Rabu, 24 Julai 2019

Logo & Tema Merdeka Malaysia 2019

#SayangiMalaysiaku #MalaysiaBersih dipilih menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan 2019, logo Merdeka menggunakan logo merdeka tahun 2018 dengan tambahan tema Malaysia Bersih. Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 akan diadakan pada 3 Ogos di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Logo Merdeka

Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim, berkata program yang julung kali diadakan di Melaka itu dilihat bakal mengimbau kembali detik pengumuman tarikh kemerdekaan negara oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, 63 tahun lepas.

“Program ini akan menjadi acara paling bersejarah pada tahun ini kerana lokasinya merupakan tempat pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari 1956 yang diumumkan perdana menteri pertama itu.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kita jangka lebih 30,000 orang akan hadir pada malam pelancaran yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan segala persiapan bagi majlis itu, kini berjalan dengan lancar,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG19), pameran ‘Caring Bridge’, ‘Mapping’ Bandaraya Melaka dan ‘Wrapping’ kenderaan awam, larian merdeka, gerai jualan dan trak makanan telah disusun untuk pengunjung yang hadir.

Mohd Rizal berkata, program kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan pihak berkuasa tempatan itu dijangka diadakan raptai pelancarannya pada 2 Ogos ini.

Katanya, program yang berlangsung dari 1 Ogos sehingga 4 Ogos itu turut disertakan pelbagai program keagamaan di masjid, gereja dan kuil terpilih di sekitar Melaka Tengah dan penyediaan 25 trak makanan sebelum acara kemuncak 3 Ogos.

“Kemuncaknya adalah pada 3 Ogos iaitu Sabtu, seawal 6 pagi akan diadakan Larian Merdeka berkonsep ‘fun run’ lima kilometer dan senamrobik, sebelum pada malamnya Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 dan diikuti dengan pelepasan KMJG19.

“Kira-kira 49 kenderaan terlibat dengan KMJG19 membabitkan penyertaan anggota Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Kelab Motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Menurut beliau pertunjukan bunga api dijangka berlangsung sejurus selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’.

Logo merdeka 2019

RASIONAL LOGO
Logo ini memaparkan tiga orang dengan pergerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan (dada) mereka.

MAKSUD LOGO
Logo ini menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian rasa, seia sekata, sehati sejiwa, membara rasa sayang kepada Negara Malaysia. Pengunaan warna-warna Jalur gemilang menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih. Malaysia akan menjadi negara yang aman damai dan makmur sekiranya rakyat mengamalkan integriti dan menolak rasuah.

RASIONAL TEMA
Tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan bangsa. Menonjolkan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

LAGU RASMI
Lagu tema Hari Kebangsaan 2019 bertajuk 'Malaysia Bersih'; ciptaan Muhammad Yuri Mohamed Idris dan lirik oleh Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Lagu tema Hari Kebangsaan 2018 bertajuk 'Kita Punya Malaysia' nyanyian kumpulan Bunkface, dicipta oleh vokalisnya, Sam akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme, selain menyemai amalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam kehidupan.

Lagu ini menggambarkan Malaysia ini kita punya dan kita perlu bersatu dalam kepelbagaian serta mempunyai jati diri yang tinggi, berganding bahu dalam membangunkan negara tercinta, katanya dan bakal dimainkan media-media rasmi bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Untuk senarai penuh logo dan tema merdeka daripada tahun 1970 sehingga yang terkini, anda boleh melayari artikel saya; Koleksi Lengkap Logo & Tema Merdeka.