Khamis, 20 Disember 2018

Sejarah 1967, Ringgit Malaysia mula diedarkan

Semua tahu, sejarah penggunaan matawang Ringgit Malaysia bermula apabila matawang Ringgit mula diedarkan kepada umum pada 12 Jun 1967. Namun, ramai yang tidak tahu, tahun 1967 ketika bermulanya edaran Ringgit yang baru, pelbagai peristiwa hitam yang mengejutkan negara berlaku. Ianya adalah sebahagian daripada sejarah numismatik yang sewajarnya dijadikan pengajaran buat kita semua.

Sejarah Ringgit

Berikut dikongsikan rentetan peristiwa pada tahun 1967 yang melibatkan Ringgit:


17 Mei 1967:
Duit syiling baru tiba dari London melalui Port Swettenham dengan langkah keselamatan yang ketat. 73 tan syiling baru dicetak dimuat naik di Pelabuhan Swettenham dari kapal british Flintshire dan dibawa ke Kuala Lumpur di bawah kawalan ketat 19 kenderaan tentera. Langkah kawalan tambahan telah diambil kerana dua minggu sebelum ini, khabar angin mengatakan satu bundle besar wang baru telah jatuh ke laut dengan kedalaman 50 meter dan penyelam menghabiskan 3 jam untuk mengambilnya semula.
▢Info lanjut: Malaysia currency history from 1900-1971.


23 Mac 1967:
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ismail Mohd Ali mengumumkan Wang baru Malaysia telah sampai di Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang). Wang baru itu kemudiannya akan dibawa ke pejabat Matawang Bank Negara di Batu Tiga yang telah dibuka secara rasminya oleh Menteri kewangan, Tun Tan Siew Sin pada 14 Mac 1967.
▢Sumber: Wang baru Malaysia sudah tiba, Berita Harian, 24 Mac 1967.


29 April 1967:
Menteri kewangan, Tun Tan Siew Sin mengumumkan rekabentuk Wang baru Malaysia didalam satu sidang akhbar di Bilik Gerakan kebangsaan, di Kuala Lumpur. Beliau mengumumkan Wang kertas baru akan digantikan dengan hiasan gambar Yang Di-Pertuan Agong yang pertama.

Tun Tan Siew Sin juga memberitahu, van-van jabatan penerangan akan bergerak ke seluruh pelusuk negara untuk memberikan penerangan mengenai duit baru Ringgit Malaysia. Beliau berkata, kerajaan telah menghabiskan sejumlah $11 juta untuk menempah wang baru tersebut. Namun, beliau tidak ada menyatakan jumlah wang baru Malaysia yang ada didalam simpanan.
▢Sumber: Tan: WANG BARU TETAP TEGOH, Berita Harian, 30 April 1967.


11 June 1967:
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ismail Mohd Ali mempersembahkan album yang mengandungi set Wang Malaysia lengkap dari syiling 1 sen hinggalah wang kertas 100 Ringgit yang baru kepada Yang Dipertuan Agong Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Set Lengkap Wang Malaysia tersebut juga diberikan kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Timbalannya Tun Abdul Razak dan juga Menteri kewangan, Tun Tan Siew Sin. Yang Dipertuan Agong menerima wang kertas bernombor siri (A000001), Tunku Abdul Rahman (A000002), Tun Abdul Razak (A000003) dan Tun Tan Siew Sin (A000004).

Wang Malaysia, Singapura dan Brunei boleh ditukar pada nilai yang sama di ketiga-tiga negara tersebut. Wang lama Malaya British Borneo masih lagi boleh digunakan sehingga ianya ditarik balik.
▢Sumber: WANG BARU mulai hari ini, Berita Harian, 12 Jun 1967.

Nota: Set wang kertas ini dilelong pada harga £115,100 (RM793,039) di dalam acara lelongan oleh Spink pada 8 Oktober 2007. Semasa artikel ini ditulis, set wang kertas tersebut masih lagi memegang rekod sebagai wang kertas termahal di Asia. Info lanjut: Asia Most Expensive Banknote.


12 Jun 1967:
new currency exchange

Orang ramai mula beratur untuk menukar wang lama Malaya British Borneo dengan Wang baru Ringgit Malaysia. Info lanjut: New Malaysia notes-news in 1967.


20 November:
Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin mengumumkan mulai 21 November, nilai wang lama Malaya British Borneo jatuh 15 sen bagi setiap 1 dolar. Ini berikutan dengan kerajaan Britain yang mengumumkan penurunan kadar pertukaran pound sterling bernilai $US2.40, turun dari $US2.80 se pound, penurunan sebanyak 14.3%. Penurunan nilai wang lama Malaya British Borneo dibuat kerana ianya bersandarkan kepada nilai pound sterling. Nilai wang baru Malaysia tidak berubah pada masa itu.

Penurunan ini bermakna, nilai pertukaran wang lama British Borneo kepada Ringgit Malaysia yang baru; 1 sen kekal 1 sen, 5 sen menjadi 4 sen, 10 sen menjadi 8 sen, 20 sen menjadi 17 sen, 50 sen menjadi 42 sen, 1 Dolar menjadi 85 sen, 5 Dolar menjadi 4.28 Ringgit, 10 Dolar menjadi 8.57 Ringgit, 50 Dolar menjadi 42.85 Ringgit, 100 Dolar menjadi 85.71 Ringgit dan 1000 Dolar menjadi 857.10 Ringgit.
▢Sumber: Amaran 'tindakan keras', Berita Harian, 21 November 1967.


21 November 1967:
Banyak bank komersial yang dilaporkan tidak menerima wang lama Malaya British Borneo kerana harganya yang lebih rendah daripada wang Malaysia. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ismail Mohd Ali memaklumkan didalam sidang akhbarnya, jika ada bank-bank yang tidak menerima wang lama British Borneo, ianya hendaklah dilaporkan kepada Bank Negara.

Kerajaan Malaysia juga telah menolak permintaan bank yang ingin menukar wang lama British Borneo dengan nilai 1 Dolar kepada 1 Ringgit wang baru Malaysia. Ini menyebabkan kerugian daripada $10,000 hingga berjuta Ringgit kepada Bank kerana bank-bank telah bertindak sebagai agen Bank Negara untuk menukar wang lama British Borneo kepada wang baru Ringgit Malaysia.

Kebanyakan kedai tidak mempunyai duit syiling Ringgit baru yang cukup.

Di Kuala Lumpur, bank komersial menghadkan penukaran duit syiling baru kepada nilai 10 Ringgit sahaja setiap seorang.
▢Sumber: Bank2 ta' boleh tolak $ lama —Ismail, Berita Harian, 22 November 1967.

Penurunan nilai matawang Britain turut disusuli dengan penurunan beberapa matawang lain diseluruh dunia. New Zealand menurunkan nilai matawangnya pada paras 19.45%, 100 New Zealand Dolar bersamaan 112 US Dolar. Cyprus juga turut menurunkan nilai matawangnya kepada 14.3% menjadikan nilainya 42 pound Cyprus untuk sedolar Amerika.
▢Sumber: New Zealand turut turunkan harga ringgit-nya, Berita Harian, 22 November 1967.

24 November 1967:
Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin telah mengumumkan nilai 5 sen dan 10 sen balik kepada asal, sama nilai dengan syiling 5 sen dan 10 sen Malaysia yang baru. Ianya bertujuan untuk mengurangkan masalah kekurangan syiling 5 sen dan 10 sen yang berlaku hampir diseluruh negara.
▢Sumber: 10, 5 sen balek harga asal-nya, Berita Harian, 25 November 1967.



Hartal: 24 November 1967-13 Disember 1967
Susulan daripada kejatuhan nilai wang lama British Borneo, Peniaga Cina telah mengadakan hartal (menutup kedai) di seluruh Pulau Pinang kerana membantah dasar kerajaan persekutuan Malaysia. Hartal ini dilancarkan oleh Parti Buruh Malaya.

Perkataan Hartal berasal dari bahasa India Gujurati; "Har" yang bermaksud semua atau sentiasa, "Tal" atau "Tala" bermaksud tutup. Perkataan Hartal bermaksud hari berkabung atau protes, di mana semua kedai-kedai ditutup dan tidak ada orang yang pergi untuk bekerja atau keluar membeli-belah.

Pada 24 November, kedai dan pasar ditutup, jika ada di antara kedai yang dibuka pada hari tersebut, perusuh akan datang merosakkan kedai tersebut. Perintah berkurung selama 24 jam telah dikeluarkan melalui radio dan televisyen apabila lebih daripada 92 orang cedera. Terdapat juga laporan seorang budak telah mati dibunuh ketika baru sahaja selesai mengambil peperiksaan HSC.

Gerakan Hartal itu dikatakan melibatkan ahli-ahli kongsi gelap, jika ada di antara peniaga yang membuka kedai, ahli-ahli kongsi gelap ini akan datang membuat kacau dan merosakkan kedai mereka dan huru-hara ini telah berkembang dengan cepat sehingga ke Perak dan Kedah.

Golongan cauvinis pro Komunis turut mengambil kesempatan menghasut para penunjuk perasaan untuk bertindak lebih radikal dan ganas. Tindakan menutup kedai yang telah berjaya dilakukan oleh peniaga cina di Pulau Pinang menyebabkan ada yang mendabik dada mengatakan orang Cina berkuasa untuk membuka dan menutup seluruh bandar di Malaysia.

Hartal 1967

Mereka bukan sahaja menutup kedai tetapi juga mengadakan rusuhan; kedai-kedai dan pasar-pasar ditutup, puluhan bas dan teksi di bakar. Malah, Hartal Pulau Pinang 1967 telah bertukar menjadi rusuhan kaum dan ada yang terbunuh. 

Rusuhan yang dimulai dengan Gerakan Anti Penyelarasan Nilai Ringgit (Anti-devaluation) ini telah menyebabkan sejumlah 8 orang maut dan lebih 137 orang cedera (setakat 27 November). Lim Kean Siew, Pengerusi Parti Buruh cawangan Pulau Pinang telah ditahan bersama 23 orang kanan Parti Buruh dan bebrapa orang ahli Kongsi Gelap Cina ditahan dibawah ISA. 21 cawangan Parti Buruh telah ditutup dan lebih daripada 400 orang ahli Parti Buruh di seluruh negara telah ditangkap.

Sumber:
Hartal in a market, The Straits Times, 25 November 1967.
Curfew in Penang after 5 hartal riot deaths, The Straits Times, 25 November 1967.
Keadaan tambah baik tetapi maseh tegang, Berita Harian, 27 November 1967.
Keadaan beransur pulih, Berita Harian, 2 Disember 1967.
Penang keeps the peace for 3rd day, The Straits Times, 18 Disember 1967.
Penang’s forgotten protest – The 1967 Hartal
KETEGASAN UNDANG2- Pihak Kerajaan MESTI Mengambil Iktibar RUSUHAN KAUM PULAU PINANG