Khamis, 4 April 2019

Bank pertama menyediakan Mesin ATM di Malaysia

Tahukah anda, bank manakah yang pertama sekali menyediakan Mesin Juruwang Automatik (ATM - Automatic Teller Machine) di Malaysia? Malayan Banking Berhad (Maybank) menyediakan Mesin ATM di cawangan Ampang Park pada September 1981. Menjadikan Maybank, bank pertama menyediakan Mesin ATM di Malaysia.

Mesin ATM pertama

Namun, mesin ATM tersebut hanya boleh digunakan oleh pemegang akaun semasa (current account) dan juga pemegang kad visa sahaja.

Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) dan United Overseas Bank (UOB) mula memperkenalkan Mesin ATM untuk pemegang akaun simpanan dan pemegang akaun semasa mereka pada awal tahun 1982.

Pada waktu itu, Mesin ATM masih belum boleh berhubung dari satu bank dengan bank yang lain, setiap bank menggunakan sistem yang berbeza.

Perkhidmatan Mesin ATM HSBC pada waktu itu dikenali sebagai Eletronic Teller Card (ETC). Perkhidmatan Mesin ATM HSBC hanya boleh digunakan dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam. Pada waktu itu, pemegang kad ATM HSBC hanya boleh mengeluarkan 1,000 Ringgit sehari.

Perkhidmatan Mesin ATM UOB pula dikendalikan oleh anak syarikatnya di Malaysia, Lee Wah Bank dan Chung Khiaw Bank. Perkhidmatan Mesin ATM UOB dikenali sebagai Unitellers dan kad plastik untuk Unitellers dikenali sebagai Unicards. Perkhidmatan Mesin ATM UOB boleh digunakan 24 jam. Pada waktu itu, pemegang kad ATM UOB hanya boleh mengeluarkan 1,000 Ringgit sehari.

Maybank mula memperkenalkan Perkhidmatan Mesin ATM untuk pemegang akaun simpanan dan pemegang akaun semasa mereka pada Ogos 1982. Pada waktu itu, pemegang kad Maybank hanya boleh mengeluarkan 500 Ringgit sehari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam.

Mesin ATM yang pertama di dunia diperkenalkan oleh cawangan Bank Barclays di Enfield, Utara London pada 27 Jun 1967. Pelakon Reg Varney yang membintangi Siri komedi TV Show On The Buses menjadi orang pertama yang mengeluarkan wang daripada mesin ATM tersebut.

Tahukah anda siapakah yang mencipta mesin ATM? Boleh baca artikel kami sebelum ini; Who invented the ATM Machine?

Sumber:

  • Laporan Tahunan Maybank
  • Maybank expects better times ahead, BUSINESS TIMES, 20 November 1981
  • Maybank to have ATMs, BUSINESS TIMES, 19 August 1982
  • Maybank may provide ATM services to savers, The Straits Times, 19 August 1982