Isnin, 1 Julai 2019

Bagaimana imej Parlimen digunakan pada Syiling Pertama Malaysia

Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya, kenapa imej bangunan Parlimen digunakan pada syiling pertama Malaysia? Bangunan Parlimen dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 21 Nov 1963. Malaysia menggunakan Syiling Parlimen secara rasminya pada 12 Jun 1967.

imej Parlimen

Pada tahun 1966, satu pertandingan mereka bentuk duit syiling Kebangsaan telah di adakan oleh Arts Council of Malaysia bagi Pihak Bank Negara Malaysia.

Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh En. Chong Yum Fatt yang berasal dari Jesselton (Kota Kinabalu) mengalahkan 44 orang artis tempatan seluruh Malaysia. En. Chong memenangi pertandingan tersebut dengan rekabentuk Tengiling (Anteater), Monyet Brunei (Brunei Monkey), Tapir, Ayam Hutan (Jungle Fowl) dan Kijang (Barking Deer). Anda boleh baca cerita lanjut di artikel kami sebelum ini; Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan.

Syiling 1966 Malaysia

Pada tahun 2015, set duit syiling ini telah dijual pada harga RM743,731 pada satu acara lelongan yang di anjurkan oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Singapura, menjadikan syiling ini sebagai Duit Syiling Termahal Malaysia yang pernah dijual didalam acara jualan/lelongan awam.

Supriya Singh

Jika anda ada membaca buku "Bank Negara Malaysia: The first 25 years" yang ditulis oleh Supriya Singh dan diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia, pada mukasurat 140 terdapat cerita kenapa imej bangunan Parlimen digunakan pada syiling pertama Malaysia.

Semasa Gabenor Bank Negara yang pertama, allahyarham Tun Ismail Ali berjumpa dengan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman dan menunjukkan syiling pattern tersebut, Perdana Menteri pertama Malaysia itu tidak bersetuju.

"Tidak, ini tidak boleh", kata Perdana Menteri setelah melihat rekabentuk syiling tersebut.

"Orang akan ingat kita makan semua binatang ini. Kerana kita adalah negara demokrasi berparlimen, kenapa kita tidak ambil sahaja gambar bangunan parlimen untuk digunakan sebagai rekabentuk semua syiling baru. Lihat, ada gambar Parlimen yang baik pada peket rokok 'Parliament' ini."

Geoffrey Colley initial

Rekabentuk Duit Syiling siri pertama Malaysia itu telah dibuat oleh Geoffrey Colley. Jika belek duit syiling parlimen yang anda ada dan lihat dibahagian bawah hujung bangunan parlimen sebelah kanan, anda boleh melihat ukiran huruf GC pada syiling Parlimen, initial untuk Geoffrey Colley.