Rabu, 3 April 2019

Cadangan 12 tokoh wanita untuk syiling Malaysia

Sejak Malaysia merdeka, tidak pernah lagi potrait mana-mana wanita di abadikan pada syiling Malaysia sebagai motif utama. Hari ini, kami kongsikan kepada anda 10 tokoh wanita yang kami cadangkan untuk di abadikan potraitnya di atas syiling peringatan.

tokoh wanita Malaysia

Pada tahun 2016, kami ada menulis mengenai Tiada imej wanita pada syiling peringatan Malaysia? Pada waktu itu, ada khabar angin yang mengatakan Bank Negara Malaysia (BNM) buat pertama kalinya akan mengeluarkan syiling peringatan Malaysia dengan imej wanita sebagai motif utama. Sila baca artikel kami sebelum ini untuk mengetahui wanita Malaysia manakah yang dikatakan akan dipaparkan pada syiling tersebut.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan cadangan hari ini:


Pada pendapat kami, jasa dan sumbangan wanita kepada negara adalah sama dan adakalanya jauh lebih baik daripada lelaki didalam bidang masing-masing.

Kepada rakan-rakan yang memberikan cadangan, kami minta maaf jika tokoh wanita yang anda cadangkan tidak tersenarai didalam artikel ini.

Kami mencadangkan 12 Tokoh Wanita Malaysia ini di abadikan potrait mereka di atas syiling peringatan Malaysia di atas jasa mereka kepada Malaysia dan juga kepada dunia secara keseluruhannya.

Mana tahu BNM ingin membuat 12 Siri Syiling Pendidikan untuk Tokoh Wanita Malaysia kan?



CADANGAN 12 TOKOH WANITA UNTUK SYILING MALAYSIA:

1. Tun Tan Sri (Dr) Hajah Fatimah binti Hashim

Fatimah binti Hashim

Tun Tan Sri (Dr) Hajah Fatimah binti Hashim merupakan wanita pertama menjawat jawatan Menteri Kabinet. Beliau memegang jawatan Menteri Kebajikan Am selama empat tahun, 1969-1973. Beliau juga merupakan pengasas Hari Wanita di Malaysia dan banyak berjasa dalam memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (National Council of Women’s Organisations, NCWO). Beliau menerajui NCWO selama 24 tahun dan bersara pada tahun 1989.



2. Tan Sri Datin Paduka Seri Dr. Aishah Ghani


Aishah Ghani

Tan Sri Dr. Aishah Ghani adalah wanita yang pertama di Malaysia menjadi senator pada tahun 1963 serta wakil wanita Malaysia yang pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tan Sri Aishah Ghani tidak dapat dipisahkan dengan sejarah politik Malaysia. Penglibatan awal beliau dalam politik bermula dengan kerjayanya sebagai wartawan dalam Pelita Malaya, lidah rasmi Parti Kebangsaan Melayu (PKM) dan beliau telah mengetuai sayap wanita PKM yang dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Pada tahun 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat sehingga tahun 1984.


3. Dato’ Lim Phaik Gan


PG Lim

Dato’ Lim Phaik Gan atau lebih dikenali dengan panggilan P.G. Lim, dianugerahkan “Red Bag” oleh Rt. Hon Sir’ Dingle Foot, Q.C, bekas “Solicitor General” di Britain atas sumbangan beliau membantu Sir Dingle menghasilkan Railwaymen’s Union of Malaya dalam usaha mendapatkan pengiktirafan sebagai Pegawai Kerajaan. Beliau juga merupakan tokoh pembicara Majlis Pengkisahan Sejarah – Wanita Di dalam Sejarah Malaysia pada 4 Oktober 1986 di Arkib Negara Malaysia.



4. Datin Paduka A. Mangalam A/P S. Iyaswamy Iyer


Mother Mangalam

Datin Paduka A. Mangalam A/P S. Iyaswamy Iyer atau lebih dikenali lagi sebagai "Malaysian Mother Teresa" atau Mother Mangalam adalah pengasas bersama the Pure Life Society, terlibat dengan kerja-kerja amal membantu anak yatim piatu sejak tahun 1950an. Beliau menerima Kesatria Mangku Negara (KMN) dari Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong pada tahun 2003 dan Pingat Jasa Kebangsaan (PJK) dari Sultan Selangor pada 1955. Beliau juga di anugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah Gold Medal daripada National Council of Women's Organisations (NCWO) Malaysia pada tahun 1977.



5. Sybil Medan Kathigasu


Sybil Kathigasu

Sybil Kathigasu adalah seorang jururawat dan pejuang kebebasan wanita semasa Jepun menjajah Malaya. Beliau adalah satu-satunya rakyat negara ini yang di anugerahkan George Medal pada 12 Jun 1948 kerana keberaniannya yang tinggi. Beliau dan suaminya, Dr. Abdon Clement Kathigasu membuka Klinik di Ipoh, Perak dari tahun 1926 hinggalah Jepun datang ke Malaya. Kemudiannya, mereka berpindah ke Papan, sebuah bandar kecil di Perak dimana mereka membantu pejuang kemerdekaan dengan memberikan bantuan ubat-ubatan, rawatan perubatan serta maklumat secara senyap hinggalah mereka ditangkap Penjajah Jepun pada tahun 1943. Selepas itu mereka diseksa dan dipenjarakan sehinggalah mereka diselamatkan apabila Jepun menyerah kalah.



6. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz

Zeti Aziz

Pada 1 Mei 2000, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang ke-7 dan menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor BNM. Pada 13 September 2010, Dr Zeti terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance. Ia berdasarkan faktor kawalan inflasi, sasaran pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah. Tahun lepas, beliau menerima Anugerah Diraja 2018 bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global 2018 (GIFF 2018) yang berlangsung di Kuala Lumpur. Beliau menerima anugerah berprestij ini kerana pencapaian dan kepemimpinan beliau yang cemerlang sehingga kewangan Islam mencapai tahap yang lebih tinggi dalam arena kewangan domestik dan global.



7. Datuk Nicol Ann David

Nicol Ann David

Datuk Nicol Ann David adalah seorang pemain skuasy profesional Malaysia yang juga wanita Asia pertama yang menduduki tangga No. 1 dunia dalam sukan skuasy wanita. Beliau pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008, dan juga gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010. Beliau mengakhiri kerjayanya dengan 81 gelaran WIPSA daripada 102 perlawanan akhir. Dia memegang rekod sebagai pemain nombor satu dunia selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015. Beliau juga menjadi orang ke-12 yang memegang gelaran unggul ini semenjak sistem ranking mulai dipakai pada April 1983.



8. Dr. Jemilah Mahmood

Jemilah Mahmood

Jika anda pernah mendengar mengenai MERCY Malaysia, sebuah pertubuhan amal perubatan yang banyak melakukan amal perubatan dan perubatan kerja-kerja menyelamat di luar negara, anda sudah pasti sedikit sebanyak mengenali Dr. Jemilah Mahmood. Sejak Januari 2016, beliau berkhidmat di International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) sebagai sebagai Setiausaha Agung di bawah Perkongsian (Under Secretary General for Partnerships). Sebelum menyertai IFRC, Dr. Mahmood merupakan Ketua sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan sebelum ini merupakan Ketua Cawangan Maklum Balas Kemanusiaan di UNFPA pada tahun 2011.



9. Tan Sri Michelle Yeoh

Michelle Yeoh

Tan Sri Michelle Yeoh ialah seorang pelakon yang membawa nama Malaysia dan tinggal di Hong Kong. Beliau dilahirkan di Ipoh, Perak. Beliau memulakan karier lakonannya di Hong Kong dan mula menjadi terkenal setelah berlakon dalam filem antarabangsa 'Crouching Tiger, Hidden Dragon'. Beliau juga pernah berlakon dalam filem James Bond,'Tomorrow Never Dies' (1997). Beliau pernah dipilih oleh Majalah People sebagai salah seorang daripada 50 wanita paling cantik di dunia pada 1997.



10. Dato' Sri Siti Nurhaliza binti Tarudin

Siti Nurhaliza

Dato' Sri Siti Nurhaliza binti Tarudin merupakan seorang penyanyi, penulis lagu, penerbit rakaman, pengacara televisyen dan ahli perniagaan terkenal di Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya di industri muzik Malaysia pada usia 16 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995. Antara anugerah yang dimenanginya termasuklah 42 Anugerah Industri Muzik, 23 Anugerah Bintang Popular, 26 Anugerah Planet Muzik, 18 Anugerah Juara Lagu, 4 Anugerah MTV Asia, 3 Anugerah Muzik Dunia, 2 Anugerah Musik Indonesia, 2 Anugerah Muzik Singapura dan pemegang 2 rekod di dalam Malaysia Book of Records.



11. Datuk Dr Mazlan Othman

Mazlan Othman

Datuk Dr. Mazlan Othman ialah seorang ahli astrofizik Malaysia dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Malaysia dan penerima Tokoh Melayu Terbilang Malaysia 2011.[1] Beliau merupakan perintis dalam bidang sains dan teknologi di Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai Pengarah United Nations Office for Outer Space Affairs di Vienna dari tahun 2010 hingga 2014. Pada tahun 2013, Mazlan menerima "Polarstern-Preis" (Anugerah Polarstar) dari Austria Space Forum untuk penglibatan beliau untuk menambat hati untuk ruang atas dan di luar tugas.



12. Datuk Dr. Zurinah Hassan

Zurinah Hassan

Datuk Dr. Zurinah Hassan merupakan tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 yang telah diumumkan pada 13 Oktober 2015. Pemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu. Beliau merupakan tokoh sastera wanita pertama yang menerima anugerah tersebut. Selain itu, beliau turut menerima anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award 2004), Anugerah Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara-negara ASEAN) dan Anugerah Puisi Putera 1984 (Hadiah Utama).


Sumber:
  • Wikipedia
  • Arkib Negara
  • Merdeka Awards
  • Utusan Malaysia
  • New Straits Times
  • The Star