Rabu, 12 Disember 2018

Koleksi ephemera berkaitan duit syiling

Selain duit atau wang kertas, apa sahaja barang-barang yang ada kaitannya dengan duit atau wang kertas biasanya dijadikan koleksi oleh para pengumpul. Poster, flyer, keratan akhbar, risalah dan juga lakaran asal duit syiling adalah antara barangan ephemera yang dikumpul oleh pengumpul duit lama.

Koleksi ephemera

Ephemera bermaksud barang-barang yang digunakan pada masa singkat semasa ianya dikeluarkan. Sebagai contoh tiket bas, tiket panggung wayang, poster dan juga poskad.

Tidak ramai orang yang mengumpul koleksi ephemera berkaitan duit syiling atau mata wang Malaysia kerana harga jualannya yang rendah dan memerlukan ruang yang besar untuk menyimpan koleksi ephemera. Namun, adakalanya ia hanya memakan kos yang rendah untuk mendapatkan koleksi tersebut kerana pemilik asalnya ingin menggunakan ruang yang digunakan untuk menyimpan koleksi ephemera atau barang tersebut tidak lagi diperlukan.

Selain daripada pasar karat (flea market), ada pengumpul yang sanggup menunggu sehingga jualan syiling peringatan selesai untuk mendapatkan bunting, risalah, tag tangan bernombor Bank Negara Malaysia (BNM) dan adakalanya kotak kayu yang digunakan untuk menyimpan syiling peringatan BNM. Itu pun jika bernasib baik. Benda-benda tersebut mungkin di anggap sebagai sampah bagi sesetengah orang tetapi ianya adalah koleksi berharga bagi para pengumpul tegar numismatik.

Selain koleksi berkaitan BNM, ada juga pengumpul ephemera yang mengumpul barang-barang berkaitan Pameran Wang seperti Pameran Wang Trigo Kuala Lumpur dan juga Kuala Lumpur International Money Fair (KLIMOF) yang pernah diadakan lebih sedekad yang lalu.

Selain itu, barang-barang seperti bunting, poster dan juga risalah boleh didapati daripada pencetak asal yang mendapat kontrak mencetak barang-barang tersebut. Itu pun jika ada maklumat mengenai pencetak tersebut bocor ditangan pengumpul.

Pengumpul koleksi ephemera numismatik pada kebiasaannya adalah para pengumpul tegar yang inginkan kelainan berbanding pengumpul lain.

Koleksi ephemera numismatik seperti lakaran asal duit syiling dari perekanya amat sukar didapati dan menjadi buruan para pengumpul. Kebiasannya di Malaysia, para pengumpul ephemera amat jarang berkongsi barang-barang yang di anggap rare sebegini kerana khuatir barang-barang tersebut dirampas oleh pihak berkuasa.

Adakah anda salah seorang pengumpul koleksi ephemera numismatik?