tandatangan Wilcock


Untuk Gabenor BNM yang lain sila baca: Senarai Gabenor Bank Negara Malaysia


Rujukan:
1. Pameran Demi Tanah Air, 60 tahun sebagai Bank Pusat, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.
2. Tan Sri William Howard Wilcock story.
3. Govt. wait for bank expert, The Straits Times, 30 December 1957.
4. Buku Warisan Numismatik.
5. The King Opens Malaya's Own Bank, Sunday Standard, 25 January 1959.