Sabtu, 15 Disember 2018

Sejarah Penubuhan Kilang Wang Batu Tiga

Penubuhan Kilang Wang di Batu Tiga, Shah Alam adalah suatu sejarah besar untuk negara dan juga dunia numismatik Malaysia. Penubuhannya secara rasmi pada 10 Julai 1971 menandakan bermulanya syiling Malaysia dibuat sendiri didalam negara ini berbanding sebelum ini, syiling-syiling Malaysia dibuat diluar negara.

Kilang Wang

Upacara perasmian Kilang Wang tersebut dilakukan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Tan Siew Sin. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ismail bin Mohamad Ali serta lain -lain jemputan khas.

Bangunan kilang wang itu pada asalnyanya adalah merupakan pejabat mata wang Bank Negara. Pejabat Mata Wang Batu Tiga dibuka secara rasmi pada 13 Mac 1967 dan mempunyai ruang bilik kebal sebesar 6,000 kaki persegi.

Pada tahun 1969, Bank Negara Malaysia telah mengiklankan jawatan kosong untuk Pengurus Kilang Wang dengan kelayakan yang diperlukan ijazah Kepujian dalam bidang Kejuruteraan mekanikal, 3 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan pengeluaran dan mengetahui pengetahuan praktikal mengenai mesin. Gaji permulaan pada ketika itu adalah dalam lingkungan $1,300 ke $1,450 sebulan.

Pejabat Mata Wang Batu Tiga kemudiannya telah diubah suai menjadi kilang wang dengan mendapat nasihat dari pakar-pakar luar negara. Bagi melicinkan perlaksanaan perancangan kilang ini, pihak bank juga telah membentuk satu jawatan khas bagi mengatasi masalah yang timbul berkaitan dengan pengambilan kakitangan, latihan dan pemilihan alat-alat yang diperlukan oleh kilang ini.

Pengurus Kilang Wang dan kakitangannya telah dihantar ke beberapa kilang wang luar negara untuk mendapatkan latihan antaranya di Hamburg Mint, Jerman; Royal Mint, London dan Bradbury Wilkinson.

Sebagai percubaan, kilang ini telah berjaya mengeluarkan wang syilingnya yang pertama seperti yang dijadualkan pada 1hb Mei 1971. Pada ketika itu, kilang ini mampu mengeluarkan sebanyak 70 juta keping wang syiling setahun.

old minting press

Kilang itu ditubuhkan dengan kos $1.6juta (mesin sahaja) dan pembinaannya dibantu oleh Bank Pusat Hamburg, Jerman Barat dari segi nasihat teknikal dan latihan kepada kakitangan Kilang Wang tersebut. Ianya melibatkan latihan kepada Pengurus Kilang Wang, Penyelia Pengeluaran, 3 orang Foremen, 2 orang Fitters dan 2 orang Makers.

Semasa perasmian Kilang Wang tersebut, Tun Tan Siew Sin menyatakan, "tugas mengeluarkan wang syiling bagi beberapa negara lain menjadi hak perbendaharaan tetapi urusan itu diserahkan kepada Bank Negara. Perkara itu dilakukan kerana memandangkan rekod baik Bank Negara mengendalikan urusan kewangan."

Tan Sri Ismail Ismail dalam ucapannya telah menghuraikan serba ringkas mengenai sejarah Bank Negara. Beliau menerangkan, "Bank Negara Malaysia baru sahaja mengambil kuasa mengeluarkan wang dalam masa empat tahun ini. Ketika itu, semua wang kegunaan negara ini dibuat di luar negara. tetapi sejak tiga tahun ini, langkah-langkah diambil untuk Bank Pusat itu dapat mengeluarkan sendiri wang syiling. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan Republik Jerman kerana membantu melatih kakitangan Kilang Wang untuk berlatih di Hamburg."

Pada tahun 1974, Kilang wang tersebut menambah 4 lagi mesin menempa duit syiling pada kos $175,000 setiap satu. Langkah itu bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan wang syiling di Pulau Pinang dan Ipoh.

Sumber:
-Bank Negara Malaysia: The First 25 Years 1959-1984. Supriya Singh.
-Kilang wang Malaysia di-Batu Tiga. Berita Harian, 30 May 1968.
-Hamburg offers technical aid in setting up mint. The Straits Times, 30 May 1968.
-Hari ini Dalam Sejarah: PERASMIAN PEMBUKAAN KILANG WANG BANK NEGARA.
-Malaysia to mint her own money in 1971. The Straits Times, 8 September 1969.
-Malaysia akan buat duit shiling sendiri. Berita Harian, 8 September 1969.
-Bank Negara plans bigger expansion. The Straits Times, 27 April 1970.
-Kedudokan wang Malaysia kukoh: Tun Tan. Berita Harian, 11 July 1971.
-Solid Backing for money in Malaysia: The Straits Times, 15 May 1971.
-Four more machines at Mint. The Straits Times, 9 November 1974.