Rabu, 14 September 2016

Bilakah simbol RM mula digunakan?

Bilakah simbol RM (Ringgit Malaysia) mula digunakan? Tahukah anda, penggunaan rasmi perkataan ringgit sudah bermula sejak Ringgit yang diperkenalkan pada 12 Jun 1967 menggantikan Dollar Malaya dan British Borneo. Walau bagaimanapun, mata wang Ringgit itu masih dipanggil atau dikenali sebagai dolar ($).

Pada 11 November 1992, Kabinet telah mengumumkankan bahawa "$" digantikan dengan perkataan "RM" untuk melambangkan matawang Malaysia.

RM symbol

Simbol RM secara rasmi diumumkan penggunaannya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Disember 1992. Didalam kenyataan akhbar tersebut, simbol RM akan digunakan secara rasmi untuk mengantikan simbol ("M$"). Simbol RM ini akan digunakan didalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Ia juga menyebut, Singkatan RM mula-mula digunakan oleh Y.B. Dato' Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan Malaysia semasa ucapan Belanjawan Malaysia 1993.

Walaupun penggunaan simbol RM ini telah diumumkan secara rasminya pada tahun 1992 tetapi pengunaan sepenuhnya singkatan tersebut memakan masa yang lama.

Wang syiling satu ringgit yang baru dengan perkataan"1 ringgit" bagi menggantikan simbol "$1" hanya mula diedarkan kepada umum pada 15 November 1993, hampir setahun selepas pengumuman singkatan RM oleh BNM. Bank Negara pada ketika itu menerangkan bahawa pengeluaran syiling itu adalah sejajar dengan keputusan kerajaan supaya simbol digantikan dengan perkataan Ringgit.

Wang kertas baru dengan simbol RM hanya mula diperkenalkan kepada umum apabila rekabentuk baru wang kertas diperkenalkan untuk siri ke-8 wang kertas Malaysia yang ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dato' Ahmad Bin Mohd Dom yang bermula pada Februari 1996 dengan wang kertas RM2, denominasi RM10 diedarkan pada Januari 1998, denominasi RM50 pada Julai 1998 dan denominasi RM100 pada Oktober 1998.

Ramai juga yang keliru dengan MYR adakah Ringgit sepatutnya dipanggil sebagai MYR?

MYR adalah kod yang diberikan mengikut ISO 4217, standard antarabangsa yang menerangkan kod tiga huruf (juga dikenali sebagai kod mata wang) untuk mentakrifkan nama mata wang yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO). Dua huruf pertama kod adalah dua huruf ISO 3166-1 alpha-2 kod negara (yang juga digunakan sebagai asas untuk kod domain negara tersebut di Internet) dan ketiga biasanya huruf awal matawang itu sendiri. 

Didalam kes Malaysia, kod negara adalah MY dan R sebagai huruf awal matawang Malaysia. Kod MYR pada kebiasaannya digunakan didalam perdagangan pertukaran matawang asing.

Didalam bahasa yang mudahnya, matawang:Ringgit ; simbol:RM ; Kod Matawang:MYR.

Sumber:
  • New symbol for the Ringgit, 2 Disember 1992, The New Straits Times.
  • Wang dan Urusan Bank di Malaysia. Edisi Ulangtahun ke-35 1959-1994.
  • Wikipedia.