Sabtu, 23 April 2016

50 sen 1969 Milled Edge dilelong RM73,193

Hari ini, sekeping syiling 50 sen 1969 Milled Edge (sisi bergerigi) dilelong pada harga RM73,193 (termasuk premium pembeli) di Collectibles Auction Asia (CAA) Auction 7, Singapura.

50 sen 1969

Syiling tersebut pada ketika ini adalah syiling 50 sen 1969 Milled Edge yang mendapat gred yang terbaik (PCGS MS 66) dari mana-mana syarikat mengred duit syiling antrabangsa. Syiling kedua terbaik mendapat gred NGC MS65 dari Numismatic Guaranty Corporation.

Rekod harga tertinggi untuk syiling 50 sen 1969 Milled Edge masih lagi dipegang oleh syiling yang dilelong pada 4 Oktober 2014. Syiling 50 sen 1969 Milled Edge NGC MS 65 dijual RM81,846 di acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) 4. Syiling tersebut pernah dimiliki oleh Master Sifu Wong Hon Sum.

Kepada bukan collector, sila fahami betul-betul sebelum memberi komen "anda ada syiling ini". Syiling ini adalah syiling yang mempunyai sisi bergerigi atau sebelah tepinya tidak mempunyai parit seperti sisi syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969 yang biasanya disimpan oleh bukan collector. Syiling yang mempunyai sisi berparit tersebut hanya berharga RM2 sekeping, itu pun jika ada yang sudi membelinya.

Syiling peruf

Sementara itu, Syiling peruf Malaysia keluaran khas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk anugerah perkhidmatan kakitangan keselamatan Bank Negara berjaya dilelong pada harga RM57,885 (SGD20,000). Set duit syiling peruf tersebut dikeluarkan untuk ENCIK ABU BAKAR BIN MAT DAUD.

peruf 1967

Set duit syiling peruf 1967 dilelong pada harga RM8,104 (SGD2,800). Set duit syiling Malaysia siri pertama ini digred oleh NGC: 1 Sen, PF 63 RB; C-N 5 Sen, PF 66; 10 Sen, PF 64, 20 Sen, PF 65; 50 Sen, PF 64 dan semuanya mendapat Proof Ultra Cameo.

1 Ringgit copper

Syiling specimen/pattern 100 tahun getah asli 1 Ringgit yang diperbuat dari logam tembaga (copper) pula dilelong pada harga RM11,577 (SGD4,000). Syiling tersebut mempunyai berat 21.85gm (normal: 16.80gm); ketebalan 2.92mm (normal: 2.50mm); diameter: 33.30mm (normal: 33.40mm).

Acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) Auction 7 masih lagi berlangsung hari ini, anda boleh melayari www.liveauctioneers.com untuk melakukan bidaan.